Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1579 : ADAKAH BATAL WUDUK BERSENTUHAN DENGAN BUKAN MUSLIM?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1579 : ADAKAH BATAL WUDUK BERSENTUHAN DENGAN BUKAN MUSLIM?

Download PDF

al Kafi 1579

Soalan :        

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya, adakah batal wuduk wanita muslim yang bersentuhan kulit dengan wanita bukan muslim? Sebabnya saya ada ramai kawan-kawan non Muslim di pejabat. Rasa bersalah pula kalau tidak menyambut tangan mereka ketika bersalam, sedangkan saya mahu pelihara wuduk saya. Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Maidah : 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Perkara-perkara yang membatalkan wuduk

Dalam menyimpulkan permasalahan ini, Habib Hasan bin Ahmad al-kaff menyatakan di dalam kitabnya perkara yang membatalkan wuduk ada empat iaitu :

  • Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani. Ini kerana keluarnya mani diwajibkan mandi dan ia merupakan perkara yang lebih utama dilakukannya dahulu.
  • Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak membatalkan wuduk) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  • Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  • Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 103)

Bersentuhan kulit berlainan jantina dan sesama jantina

Pertama sekali, kita kena ketahui bahawa pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie, bersentuhan antara berlainan jantina yang bukan mahram (seperti perempuan dan lelaki ajnabi) tanpa berlapik, membatalkan wuduk.  Firman Allah SWT :

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Sekiranya kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih.”

(Surah al-Maidah : 6)

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya :

أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا

Maksudnya : “Sesungguhnya persentuhan kulit seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Akan tetapi, (persentuhan tersebut) tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/30)

Bagi mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, boleh merujuk kepada artikel kami di dalam :

  • Al-Kafi li al-Fatawi (1118) : Adakah Batal Wuduk Sekiranya Suami Bersentuhan Dengan Isteri.
  • Al-Kafi li al-Fatawi (1281) : Adakah Batal Wuduk Apabila Bersentuhan Kulit Dengan Kanak-kanak Berlainan Jantina.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kita dapat fahami bahawa persentuhan yang membatalkan wuduk adalah apabila melibatkan dua jantina yang berbeza (yang bukan mahram). Adapun persentuhan kulit sesama jantina, tidak membatalkan wuduk. Demikianlah juga, persentuhan kulit sesama jantina walaupun berlainan agama, tidak membatalkan wuduk.

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang Musyrik itu najis.” Najis yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10)

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa persentuhan kulit melalui persalaman (berjabat tangan) atau seumpamanya, antara sesama jenis walaupun berbeza agama, tidak membatalkan wuduk.

Islam tidak pernah melarang kita daripada menyantuni dan berbuat baik kepada orang bukan Islam. Malah, kita diperintahkan berlaku adil dan menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka. Mudah-mudahan ia dapat menjadi sebab kepada dekatnya mereka dengan agama Islam. Firman Allah SWT :

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

(Surah al-Mumtahinah : 8)

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1586 : IMAM PAKAI BAJU SINGKAT NAMPAK AURAT SEMASA SOLAT

  Soalan : Assalamu’alaikum ustaz, apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *