Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1257: SUAMI MENINGGAL SEBELUM BERSETUBUH: ADAKAH ISTERI WAJIB ‘IDDAH?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1257: SUAMI MENINGGAL SEBELUM BERSETUBUH: ADAKAH ISTERI WAJIB ‘IDDAH?

Download PDF

ISTERI IDDAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Suami meninggal dunia sebelum bersetubuh dengan isteri. Adakah iddah bagi isteri?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, di sana terdapat perbezaan antara iddah kematian dan iddah talaq. Bagi iddah kematian, tidak disyaratkan bersetubuh padanya. Sesiapa yang kematian suaminya walaupun sebelum bersetubuh maka hendaklah dia beriddah. Ini berdasarkan umum nas, di mana Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

Imam al-Qurtubi ketika menjelaskan ayat di atas berkata: “Ayat ini berkenaan dengan iddah perempuan yang kematian suami, zahirnya secara umum dan maknanya secara khusus.” (Lihat Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi, 1/262)

Begitu juga dengan hadis daripada daripada Abdullah bin Mas’ud RA, katanya:

أَنَّهُ سُئِلَ عَنْ رَجُلٍ تَزَوَّجَ امْرَأَةً, وَلَمْ يَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا, وَلَمْ يَدْخُلْ بِهَا حَتَّى مَاتَ, فَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: لَهَا مِثْلُ صَدَاقِ نِسَائِهَا, لَا وَكْسَ, وَلَا شَطَطَ, وَعَلَيْهَا الْعِدَّةُ, وَلَهَا الْمِيرَاثُ، فَقَامَ مَعْقِلُ بْنُ سِنَانٍ الْأَشْجَعِيُّ فَقَالَ: قَضَى رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – فِي بِرْوَعَ بِنْتِ وَاشِقٍ – امْرَأَةٍ مِنَّا – مِثْلَ مَا قَضَيْتَ, فَفَرِحَ بِهَا ابْنُ مَسْعُودٍ.

Maksudnya: “Beliau ditanya tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan, sedangkan lelaki itu belum menetapkan mas kahwinnya dan belum menyetubuhinya sehingga lelaki tersebut meninggal dunia. Ibn Mas’ud menjawab: “Isteri itu berhak mendapat mas kahwin dengan mas kahwin keluarga perempuannya tanpa kurang atau lebih. Dia juga hendaklah ber`iddah dan berhak mewarisi harta peninggalan suaminya.” Lantas Ma’qil bin Sinan al-Asyja’ie bangun berkata: “Rasulullah SAW telah menyatakan hukum yang sama dalam masalah Birwa’ binti Wasyiq, seorang perempuan dari kalangan kami.” Lalu Abdullah bin Mas’ud pun berasa gembira mendengarnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1145), al-Nasa’ie (3524) dan
Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (1590)

Kesimpulan

Justeru, isteri yang suaminya meninggal dunia sebelum bersetubuh dengannya hendaklah ber’iddah.

Hal ini juga sepertimana yang disebut dalam satu garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan wanita yang kematian suami sama ada telah disetubuhi atau belum disetubuhi dan tidak mengandung menyebut: Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib ber`iddah, tetapi juga wajib berkabung. Tempoh iddahnya ialah empat bulan sepuluh hari.”  (Lihat Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami oleh JAKIM)

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkaitan iddah. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-409: UCAPAN TIDAK TAHU SEPARUH DARIPADA ILMU

    Soalan: Adakah terdapat hadith daripada Nabi SAW berkaitan mengucapkan“Ucapan aku tidak tahu separuh …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *