Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL KAFI #1352 : PENGGUNAAN LAFAZ ‘KAMI’ OLEH ALLAH ADAKAH MENAFIKAN KEESAAN – NYA ?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL KAFI #1352 : PENGGUNAAN LAFAZ ‘KAMI’ OLEH ALLAH ADAKAH MENAFIKAN KEESAAN – NYA ?

Download PDF

AK 1352

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, saya ada satu kemusykilan. Dalam tafsir Al-Quran, banyak kata ganti ‘KAMI’ digunakan dalam setiap tafsiran ayat. Kenapa tafsiran Al-Quran dibuat menggunakan kata ganti ‘KAMI’ berbanding kata ganti ‘AKU’ yang lebih menggambarkan Allah yang Maha Esa. Sekian terima kasih.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Seperti yang dimaklumi, Allah S.W.T bersifat dengan sifat esa, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, serta tidak ada yang sekufu mahupun standing dengan Allah S.W.T. Inilah seperti yang diajarkan kepada kita menerusi firman Allah S.W.T:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Dia adalah Allah yang Maha Esa. (Dialah) Allah yang mana seluruh makhluk bergantung pada-Nya. Dia tidak beranak dan tidak pula Dia diperanakkan. Dan tidak terdapat bagi-Nya suatu pun yang sekufu (standing) dengan-Nya.

Surah Al-Ikhlas (1-4)

Menurut Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur, nama al-Ikhlas lebih masyhur kerana ia menghimpunkan makna-makna surah ini, yang mana ia mengajar manusia sifat ikhlas dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, yakni aqidah yang bebas daripada mensyirikkan Allah SWT dalam ketuhanan. Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609-610).

Manakala dalam mengulas maksud kalimah اللَّهُ أَحَدٌ beliau berkata: ‘’Dia bersendirian dengan hakikat ketuhanan. Manakala jika disebutkan الله واحد maka yang dimaksudkan dengannya adalah Allah itu bersifat tunggal yang tidak berbilang-bilang, maka yang selain dari-Nya bukanlah Tuhan. Dan implikasi dari kedua ciri ini adalah menafikan Allah S.W.T dari sebarang sekutu dalam ilahiyah (ketuhanan).’’

Rujuk Al-Tahrir wal Tanwir, Ibn ‘Asyur (31/613)

Meskipun sudah jelas lagi bersuluh bahawa Allah S.W.T bersifat esa, sebahagian orang mungkin tertanya-tanya mengapakah dalam beberapa tempat di dalam Al-Quran yang mana Allah S.W.T mensifatkan dirinya dengan perkataan ‘Kami’ dan bukannya ‘Aku’. Ini seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ

Maksudnya : Kami menceritakan kepada kamu (wahai Muhammad) berita tentang mereka dengan penuh kebenaran.

Surah Al-Kahf (13)

Demikian juga firman Allah S.W.T:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami yang telah menurunkan Al-Zikr (Al-Quran) dan sesungguhnya Kami lah yang akan memelihara ia.

Surah Al-Hijr (9)

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu jelas bahawa Al-Quran diturunkan di dalam Bahasa Arab. Ini seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah S.W.T:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran ini di dalam bahasa Arab mudah-mudahan kamu memahaminya.

Surah Yusuf (2)

Di sisi masyarakat Arab, seseorang itu apabila dia ingin membesarkan dan memuliakan dirinya, maka dia akan menggunakan kata ganti diri yang bersifat jamak (kata banyak). Justeru, seseorang itu tidak menyebut : ‘Buku ini telah saya tulis dalam tempoh sebulan’ sebaliknya dia menyebut: ‘’Kami telah menulis buku ini dalam tempoh sebulan’’.

Di dalam kitab Mu’jam al-Wasith, penulisnya menyebutkan:

 نحن: ضمير يعبر به الاثنان، أو الجمع المُخْبِرون عن أنفسهم، وقد يعبِر به الواحد عند إرادة التعظيم

Kami: Merupakan kata ganti nama diri bagi menunjukkan kepada dua orang, atau jamak (lebih dari dua orang) yang mengkhabarkan tentang diri mereka. Dan kadangkala ia digunakan oleh seseorang ketika ingin mengagungkan (dirinya).

Rujuk Al-Mu’jam al-Wasith (Hlm. 945).

Maka tidak terdapat sebarang salah faham apabila Allah S.W.T mensifatkan diri-Nya dengan perkataan ‘Kami’. Ini memandangkan Allah S.W.T adalah Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Besar. Oleh yang demikian, kita menyatakan bahawa:

كل ضمائر الجمع المنسوبة إلى الله عز وجل المراد بها التعظيم

Maksudnya: Kesemua kata ganti nama yang bersifat jamak yang dinisbahkan kepada Allah S.W.T maka yang dimaksudkan dengannya adalah keagungan @ kebesaran.

Kami sertakan juga pandangan Syeikh al-Sya’rawi yang menyebut secara mafhumnya: ‘’Apabila Allah S.W.T ingin menceritakan tentang hakikat perbuatan-Nya, maka digunakan perkataan ‘’Kami’’, manakala apabila Allah ingin menceritakan tentang zat-Nya, Dia menggunakan perkataan ‘’Aku’’.

Bahkan perkataan ‘Kami’ merujuk kepada perbuatan yang mempunyai instrumen yang banyak. Seperti contohnya dalam Surah Al-Hijr ayat 9, apabila Allah S.W.T menyebutkan ‘’Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Zikr (al-Quran)..’’ maka ayat ini melibatkan banyak ciri dari sudut Allah menurunkan al-Quran dengan ilmu-Nya, hikmah kebijaksanaan-Nya, dengan kudrat-Nya, dan seumpamanya. Maka kerana itu digunakan perkataan Kami berbanding Aku di situ.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa Allah S.W.T bersifat esa dan tunggal sebagai Tuhan. Namun ini tidak menafikan penggunaan ‘Kami’ digunakan oleh Allah S.W.T dalam mensifatkan diri-Nya sendiri dengan maksud kebesaran, keagungan, serta kemuliaan.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat lagi benar kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

ZAKAT KE ATAS HARTA SEUMPAMA PINGGAN MANGKUK, BUKU-BUKU ATAU PAKAIAN

Soalan: Assalamulaikum wrm. wbt, Kalau menyimpan sejumlah wang atau memiliki barangan kemas, orang Islam diharuskan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *