Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / Al-KAFI #1435: ADAKAH ASAP YANG BERASAL DARIPADA PEMBAKARAN DAGING BABI DIKIRA SEBAGAI NAJIS
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Al-KAFI #1435: ADAKAH ASAP YANG BERASAL DARIPADA PEMBAKARAN DAGING BABI DIKIRA SEBAGAI NAJIS

ak1435

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada lalu tepi restoran makanan Cina. Saya nampak pekedai sedang membakar daging merah tebal dan asap dari proses bakar itu kena saya. Saya tidak tahu jika ia daging babi atau bukan. Adakah asap itu najis atau tidak? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Umum mengetahui bahawa anjing dan babi merupakan najis mughallazah dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya),

(Surah al-Maidah, 3)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan apa yang terdapat pada ain anjing dan khinzir sama ada bangkai, darah, air kencing dan sebagainya adalah najis (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/47)

Asap Yang Berasal Daripada Najis

Berbalik kepada isu di atas, ulama berbeza pendapat berkenaan dengan hukum asap yang dihasilkan daripada pembakaran najis. Ini seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di dalam kitabnya:

Terdapat dua pandangan hukum berkenaan dengan asap yang dihasilkan daripada pembakaran najis di antaranya ialah: Pandangan pertama menyatakan ianya adalah najis. Ini kerana ia terhasil daripada sumber yang najis. Pandangan yang kedua menyatakan tidak najis kerana asap yang terhasil daripada najis sepertimana wap yang keluar daripada rongga badan”. (Lihat: al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 2/579)

Selain itu, apa yang dinukilkan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

Para fuqaha’ berbeza pendapat berkenaan hal asap yang terhasil daripada najis, mengikut fatwa mazhab Hanafi, pandangan yang mu’tamad di dalam mazhab maliki dan sesetengah ashab mazhab Hanbali menyatakan bahawa asap yang terhasil daripada najis adalah bersih. Dan menurut ashab hanafiyah, ini kerana mengambil jalan kebaikan dan menghindari kesukaran.

Dan selain itu, pendapat yang asoh mazhab Syafi’e, mazhab hanbali, abu yusuf daripada ulama’ hanafiyah berpendapat asap yang terhasil itu adalah najis seperti mana asalnya.

Imam Ramli daripada ulama’ Syafi’eyah berpendapat sekiranya asap itu sedikit adalah dimaafkan secara mutlak. Selain itu, mengikut pandangan Ibnu Hajar al-Haitami dimaafkan sekiranya asap itu sedikit atau asap itu terhasil bukan daripada najis mughallazah. Sekiranya daripada najis mughallazah maka dikira najis sama ada sedikit ataupun banyak.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/240)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas serta dalil yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa pada pandangan Mazhab Imam Syafi’e, terbahagi mengikut beberapa keadaan berikut:

  • asap yang terhasil daripada pembakaran najis adalah dimaafkan sekiranya ia sedikit atau tidak meniggal kesan kepada pakaian.
  • Dan sekiranya kesan asap daripada pembakaran najis memberi kesan kepada pakaian sehingga ternampak warna asap pada pakaiannya maka ia dianggap sebagai najis dan dituntut untuk menghilangkannya.

(Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/579)

Selaian itu, sekiranya kita tidak mengetahui adakah asap itu berasal daripada najis atau tidak, maka sebaiknya kita lihat daripada tanda-tanda yang terdapat kepadanya. Sekiranya tidak terdapat tanda yang menyatakan bahawa ia adalah najis, maka hukumnya ada suci seperti kaedah yang menyatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.

Begitu juga kaedah:

الشك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: tidak terbina sesuatu hukum ke atas perkara yang syak

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *