Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1453 : HUKUM MENJAWAB SALAM YANG BERTULIS
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1453 : HUKUM MENJAWAB SALAM YANG BERTULIS

Download PDF

al Kafi 1453

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Saya selalu mendapat pesanan ringkas daripada keluarga dan kawan-kawan melalui aplikasi whatsApp. Dan selalunya mesej mereka dimulakan dengan lafaz salam atau assalamualaikum. Soalan saya, adakah wajib kita menjawab salam tersebut?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah taala :

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

Maksudnya : “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”

(Surah al-Nur : 61)

Ayat di atas bermaksud apabila kamu memasuki sebuah rumah, sama ada rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka sebahagian daripada kamu berilah salam ke atas sebahagian yang lain dengan lafaz (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته) atau (السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين) sekiranya tiada seorang pun (di dalam rumah tersebut). Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Lebih-lebih lagi disukai oleh orang yang mendengar. [Lihat : al-Tafsir al-Muyassar, hal. 358]

Ibn Juzai al-Kalbi menyatakan di dalam kitab tafsirnya bahawa ada yang berpandangan ia tidak terhad hanya kepada rumah-rumah (kediaman) tetapi juga masjid-masjid. Dan kita diperintahkan memberi salam kepada sesiapa yang ada di dalamnya. Sekiranya tiada sesiapa di dalamnya, berilah salam kepada Nabi SAW, para malaikat dan hamba-hamba Allah yang soleh. [Lihat : al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil (2/76)]

Hukum memberi dan menjawab salam

Hukum memberi salam asalnya ialah sunat yang sangat dituntut. Adapun menjawabnya adalah wajib. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa :

إبْدَاءُ السَّلَامِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ… وَأَمَّا جَوَابُ السَّلَامِ فَهُوَ فَرْضٌ بِالْإِجْمَاعِ فَإِنْ كَانَ السَّلَامُ عَلَى وَاحِدٍ فَالْجَوَابُ فَرْضُ عَيْنٍ فِي حَقِّهِ وَإِنْ كَانَ عَلَى جَمْعٍ فَهُوَ فَرْضُ كِفَايَةٍ فَإِذَا أَجَابَ وَاحِدٌ مِنْهُمْ أَجْزَأَ عَنْهُمْ وَسَقَطَ الْحَرَجُ عَنْ جَمِيعِهِمْ وَإِنْ أَجَابُوا كُلُّهُمْ كَانُوا كُلُّهُمْ مُؤَدِّينَ لِلْفَرْضِ سَوَاءٌ رَدُّوا مَعًا أَوْ مُتَعَاقِبِينَ فَلَوْ لَمْ يُجِبْهُ أَحَدٌ مِنْهُمْ أَثِمُوا كُلُّهُمْ

Maksudnya : “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad… Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi yang lain. Dan kalau semua menjawabnya, semuanya dikira sebagai menunaikan yang fardu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua berdosa.” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/593-594)]

Bagi mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut mengenai ‘salam’ boleh merujuk kepada artikel kami di dalam :

  1. Al-Kafi li al-Fatawi (666) : Hukum memberi salam berlainan jantina.
  2. Al-Kafi li al-Fatawi (1380) : Hukum menjawab kiriman salam.
  3. Irsyad al-Hadith Siri ke-53 : Ucapan salam : Hadith dan feqahnya.
  4. Irsyad al-Hadith Siri ke-391 : Cara menjawab salam ketika solat.
  5. Irsyad al-Hadith Siri ke-415 : Memberi salam kepada yang dikenali.

Cara menulis lafaz salam

Sebelum kita membahaskan kebih lanjut berkenaan hukum menjawab salam yang bertulis, kita perlu melihat terlebih dahulu bagaimanakah sesuatu lafaz salam itu ditulis. Adakah lafaz salam yang terdapat di dalam penulisan atau mesej, dikira sebagai salam, apabila ia ditulis dengan lafaz yang penuh atau boleh memendekkannya hanya dengan lafaz (السَّلَامُ) sahaja atau lain-lain?

Para ulama telah berbeza pendapat mengenai memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السَّلَامُ) sahaja. Sebahagian ulama tidak membenarkannya seperti Abu al-Hasan al-‘Adawi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa tidak boleh dengan hanya lafaz (السَّلَامُ) sahaja sama ada ketika memberi salam atau menjawabnya kerana ia adalah ibadah. [Lihat : Hasyiah al-‘Adawi ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani (2/473)] Manakala sebahagian yang lain, mengharuskan lafaz salam diringkaskan hanya kepada (السلام) atau (سلام) sama ada ketika memberi atau menjawab. Syeikh al-Uthaimin telah menyatakan bahawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi (السلام) kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat dia menjawabnya dengan lafaz (سلامٌ) iaitu dengan makna (عليكم سلام) : “Ke atas kamu semua kesejahteraan”. Begitu juga tidak mengapa, ketika memberi salam, jika seseorang memberi salam dengan lafaz (سلام) iaitu dengan makna (سلامٌ عليكم) : “Salam sejahtera ke atas kamu semua” atau dengan lafaz (السلام) iaitu bermaksud (السلام عليكم). [Lihat : Fatawa Nur ‘ala al-Darb (24/2)]

Pendapat Syeikh al-Uthaimin ini dikuatkan lagi dengan hadis nabi SAW :

إنَّما الأعْمالُ بالنِّيّاتِ

Maksudnya : “ Sesungguhnya setiap amalan ini tergantung pada niatnya.” [HR al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)]

Hal ini kerana seseorang itu tidak akan menulis atau memendekkan lafaz salam melainkan dia berniat atau bermaksud mahu memberi salam. Misalnya, dia menulis di awal mesejnya ‘salam’ atau ‘aslmkm’ atau apa-apa singkatan yang boleh difahami daripadanya bahawa penulis maksudkan sebagai memberi salam. Namun, jika lafaz salam tersebut dapat ditulis dengan penuh seperti ‘assalamualaikum’, maka itu adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf.

Menjawab salam yang bertulis

Berbalik kepada persoalan yang telah ditanyakan, Allah SWT ada berfirman di dalam al-Quran :

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Maksudnya : “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).

(Surah al-Nisa’ : 86)

Nabi SAW pernah bersabda kepada Aisyah R.Anha :

يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ، فَقُلْتُ : وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى

Maksudnya : “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab : ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat. [HR al-Bukhari (3217) dan Muslim (2447)]

Imam Nawawi ketika mengulas hadis ini menyatakan :

وَأَنَّ الَّذِي يَبْلُغُهُ السَّلَامُ يَرُدُّ عَلَيْهِ… وَهَذَا الرَّدُّ وَاجِبٌ عَلَى الْفَوْرِ وَكَذَا لَوْ بَلَغَهُ سَلَامٌ فِي وَرَقَةٍ مِنْ غَائِبٍ لَزِمَهُ أَنْ يَرُدَّ السَّلَامَ عَلَيْهِ بِاللَّفْظِ عَلَى الْفَوْرِ إِذَا قَرَأَهُ

Maksudnya “Sesiapa yang telah sampai padanya salam (daripada seseorang yang lain), hendaklah dia menjawabnya… dan menjawab salam tersebut adalah wajib (ke atas dirinya) dengan segera. Demikian juga jika dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang yang berada di jauh (pihak ketiga), wajib dia menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.” [Lihat : al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim (15/211)]

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kaedah :

الكتابُ كالخطاب

Maksudnya : “Penulisan sama kedudukannya seperti percakapan”

Dr. Muhammad al-Zuhaili ketika mensyarahkan kaedah ini menyatakan bahawa penulisan antara orang yang tidak hadir sama seperti pertuturan sesama orang yang hadir. Hal ini kerana pen (alat tulis) merupakan salah satu alat bicara (menyampaikan). Sesungguhnya Nabi SAW telah diperintahkan untuk menyampaikan risalah (agama ini) kepada manusia seluruhnya. Ada kalanya baginda SAW telah menyampaikan kepada mereka melalui penulisan (perutusan surat) dan ada kalanya melalui pertuturan. [Lihat : al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Mazahib al-Arba‘ah (1/339)]

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa jika seseorang menerima pesanan ringkas daripada whatsApp atau membaca surat atau lain-lain, yang mana terkandung di dalamnya lafaz salam (yang ditujukan buat pembacanya), hendaklah dia menjawabnya kerana hukum pada penulisan sama kedudukannya dengan pertuturan.

Kesimpulannya

Daripada perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Amalan memberi salam sangat digalakkan oleh Islam dan perbuatan tersebut adalah antara amalan yang paling baik sebagaimana Nabi SAW pernah bersabda apabila ditanya berkaitan Islam apakah yang terbaik:

تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَعَلَى مَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Maksudnya: “Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal.” [HR al-Bukhari (6236)]

  • Boleh memendekkan lafaz salam kepada lafaz (السلام) atau (سلام) ketika mengucapkannya. Manakala bagi penulisan atau pesanan ringkas (sms/mesej) termasuk juga lafaz-lafaz yang telah dipendekkan (short-form) yang difahami dengan maksud salam. Walaupun begitu, yang paling baik dan keluar daripada khilaf, adalah memberi salam atau menulisnya dengan lafaz yang sempurna, sekurang-kurangnya (السلام عليكم) / ‘Assalamualaikum’. Perkara ini adalah sebagaimana umum kaedah :

الاعتبار بالمقاصد، لا بالألفاظ

Maksudnya : “Sesuatu itu dikira berdasarkan kepada niat dan tujuan, bukannya kepada lafaz semata-mata” [Lihat : Ma’lamah Zayid lil Qawaid al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah (16/8)]

  • Hukum memberi salam adalah sunat muakkad manakala menjawabnya adalah wajib. Sekiranya seseorang menerima salam melalui pesanan ringkas, atau surat atau whatsApp atau lain-lain aplikasi dan salam tersebut ditujukan kepadanya, dia wajib menjawabnya sama ada secara lisan atau (afdhalnya) membalas kembali (menjawabnya) melalui pesanan ringkas tersebut. Hal ini kerana kedudukan tulisan sama seperti kedudukan pada pertuturan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *