Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1438 : HUKUM MENANGIS KETIKA MEMBACA AL-QURAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1438 : HUKUM MENANGIS KETIKA MEMBACA AL-QURAN

Download PDF

AK1438

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, bolehkah jelaskan tentang hukum menangis semasa membaca Al-Quran lebih-lebih lagi dalam keadaan sedang solat ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menangis merupakan salah satu rahmat yang dicampakkan oleh Allah S.W.T ke dalam jantung hati para hamba-Nya yang beriman. Ia merupakan lambang kesucian jiwa, ketulusan jantung hati, serta zahir sifat khasyiatullah seorang hamba kepada Tuhannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau menceritakan bahawa ketika mana anakanda Rasulullah S.A.W yang bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanglah kedua mata baginda S.A.W. Lalu Abd Al-Rahman bin Auf berkata : ‘’Kamu juga menangis wahai Rasulullah ?’’. Maka jawab Rasulullah S.A.W :

يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ

Maksudnya : Wahai anak lelaki ‘Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu merupakan suatu rahmat.

Riwayat Al-Bukhari (1303)

Manakala perbuatan menangis semasa membaca Al-Quran pula merupakan sifat para salaf serta syiar hamba-hamba Allah yang soleh. Telah warid beberapa nas daripada syarak serta atsar salaf yang menunjukkan kepada hal ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abu Waqqas R.A beliau berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا

Maksudnya : Sesungguhnya Al-Quran ini turun dengan kesedihan. Maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak menangis hendaklah kamu buat-buat menangis.

Riwayat Ibn Majah (1337)

Demikian juga terdapat sebuah atsar yang menyebutkan secara khusus akan perbuatan menangis ketika membacakan ayat-ayat Al-Quran di dalam solat. Ini seperti yang disebutkan oleh Abdullah bin Syaddad beliau berkata :

سَمِعْتُ نَشِيجَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَأَنَا فِي آخِرِ الصُّفُوفِ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ يَقْرَأُ مِنْ سُورَةِ يُوسُفَ قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللهِ

Maksudnya : Aku mendengar tangisan teresak-esak Umar bin Al-Khattab dalam keadaan aku pada ketika itu berada di saf yang terakhir dalam solat subuh. Beliau ketika itu membaca ayat dari surah Yusuf iaitu :

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللهِ

Maksudnya : Sesungguhnya aku mengadu kesedihan dan dukacitaku kepada Allah.

Lihat Syu’ab Al-Iman, Al-Baihaqi (3/414).

Berkenaan dengan cara untuk menghadirkan perasaan sedih dalam pembacaan Al-Quran, berikut kami kongsikan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah : Cara untuk mendapatkannya (tangisan) adalah dengan menghadirkan perasaan sedih di dalam jantung hatinya dengan cara meneliti apa yang terdapat di dalam Al-Quran dari ancaman serta amaran yang keras. Begitu juga (dia mengingati) perjanjian (antara dirinya dengan Allah S.W.T) dan memikirkan secara mendalam akan kekurangannya dalam hal tersebut. Sekiranya dia tidak mampu untuk menghadirkan perasaan dukacita dan tangisan, sebagaimana yang berlaku kepada golongan Al-Khawaas, maka hendaklah dia menangis atas ketidakmampuannya (dalam menghadirkannya) kerana hal itu merupakan antara sebesar-besar musibah. Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi (Hlm. 90).

Beliau juga menyebutkan akan kata-kata Hujjat Al-Islam Al-Ghazali Rahimahullah yang menyebut : Menangis itu dituntut berserta dengan bacaan Al-Quran dan juga ketika (dibacakan) Al-Quran.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menangis ketika membaca Al-Quran adalah dibenarkan. Bahkan ia dituntut saat seseorang itu terkesan dengan makna bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca, sama ada di dalam solat atau di luar solat, seperti mendengar ayat-ayat tentang azab dan seumpamanya.

Meskipun begitu, perlu dijelaskan bahawa dalam mazhab Syafi’e, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu nyata mengeluarkan sebutan dua huruf, sama ada memiliki makna atau tidak, atau satu huruf tetapi memiliki makna seperti “قِ” yang bermaksud peliharalah, maka batallah solatnya. Adapun jika tidak jelas sebutan dua hurufnya, maka tidak batal solat seseorang itu.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-444: DIBENTANGKAN SELAWAT KEPADA RASULULLAH SAW PADA SETIAP HARI JUMAAT

      Soalan: Apakah benar selawat yang kita baca akan dibentangkan kepada Rasulullah SAW …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *