Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1337: ADAKAH ADA HAK KHIYAR KEPADA PEMBELI YANG SENGAJA MELAMBATKAN PEMULANGAN BARANG YANG CACAT?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1337: ADAKAH ADA HAK KHIYAR KEPADA PEMBELI YANG SENGAJA MELAMBATKAN PEMULANGAN BARANG YANG CACAT?

Download PDF

AK1337.PNG

SOALAN

Assalamualaikum ustaz. Saya baru sahaja berpindah ke rumah baru dan telah menempah satu set meja makan untuk digunakan di rumah baru tersebut. Setelah menerima set meja makan itu, saya dapati bahawa salah satu daripada kaki meja tersebut telah bengkok. Namun selepas lima bulan baharu saya memberitahu tuan kedai tersebut. Bagaimana dengan keadaan tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Isu yang diajukan ini adalah termasuk dalam bab khiyar pada bab jual beli. Khiyar bermaksud pilihan untuk meneruskan atau membatalkan akad yang telah dipersetujui oleh mereka yang berakad dalam tiga keadaan iaitu khiyar majlis, khiyar syarat dan khiyar ‘aib. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/21)

Secara umumnya, hak khiyar diberikan bertujuan untuk menjaga kepentingan serta kebajikan pihak-pihak yang berakad. Ianya juga bertujuan untuk memastikan bahawa terdapatnya keredaan dan kerelaan dalam hati pihak yang berakad sebelum akad dilaksanakan atau diteruskan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa jual beli mesti dijalankan dengan prinsip reda-meredai antara penjual dan pembeli. Oleh itu, kecurangan, pendustaan dan pemalsuan merupakan perbuatan yang diharamkan dalam jualbeli. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1169)

Secara khususnya, permasalahan di atas melibatkan khiyar ‘aib. Di dalam Matan Abi Syuja menyebut:

وإذا وجد بالمبيع عيب فللمشتري رده

Maksudnya: “Dan sekiranya terdapat dalam barangan yang dijual itu kecacatan, pembeli berhak mengembalikannya.” (Lihat al-Tazhib fi Adillat Matan ak-Ghayah wa al-Taqrib, /127)

Khiyar ‘aib bermaksud pembeli diberikan pilihan sama ada merelakan kecacatan yang ada atau memulangkan semula barangan tersebut kepada penjual dengan dia membatalkan jual beli tersebut mengambil semula bayaran yang telah dibuat. Dia dibenarkan berbuat demikian sekiranya dia tidak mengetahui kecacatan tersebut wujud ketika akad dimeterai mahupun ketika penerimaan.(Lihat Hasyiata Qalyubi wa Umairah, 7/3 dan al-Fiqh al-Manhaji, 6/26)

Demikian dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

وَلاَ تُصَرُّوا الإِبِلَ وَالْغَنَمَ فَمَنِ ابْتَاعَهَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ بِخَيْرِ النَّظَرَيْنِ بَعْدَ أَنْ يَحْلُبَهَا فَإِنْ رَضِيَهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ سَخِطَهَا رَدَّهَا وَصَاعًا مِنْ تَمْرٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian menahan susu unta dan kambing (agar kelihatan gemuk). Barangsiapa membeli binatang tersebut dan setelah diperah susunya (ternyata kelihatan tidak gemuk), maka ia boleh memilih dua pilihan yang terbaik, ia boleh memilikinya atau mengembalikannya dengan tambahan kurma satu sha’.” [Riwayat Muslim (1515) Abu Daud (3443) dan al-Nasa’I (4487)]

Antara syarat yang membolehkan khiyar aib ialah:

  1. Dapat dibuktikan kecacatan tersebut sememangnya sedia ada.
  2. Berdasarkan amalan perniagaan, kecacatan tersebut dianggap sebagai kecacatan yang boleh menjejaskan nilai barangan.
  3. Pada kebiasaannya, kecacatan tersebut tidak wujud. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/43 dan I’anah al-Thalibin, 3/30)

Menjawab kepada persoalan di atas, tempoh had masa yang diberikan kepada pembeli untuk memulangkan semula barang yang dibeli disebabkan kecacatan yang ditemui adalah sebaik sahaja dia menemukan kecacatan tersebut. Disebutkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:

يثبت حق الرد بخيار العيب فور الاطّلاع على العيب، حسب العُرْف والعادة

Maksudnya: “Hak bagi memulangkan kembali barang yang dibeli disebabkan khiyar ‘aib adalah sebaik sahaja kecacatan tersebut dikenalpasti, namun ia juga perlu menurut ‘uruf dan amalan setempat yang digunapakai.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/27)

Setiap pembeli perlu bertindak segera dalam memulangkan barangan yang terdapat kecacatan kepada penjual. Tempoh masa yang lama seperti lima bulan atau setahun sebelum memulangkan barangan tersebut menunjukkan seperti pembeli telah reda dengan pembelian tersebut walaupun barang tersebut cacat. Begitu juga, tempoh yang lama memungkinkan juga bahawa barangan yang rosak dan cacat tersebut adalah ketikamana digunakan oleh pembeli sendiri.

KESIMPULAN

Islam mengharuskan amalan jual beli kepada manusia bagi memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan seharian. Secara umumnya, barangan jualan perlulah sempurna dan mempunyai nilai kepada pembeli sebelum pembeli melaksanakan bayaran penuh. Dengan itu, barulah pembeli mendapat manfaat serta pulangan di atas pembayaran yang telah dibuat. Sekiranya pembeli menyedari terdapat kecacatan atau kekurangan yang menghilangkan manfaat barangan tersebut, maka Islam memberikan ruang khiyar kepada pembeli untuk memulangkan kembali barangan tersebut kepada penjual dan mengambil kembali bayaran yang dibuat.

Tempoh masa yang diberikan kepada pembeli untuk memulangkan kembali barangan yang cacat adalah sebaik sahaja menyedari kecacatan tersebut. Tempoh masa yang lama menurut uruf dan adat menjadikan hak khiyar pembeli akan gugur. Mengambil masa yang lama sebelum memulangkan barang tersebut menunjukkan pembeli memilih untuk meneruskan jual beli walaupun menyedari wujudnya kecacatan. Hak khiyar juga akan gugur sekiranya pembeli menggunakan barangan tersebut padahal pembeli tahu bahawa barang tersebut adalah cacat dan dia mampu untuk memulangkannya.

Semoga penjelasan yang diberikan ini mempu membuka minda dan memberi kefahaman kepada kita semua bagi memudahkan urusan seharian kita seterusnya mengamalkan syariat Islam yang sebenarnya. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

ZAKAT KE ATAS HARTA SEUMPAMA PINGGAN MANGKUK, BUKU-BUKU ATAU PAKAIAN

Soalan: Assalamulaikum wrm. wbt, Kalau menyimpan sejumlah wang atau memiliki barangan kemas, orang Islam diharuskan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *