Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1378: IDDAH WANITA YANG MELAKUKAN IVF TANPA PERNAH BERSETUBUH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1378: IDDAH WANITA YANG MELAKUKAN IVF TANPA PERNAH BERSETUBUH

Download PDF

iddah ivf.JPG

SOALAN

Bolehkah saya mengetahui jawapan untuk persoalan saya. Saya seorang wanita yang diceraikan suami. Sepanjang tempoh perkahwinan kami mempunyai masalah dan tidak pernah bersetubuh. Namun, kami pernah mencuba melakukan perubatan IVF, namun masih tidak berjaya. Persoalan saya, adakah saya dikenakan iddah kerana tidak pernah bersetubuh?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Persoalan berkaitan iddah ini telah kami jawab dalam beberapa artikel kami sebelum ini, antaranya:

  • Al-Kafi #820 : Wanita Dalam Iddah Raj’ie Yang Kematian Suami[1]

  • Bayan Linnas Siri 61: Calon Wanita Berkempen Untuk Pilihanraya Dalam Keadaan ‘Iddah[2]

  • Al-Kafi #506: Iddah Bagi Wanita Menopaus[3]

Oleh itu, dalam menjawab persoalan iddah kami mulakan dengan menyatakan bahawa pensyariatan iddah bagi wanita yang diceraikan adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). 

(Surah al-Baqarah: 228)

 

Sesungguhnya syarak membahagikan hukum talak mengikut keadaan-keadaan tertentu sama ada iddah disebabkan kematian atau penceraian. Manakala, iddah disebabkan penceraian pula terbahagi kepada dua, iaitu sama ada berlaku persetubuhan atau belum berlaku persertubuhan.

Maka, secara asasnya bagi wanita yang diceraikan suami sebelum persetubuhan syarak telah menyebut secara jelas hukumnya melalui

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

(Surah al-Ahzab: 49)

Dalam isu ini telah oleh fuqaha’ mazhab al-Syafie, antaranya yang dirumuskan oleh Dr. Muhammad Zuhaili:

وسواء كانت المرأة حاملا أو حائلا, كبيرة أو صغيرة, عاقلة أو مجنونة ولو بمجرد استدخال مني الزوج

Maksudnya: Sama ada wanita itu hamil atau tidak, dewasa atau kanak-kanak, berakal atau gila, meskipun hanya dimasukkan mani sahaja (ke dalam faraj). Lihat kitab al-Mu’tamad (4/260)

Hal yang sama disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami bahawa apabila dimasukkan mani sesiapa yang pada sangkaan adalah suami wanita tersebut, maka dikenakan iddah. Lihat Tuhfah al-Muhtaj (8/231).

Untuk menjawab persoalan di atas, kami nyatakan takrifan bagi menjelaskan proses IVF (In Vitro Fertilization). Persenyawaan Luar Rahim (In-Vitro Fertilizaton, IVF) merupakan satu kaedah yang melibatkan persenyawaan ovum isteri dengan sperma suaminya di dalam vitro (kaca). Setelah disenyawakan, embrio yang terhasil dipindahkan ke dalam rahim.[4] IVF ini kebiasaan dilakukan oleh pasangan yang gagal mendapatkan zuriat dengan kaedah persetubuhan normal.

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan bahawa IVF adalah termasuk di dalam perbuatan memasukkan mani suami ke dalam faraj isteri. Maka, seperti mana yang dijelaskan di atas, kes ini turut dikenakan iddah. Dalam bahasa yang lain, kemasukan mani ke dalam rahim isteri berlaku walaupun bukan melalui cara tabi’i. Justeru, sekali lagi kami tegaskan ia perlu kepada iddah.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam mempraktikkan syariat-Nya. Amin.

 

 

______________________________________________

Nota Hujung:

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2625-al-kafi-820-wanita-dalam-iddah-raj-ie-yang-kematian-suami?highlight=WyJpZGRhaCIsIidpZGRhaCJd

[2] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1159-bayan-linnas-siri-61-calon-wanita-berkempen-untuk-pilihanraya-dalam-keadaan-iddah?highlight=WyJpZGRhaCIsIidpZGRhaCJd

[3] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2084-al-kafi-506-iddah-bagi-wanita-menopaus?highlight=WyJpZGRhaCIsIidpZGRhaCJd

[4] Lihat M.A. Allard et al., “The Experience Of In Vitro Fertilization Procedure (IVF)”, Gynecologie, Obstetrique & Fertilite 35, no. 10 (2004), 1010. Dipetik dalam Rawatan Infertiliti dari Perspektif Maqasid al-Shari’ah oleh Mohd Anuar Ramli etc., hlm. 89.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *