Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1374: MAKSUD HUBUNGAN SILATURRAHIM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1374: MAKSUD HUBUNGAN SILATURRAHIM

Download PDF

HUBUNGAN SILATURRAHIM.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Apakah yang dimaksudkan dengan hubungan silaturrahim?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Surah al-Nisa’ (1)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaati-Nya. Kata Ibrahim, Mujahid dan al-Hasan: “الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ” ertinya sebagaimana ucapan seseorang: “Aku meminta kepadamu dengan (nama) Allah dan dengan (hubungan) rahim.”

Al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.

Sebahagian ulama membaca ” والأرحامِ ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ”, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا مِن بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَـٰئِكَ مِنكُمْ ۚ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Surah al-Anfal (75)

Ibn Kathir berkata: Bukanlah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT: “وَأُولُو الْأَرْحَامِ” (orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat) dengan bersifat khusus sepertimana yang dikemukakan oleh para ulama’ ahli ilmu faraidh, iaitu kaum kerabat yang tidak hanya mempunyai hak pewarisan secara fardhu dan juga asobah, tetapi semua pewaris seperti ibu saudara dan bapa saudara dari sebelah ibu, ibu saudara dari sebelah ayah, anak lelaki daripada anak perempuan (cucu), anak lelaki daripada saudara perempuan (anak saudara) dan lain-lain sebagaimana yang diakui oleh sebahagian mereka dengan menggunakan dalil ayat al-Quran, bahkan mereka meyakini hal itu dengan jelas. Namun, yang benar adalah bahawa ayat tersebut bersifat umum yang merangkumi seluruh kerabat seperti yang ditegaskan oleh Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan ulama yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Qurtubi berkata: Al-Rahim yang disambungkan adalah merangkumi secara umum dan khusus. Adapun yang umum adalah rahim dalam agama, iaitu wajib menyambungkannya dengan mengasihi dan menasihati, bersikap adil dan tidak menzaliminya, serta menunaikan hak-hak yang wajib dan yang dituntut. Manakala al-Rahim yang khusus adalah menambahkan pada nafkah kepada kerabat, serta mengambil cakna hal ehwal mereka serta memberi kemaafan atas kegelinciran dan kesilapan mereka. (Lihat Fath al-Bari, 10/418)

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ

Maksudnya: Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); –

Surah al-Ra’d (21)

Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka mengikat tali perhubungan silaturrahim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Lalu mereka bergaul dengan kaum kerabat dengan perasaan penuh kecintaan dan kebaikan. Seterusnya mereka berbuat kebaikan kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan pertolongan antara mereka dengan memberikan kebaikan kepada mereka dan menjauhkan bahaya daripada mereka mengikut kemampuan yang mereka ada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3510)

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة

“Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.” (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347)

Antara hadis yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.

Riwayat al-Bukhari (5983)

Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut: Al-Rahim (الرحم) secara umum adalah dimaksudkan kepada kaum kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis keturunan (nasab), sama ada berhak mewarisi atau tidak, dan sebagai mahram atau tidak. Menurut pendapat lain, mereka adalah daripada mahram (kerabat dekat yang haram dinikahi) sahaja. Pendapat pertama lebih kuat kerana menurut batasan kedua, anak-anak saudara dan anak-anak ibu saudara bukan kerabat yang dekat kerana tidak termasuk yang haram dinikahi, sedangkan ia tidaklah sedemikian. (Lihat Fath al-Bari, 10/414)

Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebut bahawa silaturrahim adalah ungkapan berkenaan berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat – sama ada mengikut garis keturunan atau melalui perkahwinan – berlemah lembut dan mengasihi mereka serta mengambil cakna akan hal keadaan mereka. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/645)

Ibn al-Athir pula menyebut: “Banyak hadith yang menyebutkan berkenaan silaturahim. Ia merupakan kinayah (yang memberi maksud secara tidak langsung) untuk perbuatan baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan nasab, atau kerabat kerana hubungan pernikahan, dengan berlemah-lembut dan memberi kasih sayang kepada mereka serta mengambil peduli akan hal keadaan mereka. Manakala memutuskan silaturrahim adalah lawan daripada semua perkara itu.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/191-192)

 

Kesimpulan

Oleh itu berdasarkan nas dan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa antara maksud silaturrahim adalah menyambung hubungan antara kaum kerabat sama ada melalui garis keturunan atau melalui perkahwinan dengan pelbagai cara seperti mengunjungi mereka, memberi bantuan kepada mereka ketika memerlukan, mengambil cakna akan hal keadaan mereka dan seumpamanya.

Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah hadis Nabi SAW ketika Baginda sampai ke kota Madinah dengan bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”

Riwayat Ibnu Majah (3251)

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya termasuklah menyambung silaturrahim dengan sebaiknya. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1401 : ADAKAH MEMASUKI PUSAT MEMBELI BELAH SAMA SEPERTI MASUK PASAR ?

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah hukum masuk ke pusat membeli belah sama seperti memasuki pasar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *