Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1291: MENGAPAKAH DIGUNAKAN PERKATAAN "سنة" DAN "عام" DALAM AYAT KE-14 SURAH AL-‘ANKABUT?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1291: MENGAPAKAH DIGUNAKAN PERKATAAN "سنة" DAN "عام" DALAM AYAT KE-14 SURAH AL-‘ANKABUT?

Download PDF

gambar artikel perbezaan am dan sanah

 

SOALAN

Dalam surah al-‘Ankabut, digunakan perkataan “سنة” dan “عام” dalam satu ayat yang sama, iaitu pada ayat yang ke-14 sedangkan kedua-duanya membawa makna yang sama, iaitu tahun. Mengapakah digunakan dua perkataan yang berbeza tetapi membawa makna yang sama dalam satu ayat yang sama? Mohon penjelasan SS Mufti.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Al-Qur’an merupakan satu mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW untuk dijadikan pedoman oleh manusia sehingga ke akhir zaman. Keajaiban al-Qur’an diakui oleh umat terdahulu sehingga ke hari ini, sehinggakan tiada siapa yang mampu untuk mencipta dan meniru apa yang terkandung di dalam al-Qur’an. Allah SWT telah berfirman:

 

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun untuk mendatangkan sesuatu seperti Al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”.

Surah Al-Isra’: 88

 

Namun begitu, ini tidak bermakna bahawa al-Qur’an tidak mampu difahami oleh manusia disebabkan ketinggian seni dan laras bahasanya. Allah SWT telah berfirman:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya kami memudahkan Al-Qur’an dengan bahasamu (wahai Muhammad), moga-moga mereka mengambil pengajaran”.

Surah Ad-Dukhan: 58

 

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-‘Ankabut, ayat ke-14:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh AS kepada kaumnya, maka tinggallah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun”

Dalam ayat di atas, Allah SWT telah menggunakan dua perkataan yang berbeza tetapi membawa makna yang sama, iaitu perkataan “سنة” dan “عام” dalam satu ayat yang sama. Apakah rahsia di sebalik penggunaan dua perkataan yang berbeza ini?

Para mufassirin (ahli-ahli tafsir) telah membincangkan mengenai rahsia atau hikmah di sebalik susun atur ayat yang ke-14 surah al-‘Ankabut kepada dua perkara:

 

Perkara Pertama: Allah SWT telah menyebut bahawa Nabi Nuh AS telah diutuskan kepada kaumnya  selama 1000 tahun kecuali 50 tahun, berbanding terus menyebut jumlah tahun Nabi Nuh diutuskan iaitu selama 950 tahun.

Penerangan para mufassirin:

  1. Istisna’ (pengecualian) yang digunakan dalam ayat ini adalah untuk menetapkan dan menegaskan bilangan sesuatu perkara tersebut dengan lebih tepat berbanding dengan menyebut bilangan secara terus yang mana ia merupakan hanya satu anggaran kepada sesuatu bilangan tersebut. Rujuk Fath al-Qadir al-Jami’ Bayna Fanni al-Riwayah wa al-Dirayah fi Ilmi al-Tafsir (4/226), Bayan al-Ma’ani (4/469), Tafsir al-Maraghi (20/123).
  1. Ketika mana datangnya kisah Nabi Nuh AS sebagai satu ancaman sepertimana apa yang telah berlaku ke atas kaumnya, maka disebut bilangan seribu terlebih dahulu untuk menjadikannya lebih besar di kalangan orang yang mendengarnya, kemudian dikeluarkan daripada bilangan seribu itu lima puluh tahun untuk menerangkan jumlah sebenar bilangan tahun Nabi Nuh AS diutuskan kepada kaumnya. Rujuk Fath ar-Rahman fi Tafsir al-Qur’an (5/234), Bayan al-Ma’ani (4/469), al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (13/334).
  1. Sheikh Ahmad al-Maraghi Rahimahullah pula menambah bahawa penggunaan perkataan seribu (ألف) menjadikan ayat tersebut lebih indah dan lebih menepati tujuan ayat tersebut diturunkan. Rujuk Tafsir al-Maraghi (20/123).

 

Perkara Kedua: Allah SWT menggunakan perkataan (سنة) dan  (عام) dalam satu ayat yang sama.

Penerangan para mufassirin:

  1. Kepelbagaian perkataan telah digunakan dalam susunan ayat {أَلْفَ سَنَةٍ إِلاَّ خَمْسِينَ عَاماً} bagi mengelakkan pengulangan perkataan yang sama dalam satu ayat kerana pengulangan perkataan dalam satu ayat yang sama tidak memberikan sebarang faedah dan bertentangan dengan kefasihan bahasa Arab (balaghah) kecuali jika ia digunakan untuk membesarkan sesuatu perkara tersebut atau untuk memberi ancaman. Rujuk Sofwat at-Tafasir (2/420), Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa asy-Syariah wa al-Manhaj (20/208), Tafsir al-Kasyyaf ‘an Haqaiq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqowil fi Wujuh at-Ta’wil (3/445-446), Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir (20/222).
  1. Sheikh Ahmad al-Maraghi Rahimahullah pula mengatakan perkataan (سنة) dan (عام) digunakan dalam ayat di atas kerana orang Arab menggunakan istilah (عام) untuk menggambarkan tahun yang subur dengan banyak hasil yang dituai, manakalah istilah (سنة) digunakan untuk menggambarkan tahun yang penuh dengan kemarau dan kurang penghasilan, dan Nabi Nuh AS  berehat serta menjalani kehidupannya dalam keadaan aman dan baik (selepas kaumnya dibinasakan dengan angin taufan). Rujuk Tafsir al-Maraghi (20/123).

Perkara ini adalah selari dengan apa yang telah dinukilkan daripada Imam Jaluddin as-Suyuti Rahimahullah yang menukilkannya daripada Imam al-Gharib al-Asfahani Rahimahullah: “Pada kebiasaannya, perkataan (سنة) digunakan untuk satu tempoh yang terdapatnya padanya kesusahan dan kemarau, manakala perkataan (عام) digunakan untuk satu tempoh yang terdapatnya padanya kesenangan dan kesuburan. Perkara ini terzahir pada firman Allah SWT: {أَلْفَ سَنَةٍ إِلاَّ خَمْسِينَ عَاماً}”. Rujuk al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an (2/368-369).

Perbezaan penggunaan dua perkataan ini dapat dilihat dalam ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an, antaranya ialah dalam ayat yang ke 47, 48 dan 49 daripada surah Yusuf:

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدْتُمْ فَذَرُوهُ فِي سُنْبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تَأْكُلُونَ, ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّا تُحْصِنُونَ

Maksudnya: “Nabi Yusuf AS berkata: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai itu, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian tersebut yang kamu ambil untuk kamu makan, kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang dahsyat, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Surah Yusuf: 47-48

 

ثُمَّ يَأْتِي مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ

Maksudnya: “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai memperolehi rahmat dalam bentuk hujan, dan padanya mereka dapat memerah (mengutip hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.

Surah Yusuf: 49

Dalam ayat yang ke-47 dan 48 surah Yusuf, perkataan (سنة) digunakan untuk mengambarkan tahun-tahun yang penuh kesukaran disebabkan persediaan menghadapi kemarau dan tahun-tahun kemarau, manakala pada ayat ke-49 pula, perkataan (عام) digunakan untuk menggambarkan tahun yang mana manusia memperolehi rahmat pada tahun tersebut.

Sebenarnya, perkataan (سنة) dan (عام) juga mempunyai perbezaan dari sudut bahasa. Imam Abu Hilal al-‘Askari Rahimahullah telah membezakan antara (سنة) dan (عام) dengan mengatakan bahawa (العام) merupakan himpunan kepada hari-hari dan (السنة) merupakan himpunan kepada bulan-bulan. Perbezaan lain ialah (العام) digunakan ke atas sesuatu peristiwa tertentu yang berlaku pada tahun tersebut seperti (عام الفيل), manakala perkataan (السنة) tidak menunjukkan kepada peristiwa tertentu yang berlaku pada tahun tersebut seperti (سنة خمسين). Rujuk al-Furuq al-Lughawiyyah (hlm.287).

Kami juga ingin menukilkan apa yang telah dicatatkan oleh Imam az-Zubaidi Rahimahullah: “Ibn al-Jawaliqiy telah berkata: Orang awam tidak membezakan antara (سنة) dan (عام), dan menjadikan keduanya makna yang sama, dan ini adalah tidak tepat. Yang tepat ialah seperti yang telah dikhabarkan daripada Ahmad bin Yahya, sesungguhnya dia telah berkata: “(سنة) ialah bermula daripada mana-mana hari dalam setahun sehingga ke hari tersebut (cukup bilangan setahun), manakala (عام) tidak digunakan perkataan tersebut kecuali jika terdapat di dalamnya keseluruhan musim sejuk dan musim panas. Maka, perkataan (عام) lebih khusus daripada perkataan (سنة)”.

Aku (az-Zubaidi) katakan: “Yang terdapat dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an karangan al-Gharib al-Asfahani seperti yang terdapat pada nasnya: “Perkataan (عام) adalah seperti perkataan (سنة), tetapi perkataan (سنة) banyak digunakan untuk satu tempoh yang terdapatnya padanya kesusahan dan kemarau, manakala perkataan (عام) digunakan untuk satu tempoh yang terdapatnya padanya kesenangan dan kesuburan” Rujuk Taj al-Urus fi Syarh al-Qamus (33/156)

 

Kesimpulan

Ketinggian bahasa al-Qur’an serta hikmah di sebalik setiap susunan dan pilihan perkataan di dalamnya menunjukkan bahawa ia bukanlah satu rekaan manusia, tetapi ia merupakan satu mukjizat daripada ilahi. Perkara ini terus dikaji sehingga ke hari ini dan banyak penemuan baru yang menakjubkan telah ditemui oleh para pengkaji dan pencinta al-Qur’an.

Secara ringkasnya, tujuan perkataan (سنة) dan (عام) digunakan dalam ayat ke-14 surah al-‘Ankabut adalah untuk:

  • 1) Mengelakkan pengulangan perkataan yang sama dalam satu ayat kerana ia bertentangan dengan kefasihan bahasa Arab.
  • 2) Perkataan (سنة) digunakan untuk satu tempoh yang terdapatnya padanya kesusahan dan kemarau, manakala perkataan (عام) digunakan untuk satu tempoh yang terdapatnya padanya kesenangan dan kesuburan. Ini bertepatan dengan kisah Nabi Nuh AS yang melalui dua fasa dalam kehidupannya seperti yang telah diterangkan oleh ahli tafsir.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih terhadap ayat-ayatNya, seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkan dan mengambil iktibar daripada segala apa yang terkandung didalam ayat-ayatNya. Amiin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *