Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1380: HUKUM MENJAWAB KIRIMAN SALAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1380: HUKUM MENJAWAB KIRIMAN SALAM

Download PDF

menjawab kiriman salam.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum menjawab kiriman salam daripada seseorang serta bagaimana cara menjawabnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, amalan mengirim salam ini telah dilakukan sejak dari zaman Nabi SAW lagi. Pernah seorang sahabat menyuruh anaknya untuk berjumpa Nabi SAW dan berpesan untuk menyampaikan salam kepada Baginda, kata anaknya:

فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَبِى يُقْرِئُكَ السَّلاَمَ. فَقَالَ : عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ

Maksudnya: Aku pun datang menemui Baginda. Aku sampaikan: “Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu.” Lalu Nabi SAW menjawab: “Untukmu dan untuk bapamu balasan salam.”

Riwayat Ahmad (23104), Abu Daud (2936) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13430)

Pengarang ‘Aun al-Ma’bud menukilkan dalam kitab Fath al-Wadud, katanya: “Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga menjawab kepada yang membawa pesanan salam itu.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 14/97)

Antara lain juga, dicatatkan berkenaan bagaimana malaikat Jibril AS menitipkan salam melalui Nabi SAW kepada Aisyah R.Anha kerana Aisyah tidak dapat melihat Jibril. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ ». فَقُلْتُ وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab: ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat.

Riwayat a-Bukhari (3217) dan Muslim (6457)

Dalam riwayat Imam Ahmad, Saidatina Aisyah R.Anha menjawab salam tersebut dengan lafaz:

عَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Maksudnya: “Untuk anda dan untuknya salam, rahmat Allah dan keberkatan-Nya.”

Riwayat Ahmad (24857)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis Aisyah dalam riwayat Muslim di atas, menyebut: “Menjawab salam seperti ini hukumnya wajib segera. Demikian juga jika dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang yang berada di jauh, wajib dia menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 15/211)

Imam Nawawi turut berkata dalam kitab al-Majmu’: Maka apabila seseorang memanggil dari belakang dinding atau seumpamanya dengan berkata: “al-Salam ‘alaik, wahai fulan,” atau seseorang menulis surat dan memberi salam di dalamnya kepada penerima surat, atau seseorang mengutuskan seorang utusan dengan katanya: “Sampaikan salamku kepada fulan,” maka apabila sampai kepada orang tersebut surat, atau orang utusan, wajib ke atas orang tersebut menjawab salam dengan segera.(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/594)

Oleh itu, jelas bahawa apabila seseorang datang dan menyebut bahawa seseorang menyampaikan salam kepada kita, maka kita hendaklah segera menjawabnya.

Kita juga disunatkan untuk turut membalas salam kepada penyampai salam tersebut. Imam Nawawi berkata: Disunatkan juga membalas salam kepada utusan yang menyampaikan salam bersama orang yang menyampaikan salam dengan berkata: ” وَعَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه” yang bermaksud: “Ke atas kamu (utusan yang membawa salam) dan ke atas dia (yang menyampaikan salam) keselamatan, rahmat dan keberkatan dari Allah jua.” Dalam perkara ini, terdapat hadis di dalam Sunan Abi Daud, isnadnya lemah, akan tetapi hadis-hadis fadhail diamalkan padanya dengan hadis dhaif.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/594)

 

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, dapat disimpulkan:

  • Apabila kita menerima salam daripada seseorang, wajib untuk kita menjawabnya dengan segera.
  • Selain itu, kita juga disunatkan untuk turut menjawab salam kepada orang yang membawa pesanan salam tersebut.

Kami menutup persoalan salam ini dengan mengingatkan sebuah nas Ilahi:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Maksudnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).

Surah al-Nisa’: 86

Imam al-Qurtubi berkata: “Apabila diucapkan kepada kamu dengan ucapan penghormatan seperti minta keredaan atau ketinggian dan juga salam. Asal tahiyyat ialah doa dengan kehidupan dan tahiyyat bagi Allah dengan maksud salam dan keselamatan dari sebarang kebinasaan. Al-Kisa’ie memaknakan tahiyyat bagi Allah dengan makna keberkatan.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/297)

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1401 : ADAKAH MEMASUKI PUSAT MEMBELI BELAH SAMA SEPERTI MASUK PASAR ?

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah hukum masuk ke pusat membeli belah sama seperti memasuki pasar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *