Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI # 1449: KETIDAKPASTIAN TERPIJAK NAJIS ANJING
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI # 1449: KETIDAKPASTIAN TERPIJAK NAJIS ANJING

Download PDF

KAFI 1449

Soalan:

Assalammualaikum ustaz,  saya mengalami was-was agak teruk, kejadian tersebut sudah lama berlaku, saya memberitahu adik saya hati-hati kerana ada najis anjing (padahal saya tidak tahu najis apa). Tiba-tiba saya yang terpijak najis itu, Adakah perlu samak. Sebelum ini jiran dan rakan  ada memberitahu bahawa pernah ternampak anjing tersebut. Malah saya tidak pasti najis apa, Perlukah saya samak. Saya bimbang amalan saya tidak diterima Allah.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami bawakan perkara yang perlu diperhalusi bagi  penggunaan perkataan samak dan sertu  yang terdapat perbezaan maksud sama ada pada sudut bahasa mahupun penggunaanya dalam istilah fiqh. Oleh itu,  bacaan lanjut rujuk artikel kami yang lepas (al-Kafi 1316:Beza sertu dan samak). Dengan mengetahui penggunaan kalimah yang tepat dapat membantu kita dalam memahami sesebuah permasalahan yang berlaku tanpa timbul kekeliruan. Seterusnya, permasalahan was-was yang teruk  boleh rujuk penyelesaiannya pada artikel kami (Bayan Linnas: Was-was dan cara penyelesaiaannya)

Berbalik kepada persoalan  terpijak najis anjing atau najis selain daripadanya, sekiranya najis yang dipijak hanya terkena pada bahagian bawah tapak kasut mahupun  selipar, maka tidak  perlu dibasuh hanya memadai bersentuh dengan tanah.  Hal tersebut termasuk dalam  perkara yang sukar dielakkan  (umum al-balwa)  iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku. Tambahan pula,  kasut mahupun selipar yang sentiasa digunakan  seharian boleh disucikan secara tidak langsung  apabila terkena padanya tanah, air mahupun rumput. Tapak kasut atau selipar yang disapu pada  tanah dapat menyucikannya. Hal ini berdasarkan  riwayatAbu Sa’id al-Khudri RA, Rasullulah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya“Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya  (dengan tanah) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.”

[Riwayat  Abu Daud (650)]

Ibn Ruslan berkata: Perkataan ‘الْأَذَى’ pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Hadis tersebut menunjukkan sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/137)

Ibn Malik ketika mensyarahkan hadith dengan menyatakan bahawa:

 أن النعل إذا أصابته نجاسة ، فمسحت بالأرض حتى ذهب أثرها، جازت الصلاة فيه 

Maksudnya: Sesungguhnya sekiranya kasut terkena najis, kemudian dihilangkan dengan disapu oleh tanah sehingga hilang kesannya, maka diharuskan solat dengannya. (Lihat Syarh Masabih al-Sunnah, 1:457) Maka difahami tapak  kasut  yang terkena najis yang nyata akan hilang kesannya dengan sebab disapu oleh tanah.

Namun persoalan terpijak najis anjing akan menjadi isu sekiranya najis yang dipijak   terkena pada kulit kaki, anggota mahupun  pakaian. Lantaran itu, kami akan merungkaikan persoalan berikut dengan mengemukakan dalil  tentang  pensabitan najis mughallazah yang perlu dibasuh, serta solusi terhadap perkara tidak pasti sehingga menimbulkan keraguan.

Majoriti  ulama telah sepakat menyatakan anjing sebagai  najis (Lihat: al-Wajiz fi Fiqh al-Islami, Wahbah al-Zuhaili (1/35).  Anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana cara basuhan najis anjing lebih berat daripada najis lain sebagaimana  riwayat hadis berikut:

Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah ﷺ

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.

[Riwayat Muslim (279)]

Begitu juga berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

إِذَا شَرِبَ الكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Maksudnya: Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami maka hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan.

[Riwayat al-Bukhari (172)]

Berdasarkan mafhum  kedua-dua riwayat  hadis menunjukkan bahawa jilatan anjing itu merupakan suatu najis yang perlu dibasuh. Perintah membersihkan bekas yang dijilat anjing membawa kepada kewajipan perkara tersebut. Maka, sabit kenajisan mulut anjing itu, sedangkan ia (mulut anjing) adalah bahagian paling bersih daripada anggota badannya. Maka selain darinya (mulut) adalah lebih utama (untuk dianggap sebagai najis). Rujuk al-Iqna’, Al-Khatib al-Syarbini (1/105). Oleh itu, kefahaman  riwayat hadis tersebut sekiranya  jilatan anjing itu merupakan suatu kotoran dan perlu dibasuh, apatah lagi najis daripada anjing yang lebih jelas kekotorannya.  Sehubungan itu,  terpijak  najis mughallazah anjing  lalu terkena bahagian kulit  badan mahupun pakaian maka perlu dibasuh dengan air air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Merujuk mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis. Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi;“Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya, daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.[Rujuk al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, (m/s 185)]

Seterusnya,  sesuatu keraguan terhadap perkara yang masih tidak pasti sama ada terpijak  najis anjing mahupun najis haiwan   lain lalu terkena pada kulit kaki. Sekiranya perkara tersebut pada peringkat syak, maka hendaklah diabaikan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Hal ini kerana perkara yang dzan tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).

 (Surah al-Najm: 28)

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

Selain itu, kaedah yang bertepatan tentang syak menyebutkan bahawa:

شك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: Hukum tidak akan terbina keatas perkara syak

Kesimpulan

Secara tuntasnya, kami berpendapat bahawa solusi terhadap situasi  tidak pasti najis yang dipijak  daripada anjing  atapun tidak, lalu terkena pada kulit kaki. Maka, perkara tersebut  hanya  disyaki sahaja kerana bukan sesuatu benar-benar pasti tanpa melihat dengan mata kepala sendiri najis daripada anjing. Oleh yang  demikian, hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hambaNya daripada syariat yang telah ditetapkan olehNya. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Sebaliknya sekiranya yakin bahawa najis yang dipijak daripada haiwan anjing  lalu terkena pada kulit kaki dan melihat dengan mata kepala sendiri najis daripada anjing   maka  perlu dibasuh dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Akhir sekali, marilah kita mohon semoga Allah SWT menerima amalan kita serta memberikan  taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *