Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1290: SUAMI MEMBIARKAN ISTERI MENANGGUNG NAFKAH KELUARGA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1290: SUAMI MEMBIARKAN ISTERI MENANGGUNG NAFKAH KELUARGA

Download PDF

suami biar nafkah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Seorang perempuan kahwin dengan lelaki. Kemudian rumahtangga menjadi kacau bilau sehingga si isteri yang terpaksa menjaga suami tersebut dengan menanggung nafkah keluarga. Tidak berapa lama kemudian, suami tersebut mula menjalankan perniagaan. Akhirnya dia berjaya dalam perniagaan tersebut dan menjadi kaya. Namun, isteri masih tetap menanggung nafkah keluarga tanpa suami berusaha mengubah sistem tersebut. Mohon mufti berikan pandangan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.

Surah al-Nisa’ (19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

 

Nafkah Bapa kepada Keluarga

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179) menyebut: Bapa dan datuk ke atas, wajib memberi nafkah anaknya, cucu dan ke bawah. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut dan begitulah seterusnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: …jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya;

Surah al-Talaq (6)

Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

Surah al-Baqarah (233)

Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafkah kepada anak-anak adalah lebih utama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/170-179)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/479)

Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/542)

Imam al-Syaukani menyebut: Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Lihat Nail al-Autar, 5/221)

 

Undang-undang Keluarga Islam

Undang-undang keluarga adalah termaktub di bawah undang-undang negeri. Jika di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada Seksyen 72 memperuntukkan:

“…adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”[1]

Begitu juga pada Seksyen 73 antara lain menyebut:

Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya—

(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;[2]

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan seperti berikut:

  • Menurut kitab-kitab fiqh, semua tanggungan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami. Walaupun berlaku keredhaan dari pihak isteri, tetapi untuk menenangkan hati, berilah ganjaran yang setimpal kepada isteri yang telah memulakan rumahtangga dengan berjaya.
  • Alangkah baik sekiranya suami tersebut memberikan kredit dan penghargaan di atas pengorbanan isteri yang besar selama ini. Sifat isteri yang sentiasa membantu suami adalah sangat terpuji. Berilah hadiah kepada isteri tersebut.
  • Suami janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada si isteri sedangkan ia pada hakikatnya adalah berada pada tangan suami.
  • Tanggungjawab yang sebenarnya tidak berpindah kepada isteri. Isteri hanya bersifat menolong dan membantu. Jika isteri tidak mahu membantu pun tidak mengapa.
  • Suami wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada isteri dan inilah yang sebenarnya.

Semoga rumahtangga kita menjadi seperti apa yang disebut Baiti Jannati dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kehidupan kita diberkati dan dikurniakan kebahagiaan.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Rujuk juga artikel yang telah kami terbitkan sebelum ini dalam siri Irsyad al-Fatwa Siri ke-289: Hukum Suami Tidak Bekerja dan Menjadi Suri Rumah untuk maklumat lanjut.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Seksyen 72. Kewajipan menanggung nafkah anak dalam Akta 303 – Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

[http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/981698d6ff64160c48256fd5002345b0?OpenDocument]

[2] Lihat Seksyen 73. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak dalam Akta 303 – Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. [http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/dafe332f266772f448256fd500236bf7?OpenDocument]

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

ZAKAT KE ATAS HARTA SEUMPAMA PINGGAN MANGKUK, BUKU-BUKU ATAU PAKAIAN

Soalan: Assalamulaikum wrm. wbt, Kalau menyimpan sejumlah wang atau memiliki barangan kemas, orang Islam diharuskan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *