Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1509: HUKUM MENUKAR NAMA BAGI MUALAF SETELAH MEMELUK ISLAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1509: HUKUM MENUKAR NAMA BAGI MUALAF SETELAH MEMELUK ISLAM

Download PDF

 

ak 1509

 

Soalan:  

Perlukah mereka yang bukan beragama Islam menukar nama mereka atau bapa setelah memeluk Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Syariat Islam menekankan soal penggunaan nama yang bermaksud baik. Nama menjadi bentuk pengisytiharan identiti sebagai seorang Muslim, pengagungan terhadap syiar agama, hiasan dan pakaian buat bayi yang baru dilahirkan dan individu yang baru memeluk agama Islam. Nama yang baik ini bukan hanya bermanfaat untuk tujuan kehidupan di dunia, bahkan nama ini juga yang akan digunakan sewaktu dipanggil oleh Allah s.w.t. di hari akhirat nanti seperti yang dinyatakan di dalam hadis Nabi s.a.w:

«إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ، فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ»

Riwayat Abu Dawud (1996)

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu”.  

Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam Al-Bahuti menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab para ayah untuk memilih nama yang baik untuk anak-anak mereka. (Rujuk: Kasyaf Al-Qana’, 2/26).

Hukum Menukar Nama Sendiri Setelah Islam

Berdasarkan himpunan nas-nas syarak, dapat disimpulkan bahawa hukum menukar nama bagi seorang Muslim adalah berbeza mengikut keadaan: (Rujuk: Al-Adzkar An-Nawawiyyah, hlm. 247; Tuhfah Al-Maudud bi Ahkam Al-Maulud, hlm. 76; Ahkam Al-Maulud fi Al-Fiqh Al-Islami, hlm. 360; Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah, 11/334).

Pertama: Wajib

Para sarjana Islam telah bersepakat bahawa wajib menukarkan nama yang berunsur kufur, syirik dan menyaingi Allah seperti nama-nama dewa dan berhala. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.AW bersabda:

إن أَخْنَعَ اسم عند الله رجل تسمى ملك الأملاك

Maksudnya: “Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja).”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Kedua: Sunat

Nama yang mengandungi makna yang tidak elok (selain daripada nama-nama yang diharamkan) sunat untuk diubah, namun tiada paksaan dalam mengubahnya. Hal ini kerana tidak ada dalil yang jelas berhubung perkara ini. Hal ini diisyaratkan melalui hadith riwayat al-Bukhari daripada Said al-Musayyib daripada bapanya:

 أن أباه جاء إلى النبي صلى الله عليه وآله وسلم، فقال له: «مَا اسْمُكَ؟» قال: حزن، قال له: «أَنْتَ سَهْلٌ»، قال: لا أغير اسمًا سمّانيه أبي. قال سعيد بن المسيب: “فما زالت الحزونة فينا بعد”

Maksudnya: “Bahawasanya bapanya telah datang kepada nabi S.A.W lalu baginda bertanya: Siapakah namamu? Jawab beliau: Hazn (dukacita). Sabda nabi: Engkau Sahl (mudah), jawabnya: Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku. Kata Said Bin al-Musayyib: Selepas itu kami terus-terusan dirundung kesedihan.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Dalam hadis ini Rasulullah S.A.W mendiamkan (taqrir) perbuatan seorang sahabat yang mempertahankan namanya yang tidak baik. Ini merupakan petunjuk (qarinah) bahawa menggunakan nama yang pengertiannya tidak baik hukumnya adalah makruh dan bukannya haram (Rujuk: Ahkam Al-Maulud fi Al-Fiqh Al Islami, hlm. 363).

Ketiga: Harus

Apabila seseorang itu sudah memiliki nama yang baik maknanya, beliau boleh menukarnya kepada nama lain yang juga baik maknanya atau mengekalkan nama yang sedia ada. Contohnya menukarkan nama yang baik dalam bahasa ibundanya kepada nama dalam bahasa arab.

Keempat: Makruh

Orang Islam digalakkan memiliki nama yang baik. Oleh itu menukar suatu nama yang sudah elok kepada yang kurang elok atau yang tiada makna, hukumnya makruh. Contoh yang ketara ialah tindakan meringkaskan nama hingga membawa kepada tiada makna.

Kelima: Haram

Menukar suatu nama kepada nama yang dilarang, hukumnya haram. 

Berdasarkan hukum menukar nama yang telah kami jelaskan, dapat disimpulkan bahawa tuntutan menukar nama ke atas mualaf adalah berdasarkan makna yang dikandung oleh nama tersebut. Jika namanya mengandungi nama dewa tertentu, contohnya Siva atau Murugan sebagaimana yang dilakukan oleh penganut agama Hindu atau membawa maksud kekufuran maka dia wajib mengubahnya. Jika namanya sekadar mengandungi maksud yang tidak baik, maka sunat baginya untuk mengubahnya.

Di samping itu, seseorang yang memiliki nama yang membawa maksud yang baik dalam bahasa ibundanya (selain dari bahasa arab) juga tidak diwajibkan untuk menukarnya. Hal ini kerana tiada dalil yang mensyaratkan bahawa nama mesti berasal dari bahasa arab. Ini dapat dilihat menerusi amalan Nabi S.A.W. yang mengekalkan nama para sahabat yang berasal dari bangsa selain Arab.

Namun, sekiranya nama beliau mempunyai makna yang baik (di dalam bahasa ibundanya), tetapi beliau masih mahu menukar nama tersebut kepada nama dalam bahasa arab, maka hukumnya adalah harus (Rujuk: al-Bayan wa al-Tahsil, 14/3). Adapun sekiranya nama sebelum Islam beliau adalah nama yang popular dalam kalangan orang kafir (seperti nama paderi atau sebagainya) adalah lebih baik nama tersebut ditukar. (Rujuk: Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 18/55).

 

Hukum Menukar Nama Bapa Setelah Islam

Tiada sebarang dalil daripada al-Quran atau hadis Nabi S.A.W. yang menuntut seorang mualaf untuk menukar nama bapa mereka selepas memeluk Islam. Perbuatan Nabi Muhammad s.a.w menukar nama yang buruk seperti yang dibahaskan sebelum ini juga jelas menunjukan bahawa perbuatan tersebut terhenti setakat menukar nama diri para sahabat sahaja tanpa menukar nama bapa mereka. Buktinya jelas apabila ramai para sababat Baginda s.a.w. yang mengekalkan nama bapa mereka setelah memeluk Islam antaranya ialah Umar ibn al-Khatab, Bilal ibn Rabah, Ali ibn Abu Talib dan Utbah ibn Abu Lahab.  Bahkan nama Ikrimah ibn Abu Jahal juga kekal begitu walaupun bapanya adalah seorang individu yang kuat menentang Islam (Rujuk: Fatwa al-Lajnah ad-Daimah, 20/327).

Justeru, menukar nama bapa adalah tidak diwajibkan bagi seorang muslim malah ditegah oleh Islam sebagaimana hadis:

مَن ادَّعَى إلى غَيْرِ أبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أنَّهُ غَيْرُ أبِيهِ فَالجَنَّةُ عَلَيهِ حَرامٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengaku anak dari selain ayahnya, padahal dia tahu bahawa yang diakuinya itu bukan ayahnya, maka haram baginya syurga”.

Riwayat al-Bukhari (6269) dan Muslim (95)

Selain itu, amalan menukar nama bapa mualaf selepas mereka memeluk Islam dikhuatiri akan menghilangkan nasab keturunan, menimbulkan kekeliruan dan masalah dalam jangka masa panjang (Rujuk: Fatwa al-Lajnah ad-Daimah, 20/327).

Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah di atas, pada pengamatan kami, seorang mualaf berhak mengekalkan nama asalnya yang bermaksud baik walaupun ia mungkin tidak selari dengan penganut agama Islam yang lain. Lebih lebih lagi jika ia mengandungi maslahah yang berkaitan dengan pekerjaan, perniagaan, dokumen perjalanan apatah lagi hubungan kekeluargaan. Di samping itu, bagi mualaf yang mahu mengekalkan nama asal bapa mereka berhak untuk berbuat demikian bagi memelihara penasaban dan hubungan kekeluargaan.

Wallahu a’lam.

 

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-380 : HUKUM SOLAT JENAZAH TANPA WUDUK

Soalan : Assalamualaikum w.b.t Saya ingin bertanya, ada seorang sahabat saya kata boleh solat jenazah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *