Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1407 : HUKUM MEMINJAM DUIT ZAKAT DARIPADA PENERIMA ZAKAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1407 : HUKUM MEMINJAM DUIT ZAKAT DARIPADA PENERIMA ZAKAT

Download PDF

AF1407 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Seseorang ingin meminjam duit dari sahabatnya. Sahabatnya itu menggunakan duit zakatnya untuk membantu si peminjam. Si peminjam tidak tahu yang dia menerima duit zakat. Sahabat itu berniat kalau si peminjam bayar balik, duit zakat itu diberikan kepada orang lain yang memerlukan. Jikalau si peminjam tidak memulangkannya dan sahabatnya itu memang tidak menuntut, zakat itu dianggap telah dibayar kepada si peminjam. Adakah cara itu dibolehkan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Zakat dianggap telah sempurna penyerahannya apabila diterima oleh pihak asnaf. Jika pihak asnaf berkenaan meminjamkan harta zakat itu kepada orang lain, atau menyedekahkannya, maka itu adalah amalan baik daripada pihak asnaf, dan bukan amalan baik secara langsung daripada pemberi zakat yang pertama, Ini kerana setelah harta zakat itu apabila diterima oleh pihak asnaf maka berlakulah tamlik (pemilikan sempurna). Oleh itu, pihak asnaf memiliki hak tasarruf yang boleh menguruskan atau menggunakan harta berkenaan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Hukum Syarak.

Dalilnya ialah firman Allah ﷻ:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Menurut ulama, huruf “lam” dalam sebelum sebutan asnaf dalam ayat di atas ialah lam al-tamlik yang membawa kepada pemilikan. Rujuk al-Bayan (3/405) oleh Imam Yahya al-Imrani; al-Majmu` oleh Imam al-Nawawi (6/185).

Zakat adalah salah satu bentuk sedekah. Harta daripada sedekah di sisi orang fakir adalah miliknya dan boleh digunakan bagi tujuan yang Syarie. Berkata Imam al-Nawawi dalam kes pengurusan daging korban yang disedekahkan:

وَلَا يَجُوزُ تَمْلِيكُ الْأَغْنِيَاءِ مِنْهُمَا، وَإِنْ جَازَ إِطْعَامُهُمْ. وَيَجُوزُ تَمْلِيكُ الْفُقَرَاءِ مِنْهُمَا، لِيَتَصَرَّفُوا فِيهِ بِالْبَيْعِ وَغَيْرِهِ. بَلْ لَوْ أَصْلَحَ الطَّعَامَ وَدَعَا إِلَيْهِ الْفُقَرَاءَ

Maksudnya: “Tidak harus bagi orang kaya untuk memiliki (daging haiwan korban dan hadyu) sekalipun diharuskan mereka untuk makan. Dan pula, harus pemilikannya oleh orang miskin daripada kedua-duanya, dan menggunakannya untuk tujuan jual beli atau selainnya, bahkan jika mereka mempersiapkannya sebagai hidangan dan menjamu orang ramai daripada kalangan faqir.”

Rujuk Raudhah al-Tolibin (3/222)

Berdasarkan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa apabila penerima zakat memberi pinjam atau menyedekahkan zakatnya kepada orang lain adalah dibenarkan dan tidaklah menjadikan penerima kedua itu sebagai penerima harta zakat. Ini kerana apabila berlaku permindahan harta daripada pemberi zakat kepada penerima zakat maka lengkapkan penukaran milik. Harta apabila sudah berpindah milik secara sempurna layaklah untuk digunakan berdasarkan kehendak pemilik baru dengan cara yang sesuai dengan Hukum Syarak. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita semua.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 331 : MAKSUD MAHRAM SEMENTARA

  Soalan : Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah yang dimaksudkan dengan mahram sementara dan apakah implikasi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *