Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1451 : TANGGUH NAZAR KERANA UZUR

Download PDF

AF1451 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya sudah bernazar. Boleh tak saya tunda untuk sempurnakan nazar saya sebab kekangan masa. Patutnya saya sempurnakan nazar minggu depan. Tapi saya kena pergi umrah dahulu. Apakah hukumnya ustaz?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Naza ditakrifkan dalam istilah Syarak sebagai: “beriltizam dengan amalan mendekatkan diri dengan Allah, yang tidak ditentukan oleh Syarak, sama ada secara mutlak, atau digantung dengan sesuatu.” Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/501). Justeru jika seseorang itu benazar itu perkara fardhu ain seperti solat fardu, atau harus, seperti berjalan kaki dan membotakkan kepala, maka ucapan nazar itu adalah sia-sia dan tidak memberi kesan kepada hukum.

Misal bagi nazar mutlak ialah seseorang berkata: “Aku wajibkan diriku berpuasa tiga hari.” Manakala, nazar muallaq, atau digantung dengan sesuatu, seperti seseorang berkata: “Aku wajibkan atas diriku jika aku dapat anak, untuk berpuasa tiga hari.”

Dalil –dalil kewajiban menunaikan nazar adalah seperti berikut:

Allah ﷻ berfirman:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”.

(Surah al-Hajj: 29)

Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

Riwayat Bukhari (6696)

Berkenaan dengan tempoh menunaikan nazar, para ulama menyebut:

Sekiranya nazar itu ditentukan waktu pelaksanaannya dengan waktu tertentu, maka wajib dilaksanakan pada waktu yang dikaitkan. Jika dia melewatkan pelaksanaan nazar daripada waktu itu tanpa keuzuran, maka dia berdosa dan wajib dia mengqadhakannya, sekiranya dia melewatkannya kerana suatu keuzuran maka tidak berdosa, dan wajib ke atasnya untuk mengqadhakannya apabila ada peluang untuk melaksanakannya.

Adapun jika nazar itu nazar mutlak, yang tidak diikat dengan waktu, maka pelaksanaan nazar itu adalah satu kewajipan yang luas waktu perlaksanaannya, dan diharuskan keatas orang yang bernazar untuk melewatkan pelaksanaannya selama mana ada peluang untuk melaksanakannya, dan apabila kuat pada sangkaannya bahawa dia boleh untuk menunaikan nazarnya.

Akan tetapi disunatkan untuk mempercepatkan pelaksanaan nazar sekalipun peluang melaksanakannya terbentang dan luas, begitu juga untuk bersegera untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab (dzimmah) nazar seperti (hukum melaksanakan) hari-hari puasa.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Manhaji (2/510)

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

  • Tidak disebutkan bagaimanakah nazar itu dibuat; sama ada secara atau ditentukan masanya, dan apakah bentuk nazarnya. Kami mengandaikan ia adalah nazar mu`allaq, yang ditetapkan waktu perlaksanaannya, berdasarkan fakta kekangan masa.
  • Berkenaan menangguhkan nazar kerana umrah, maka kami bersetuju bahawa ia adalah salah satu daripada uzur yang diiktiraf oleh Hukum Syarak. Ini kerana untuk menetapkan jadual musafir umrah, visa, dan penginapan tidak boleh dibuat tanpa ada perancangan yang spesifik. Bahkan perancangan yang rapi itu sendiri merupakan salah satu bentuk istita`ah yang ada dalam syarat wajib umrah. 
  • Pembatalan umrah untuk melaksanakan nazar akan menyebabkan kerugian kos, sedangkan hifz al-mal (penjagaan harta) daripada hilang atau rosak adalah salah satu daripada tujuan Syariat. Oleh sebab itu kami berpendapat, menangguhkan nazar disebabkan umrah adalah uzur Syarie. Wallahua’lam.

Semoga Allah ﷻ memberikan kita kekuatan untuk melaksanakan amalan dengan baik dan diterima. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *