Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1578: HUKUM PUSAKA BAGI ORANG YANG KECACATAN AKAL
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1578: HUKUM PUSAKA BAGI ORANG YANG KECACATAN AKAL

Download PDF

alkafi1578

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Datuk Mufti, saya ada satu soalan berkenaan harta pusaka. Adakah orang yang kecacatan akal boleh menjadi waris? Adakah bahagian perwarisannya sama seperti orang yang normal? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:

«أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»

Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)

Hadith di atas merupakan dalil dan juga petunjuk kepada umat Islam dalam urusan harta pusaka. Apabila berlakunya kematian seseorang lalu dia meninggalkan sekian harta, maka hendaklah dibahagikan harta peninggalan tersebut berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh syara’ mengikut panduan yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim; 11/54]. Hadith ini juga menunjukkan bahawa setiap waris si mati mempunyai hak ke atas harta peninggalan si mati selagimana dia tidak melanggar batas-batas syariat seperti membunuh, bertukar agama dan sebagainya yang menafikan hak nya sebagai pewaris.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan harta pusaka bagi orang yang kecacatan akal. Maka, pada dasarnya tiada sebarang ayat al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad S.A.W yang melarang mahupun mencegah mereka yang kecacatan akal dari menjadi waris kepada harta pusaka. Bahkan dalam perbahasan-perbahasan malahan kitab-kitab Faraid ataupun Mawarith (Perwarisan), tidak disebut langsung kecacatan akal sebagai salah satu penghalang kepada perwarisan.

Sepertimana yang disebutkan di dalam kitab karangan Dr Wahbah Zuhaili, penghalang-penghalang kepada perwarisan terdiri daripada tiga perkara iaitu pembunuhan, perhambaan dan pertukaran agama. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/354-356].

Maka, berdasarkan kepada perkara-perkara di atas, jelas di sini bahawa kecacatan tidaklah menjadi penghalang kepada perwarisan. Namun, ia terkait juga dengan perbahasan dalam Usul Fiqh di mana mereka dikategorikan sebagai ‘atah iaitu gangguan akal, sejenis penyakit yang membuatkan pemiliknya (tuan badan) kurang keupayaan untuk memahami, pertuturannya tidak jelas (bercampur baur) dan hilang keupayaan untuk menilai atau menimbang sesuatu itu baik atau buruk. [Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh; hlm. 95].

Dalam urusan jual beli ataupun perwarisan, maka mereka ini diibaratkan sepertimana kanak-kanak kecil yang mumayyiz, maka mereka berhak menerima harta warisan namun ia diselia atau diuruskan oleh walinya atau orang yang diamanahkan bagi menjaganya serta walinya atau orang yang diamanahkan tersebut tidaklah boleh mengambil harta melebihi keperluan orang yang dijaga (kecacatan akal), cukup untuk menjaga kehidupan seharian mereka. [Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh; hlm. 89, 90, 95].

Firman Allah S.W.T:

وَآتُوا الْيَتَامَىٰ أَمْوَالَهُمْ وَلَا تَتَبَدَّلُوا الْخَبِيثَ بِالطَّيِّبِ وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا ﴿٢

Maksudnya: Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

Surah al-Nisa’ (2)

Pada ayat ini, jika dilihat dengan teliti, Allah S.W.T menyuruh supaya dikembalikan semula harta anak-anak yatim setelah mereka mencapai usia baligh. Ini bermakna, dalam tempoh kehidupan mereka mencapai usia tersebut, maka wali atau orang yang diamanahkan ke atas mereka hendaklah mentadbir dan juga menguruskan harta mereka dengan baik yakni dengan cara tidak memakan harta mereka secara batil, mengambil harta mereka tanpa keperluan mereka dan bermacam-macam lagi bentuk penindasan terhadap harta anak yatim. [Lihat: Tafsir al-Munir; 4/228-230].

Perkaitan ayat ini dengan isu yang dipersoalkan ialah mereka yang kecacatan akal sepertimana yang dijelaskan di atas bahawa mereka dianggap seolah-olah kanak-kanak kecil yang mumayyiz, maka dalam hal ini iaitu perwarisan pusaka bagi mereka yang kecacatan akal, lantas mereka juga tergolong dalam anak-anak yatim, maka kami qiaskan ia berdasarkan ayat ini dalam hal, walinya atau orang yang diamanahkan untuk menjaganya mestilah mentadbir harta mereka dengan sebaik mungkin yakni tanpa memakan harta mereka secara batil.

Meskipun ayat ini terlihat umum apabila disebut dipulangkan semula harta anak-anak yatim sementelah mereka baligh, namun jika dilihat pada ayat seterusnya iaitu ayat keenam:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ وَلَا تَأْكُلُوهَا إِسْرَافًا وَبِدَارًا أَن يَكْبَرُوا وَمَن كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ وَمَن كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ فَإِذَا دَفَعْتُمْ إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ فَأَشْهِدُوا عَلَيْهِمْ وَكَفَىٰ بِاللَّـهِ حَسِيبًا ﴿٦

Maksudnya: Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

Surah al-Nisa’ (6)

Melalui ayat ini, Allah S.W.T jelaskan bahawa sebelum diberikan atau dikembalikan harta anak yatim kepada mereka, maka sebelum itu hendaklah dipastikan terlebih dahulu dua perkara iaitu:

  • Telah mencapai usia akil baligh
  • Telah memiliki al-Rusydu (kecekapan yang cukup untuk boleh mengelola harta mereka dengan baik dan benar).

Maka Dr Wahbah Zuhaili mengatakan kedua-dua perkara ini merupakan qarinah yang perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum dikembalikan semula harta mereka. [Lihat: Tafsir al-Munir; 4/230]. Justeru itu, berbalik kepada persoalan yang dibahaskan dalam artikel ini, maka dikaitkan di sini pada perkara kedua iaitu al-Rusydu yang perlu diteliti terlebih dahulu sebelum diserahkan harta kepada mereka. Sehubungan dengan itu, dalam kes ini, mereka yang kecacatan akal berhak menerima harta warisan namun walinya atau orang yang diamanahkan untuk menjaganya akan mentadbir dan juga mengelola harta tersebut bagi pihaknya.

Penutup

Kesimpulannya, hukum harta pusaka bagi mereka yang kecacatan akal adalah mereka berhak menerima harta warisan yakni mereka boleh mewarisi harta, bahagian mereka adalah sama seperti orang yang normal berdasarkan kiraan Faraid dan harta warisan mereka akan diuruskan oleh orang yang diamanahkan untuk menjaga mereka dengan tidak memakan harta mereka secara batil, seperti mengambil harta mereka melebihi keperluan dan juga menggunakan harta mereka bagi perkata yang tiada manfaat ke atas mereka. Akhir kalam, kami menasihati agar mereka yang diamanahkan menjaga mereka yang kecacatan akal supaya menjaga mereka dengan hati yang tulus serta niat yang baik. Tidak dilupakan juga peringatan agar tidak mengambil harta mereka dengan cara yang batil. Kami mendoakan agar Allah S.W.T permudahkan segala urusan kita, menetapkan hati kita dengan keimanan dan keikhlasan dalam beribadat kepadaNya, serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.  

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1586 : IMAM PAKAI BAJU SINGKAT NAMPAK AURAT SEMASA SOLAT

  Soalan : Assalamu’alaikum ustaz, apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *