Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1429: HUKUM DARAH KUTU YANG BERADA DI BADAN BANGKAI ANJING
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1429: HUKUM DARAH KUTU YANG BERADA DI BADAN BANGKAI ANJING

Download PDF

kutU ANJING.JPG

SOALAN

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Saya seorang doktor perubatan veterinar. Dalam pembelajaran amali, kami melakukan pembedahan terhadap bangkai anjing dan pada badan anjing tersebut terdapat banyak kutu. Ada beberapa ekor kutu naik keatas baju kami dan dipicit sehingga pecah mengeluarkan darah lalu terkena baju. Soalan saya, adakah kami perlu menyucikan baju kami tersebut dengan sekali basuhan air tanah dengan disertai 6 kali basuhan air mutlak? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Para ulama’ telah menetapkan bahawa anjing dan khinzir merupakan haiwan yang tergolong dalam najis mughallazah (najis yang berat) mengikut mazhab al-Syafie berdasarkan kepada ayat al-Quran:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Nahl (115)

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا ولغَ الكلبُ في إناءِ أحدِكُم فليَغسِلهُ سبعَ مرَّاتٍ ، أولاهُنَّ أو إِحداهنَّ بالتُّرابِ

Maksudnya: Jika sekiranya anjing menjilat pada bekas air seseorang dari kalangan kamu, maka hendaklah dia membasuhnya dengan tujuh kali basuhan, basuhan yang pertama atau salah satu basuhan tersebut dengan tanah.

Riwayat Muslim (279) dan al-Tirmizi (91)

Menurut para ulama’, walaupun di dalam hadith hanya disebutkan perbuatan menjilat sahaja, namun ia merangkumi kenajisan seluruh badan anjing ini. Salah satunya kerana kebiasaan anjing itu gemar menjilat-jilat badannya. Begitu juga, peluh, darah dan najis yang berkaitan dengan anjing, maka ia adalah najis mughallazah.

Justeru itu, apabila seseorang tersentuh atau terkena pada mana-mana bahagian anjing, dalam keadaan salah satunya atau kedua-duanya basah, maka wajib disertu dengan tujuh kali basuhan air mutlak dengan salah satunya basuhan yang dicampur dengan tanah.

Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami (mazhab al-Syafie) antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah. (Rujuk al Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/185)

Berkaitan hukum kutu[1] atau serangga-serangga yang terdapat pada badan haiwan antaranya anjing dan lain-lain, para ulama membahaskan pandangan yang mengatakan bahawa ia merupakan najis yang dimaafkan (al-ma’fuw ‘anhu), jika sekiranya jumlahnya sedikit.

Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: Jika sekiranya darah kutu-kutu (serangga) terdapat pada pakaian dan celah-celah jari seseorang, kemudian dia mendirikan solat dengannya atau terdapat pada hamparan solatnya lalu kemudian dia solat di atasnya, maka hukumnya adalah tidak sah solatnya jika sekiranya darah itu banyak. Namun jika sekiranya darah tersebut sedikit, maka terdapat dua pandangan mazhab (ada yang membenarkan untuk digunakan solat dan ada yang tidak membenarkannya). (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/143-145)

Menurut Imam Khatib al-Syarbini, antara contoh darah yang dimaafkan dan termasuk di bawah kategori ‘umum al-balwa yang sukar disucikan pula ialah seperti darah nyamuk, lalat, kutu dan lain-lain darah yang tidak mampu dilihat oleh mata. (Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1:90)

Hal ini juga sepertimana disebutkan oleh Imam al-Bujairimi dalam hasyiahnya dengan berkata: Dan dimaafkan darah yang sedikit (yang terkena pakaian) seperti serangga dan kudis, contohnya darah daripada kutu dan luka kecil. (Rujuk Hasyiah Bujairimi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/318)

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa kadar kuantiti darah yang sedikit daripada serangga yang tidak mempunyai darah yang mengalir dan darah yang sedikit keluar daripada badan disebabkan jerawat, kudis, dan kurap seumpamanya, maka hukumnya adalah dimaafkan. Disamping itu juga, para ulama’ tidak membezakan sama ada serangga tersebut berada pada mana-mana tempat termasuk pada badan anjing. Justeru itu, darah kutu tersebut dihukum sebagai darah yang datang daripada serangga tersebut dan bukannya daripada darah dari binatang yang dihisap daripadanya. Maka, ia termasuk dalam perbahasan darah kutu tersebut dan bukan darah daripada tubuh anjing.

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpandangan bahawa hukum darah kutu daripada bangkai anjing adalah najis jika sekiranya ia terkena pakaian dalam kuantiti yang banyak. Maka hendaklah dia membasuhnya dengan air mutlak sehingga bersih. Dan sepertimana yang telah dijelaskan dalam perbahasan di atas, tidak disyaratkan untuk membasuhnya dengan air yang bercampur dengan tanah kerana ia bukanlah najis mughallazah seperti darah anjing itu sendiri.

Namun, jika sekiranya darah tersebut sedikit, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan (al-ma’fuw ‘anhu) di sisi sebahagian ulama’ Syafi’iyyah. Oleh itu, jika sekiranya demikian, maka ia suci dan boleh digunakan untuk mendirikan solat. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hambaNya daripada syariat yang telah ditetapkan olehNya tetapi Allah SWT ingin menyucikan dan menyempurnakan nikmat kepadanya.

Firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

Surah al-Ma’idah (6)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Kutu ialah nama biasa untuk lebih 5000 spesies serangga tidak bersayap dalam order Phthiraptera; tiga daripadanya diklasifikasikan sebagai pembawa penyakit manusia. Kutu menjadi parasit kepada setiap burung dan mamalia kecuali Monotreme (platipus dan echidna), kelawar, paus, dolfin, ikan lumba-lumba dan tenggiling. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Kutu)

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *