Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1440 : SEBUTAN KURANG TEPAT DALAM DOA, ADAKAH MEMBATALKAN SOLAT?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1440 : SEBUTAN KURANG TEPAT DALAM DOA, ADAKAH MEMBATALKAN SOLAT?

al Kafi 1440

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Sekiranya sebutan semasa membaca doa sebelum salam kita kurang tepat atau salah, adakah ianya termasuk dalam perkara mengeluarkan suara selain bacaan dalam solat yang merupakan salah satu perkara yang membatalkan solat?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Solat merupakan di antara ibadah yang paling utama bagi seorang Muslim. Ianya juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada hambaNya di akhirat kelak berdasarkan hadith Nabi SAW :

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ بِصَلَاتِهِ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya : “Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab dengannya oleh seorang hamba itu adalah solatnya. Jika sempurna (solatnya) maka dia akan beruntung dan berjaya. Namun, jika rosak solatnya maka dia binasa dan rugi” [HR al-Nasa’ie (465)]

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/141)]

Rukun-rukun ini juga boleh kita pecahkan kepada 4 bahagian iaitu :

  1. Rukun Qauliyyah : Ianya ada 5 iaitu takbiratul ihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi SAW serta ke atas keluarga baginda, dan memberi salam.
  2. Rukun Fi’liyyah : Ianya ada 6 iaitu berdiri, ruku’, I’tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tasyahhud akhir.
  3. Rukun Ma’nawiyyah : Hanya ada satu iaitu tertib.
  4. Rukun Qalbiyyah : Hanya ada satu iaitu niat.

[Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, m/s : 208-209]

Berdoa sebelum salam

Di antara waktu yang mustajab yang mana kita digalakkan berdoa padanya adalah pada penghujung solat. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW ditanyakan :

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari ?” Lalu kata Rasulullah S.A.W : “Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu” [HR al-Tirmizi (3499)]

Dalam hadis tersebut jelas menunjukan kepada kita bahawa di antara waktu yang mustajab padanya doa ialah pertengahan malam dan penghujung solat fardhu.

Penghujung solat bermaksud selepas tasyahhud dan sebelum salam sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah bahawa gurunya telah memilih pandangan ini. [Lihat : Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad (1/295)]

Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis-hadis berkenaan doa sebelum daripada memberi salam menyatakan bahawa dibenarkan bagi setiap orang yang mendirikan solat untuk berdoa dengan apa jua doa yang dikehendaki. [Lihat : Fath al-Bari (2/318)]

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan makna penghujung solat boleh membaca artikel kami di dalam al-Kafi li al-Fatawi (No. 1078) : Maksud penghujung solat, adakah selepas tasyahhud akhir atau selepas salam?

Berkata-kata di dalam solat

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara asasnya kita mengetahui bahawa berkata-kata ketika solat dengan selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat boleh membawa kepada batalnya solat tersebut.

Syeikh Salim al-Hadrami telah menyenaraikan 14 perkara yang membatalkan solat, salah satu daripadanya ialah bercakap dengan dua huruf yang dapat difahami secara sengaja. [Lihat : al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja (Terj. PMWP), m/s : 152 ]

Larangan tersebut adalah berdasarkan hadis, daripada Zaid bin Arqam R.A, katanya :

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِى الصَّلاَةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِى حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ (حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ) فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ

Maksudnya: “Kami pernah berbual-bual ketika menunaikan solat. Seorang daripada kami bercakap rakannya tentang keperluannya sehinggalah turun ayat yang maksudnya : Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyu’ lalu kami diperintahkan diam”. [HR al-Bukhari (4260) dan Muslim (539)]

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa kata-kata yang dimaksudkan ialah kata-kata yang lain selain daripada al-Quran, zikir dan doa. Kata-kata tersebut dianggap membatalkan solat sekiranya mengandungi dua huruf dan lebih walaupun tidak memberi apa-apa pengertian. Begitu juga satu huruf tetapi ia mempunyai makna seperti qi (قِ) yang bererti peliharalah, `ie (عِ) yang bererti sedarlah, dan fi (فِ) yang bererti tunaikanlah.

Walau bagaimanapun, jika berkata-kata ketika sedang solat kerana terlupa atau tidak mengetahui tentang keharamannya disebabkan baru memeluk Islam, kedua-duanya dimaafkan sekiranya kata-kata tersebut sedikit, dan tidak melebihi enam perkataan.

[Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/167-168)]

Kesimpulannya :

Setelah kami meneliti dalil-dalil yang dikemukakan, kami berpendapat bahawa berdoa sebelum memberi salam tidak termasuk di dalam perkara-perkara yang membatalkan solat. Malah, ianya merupakan antara tempat yang digalakan untuk berdoa berdasarkan hadis Nabi SAW.

Adapun kesilapan di dalam sebutan ketika berdoa tidaklah sampai kepada membatalkan solat kerana ianya tidak termasuk di dalam perkara-perkara rukun solat. Namun, kami menasihati agar perbaikilah bacaan doa dan sebutannya yang betul mengikut kaedah bahasa Arab, supaya maksud doa tersebut tercapai.

Kami juga telah menyebut beberapa doa sebelum memberi salam yang sabit daripada Nabi SAW di dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-258 : Doa selepas bacaan tahiyyat.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *