Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1410 : HUKUM BERFIKIR TENTANG ALLAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1410 : HUKUM BERFIKIR TENTANG ALLAH

Download PDF

 AK1410

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah hukumnya seseorang itu memikirkan tentang Allah ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berfikir tentang Allah S.W.T ini boleh difahami dengan dua maksud dan cara. Pertamanya, seseorang itu memikirkan tentang zat dan sifat Allah S.W.T. Manakala yang keduanya seseorang itu memikirkan tentang Allah S.W.T dalam erti kata dia berzikir kepada-Nya.

Dalam isu yang pertama, iaitu memikirkan tentang zat dan sifat Allah S.W.T kami menyatakan bahawa terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تفكروا في خلق الله ولا تتفكروا في الله

Maksudnya: Berfikirlah kamu tentang makhluk Allah dan janganlah kamu berfikir tentang Allah.

Riwayat Abu Nu’aim, Hilyah Al-Awliya’

Dalam hadis di atas jelas menunjukkan bahawa umat Islam dituntut untuk memikirkan tentang makhluk-makhluk ciptaan Allah supaya dengan cara tersebut mereka dapat menambahkan keyakinan dalam beriman kepada Allah S.W.T. Oleh kerana itu, hadis di atas membawa maksud yang sama dengan beberapa firman Allah di dalam al-Quran dalam menjelaskan tuntutan meneliti dan memikirkan ciptaan Allah. Antaranya:

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ بَدَأَ الْخَلْقَ

Maksudnya: (Katakanlah wahai Muhammad), berjalanlah kamu semua di atas muka bumi dan perhatikanlah bagaimana Allah memulakan penciptaan sesuatu ?

Surah Al-Ankabut (20)

Ini kerana dengan berfikir berkenaan penciptaan makhluk-makhluk Allah S.W.T dapat membantu seseorang itu untuk menambah keyakinan dan keimanan akan kekuasaan Allah. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan juga bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat padanya tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab. Iaitu golongan yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, serta berbaring dan mereka memikirkan kepada penciptaan langit-langit dan juga bumi lalu mengatakan ‘’Wahai Tuhan kami, tidaklah Kau menciptakan kesemuanya ini secara sia-sia, maha suci Kamu maka peliharalah kami dari azab api neraka’’.

Surah Aali Imran (191)

Begitu juga firman Allah S.W.T:

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: Dan pada diri kamu, apakah kamu tidak memikirkannya.

Surah Al-Dzariyat (28)

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Pandangan paling tepat dalam menjelaskan makna ayat ini adalah: Pada diri kamu juga wahai umat manusia terdapatnya tanda-tanda kebesaran Allah dan juga ibrah yang menunjukkan kepada kamu akan keesaan Pencipta kamu. Dan sesungguhnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dari sudut tidak ada yang berkuasa menciptakan seperti ciptaan-Nya kepada kamu. Maka apakah kamu tidak merenung secara mendalam akan hal tersebut serta berfikir padanya. Nescaya kamu akan mengetahui hakikat keesaan Tuhan kamu’’. Rujuk Tafsir Al-Thabari (22/419).

Demikian juga kita selaku umat Islam dilarang oleh syarak untuk memikirkan tentang zat Allah S.W.T disebabkan keterbatasan akal fikiran yang terhad. Ini seperti seseorang itu memikirkan bagaimanakah rupa bentuk Allah, adakah Allah berjirim atau berjisim, maka hal-hal seperti ini adalah dilarang di sisi syarak. Bahkan Allah S.W.T berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Tidak ada sesuatu yang semisal dengan Allah. Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Surah Al-Syura (11)

Adapun sekiranya memikirkan Allah S.W.T itu dengan cara berzikrullah menerusi zikir-zikir dan juga pembacaan Al-Quran maka hal sebegini adalah suatu kebaikan yang disyariatkan. Terdapat begitu banyak anjuran dan galakan mengingati Allah S.W.T seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran dan juga hadis-hadis yang sahih.

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: Dan golongan yang beriman itu tenang jantung hati mereka dengan mengingati Allah dan ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah jantung hati akan berasa tenang.

Surah Ar-Ra’d (28)

Manakala terdapat hadis yang menceritakan antara tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah S.W.T di hari akhirat kelak adalah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Maksudnya: Dan seorang lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian lalu berlinanglah kedua matanya.

Riwayat Al-Bukhari (1423)

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa sekiranya berfikir tentang Allah S.W.T itu merujuk kepada berfikir tentang zat Allah maka hal ini adalah dilarang. Namun sekiranya berfikir tentang Allah itu dengan cara melakukan zikrullah dan pembacaan Al-Quran maka hal ini adalah dituntut dan disyariatkan.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kepada kita kefahaman yang baik dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1425 : HUKUM DAGING KAMBING YANG MENYUSU DENGAN SUSU ANJING

Soalan : Didapati kambing tu menyusu pada seekor anjing, apakah hukum jika makan daging kambing …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *