Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1256: IKTIBAR PEPERANGAN AIN JALUT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1256: IKTIBAR PEPERANGAN AIN JALUT

Download PDF

ain jalut iktibar.JPG

 

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sempena dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak, kami cuba mengimbas kembali nostalgia catatan kemenangan Islam – yang berlaku pada bulan Ramadhan – yang teramat banyak dalam kitab-kitab tarikh. Justeru, kami nyatakan di sini, salah satu daripada catatan tersebut adalah peperangan Ain Jalut.[1]

 

Latar belakang Peperangan

Peperangan Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260 Masihi. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang hebat di antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.

Kekuatan Tentera Islam Mamalik dicatatkan sekitar 20,000 sehingga 50,000 orang. Manakala tentera Mongol pula adalah sekitar 20,000 tentera. (Lihat ‘Ain Jalut bi Qiyadah al-Malik al-Muzaffar Qutuz oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 74 dan Qissah al-Tatar min al-Bidayah hatta ‘Ain Jalut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 245)

Tentera Mongol sangat terkenal dengan kekuatan mereka dari sudut ketenteraan. Sifat mereka yang hidup secara nomad membentuk sifat dan kekuatan fizik mereka. Proses yang alami ini menjadi satu proses latihan ketenteraan bagi pasukan Mongol. (Lihat The Mongol oleh David Morgan, hlm. 84)

Sultan Qutuz telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol termasuklah menyelesaikan isu ketamakan sebahagian daripada pembesar yang berniat untuk merampas takhta Mesir dari tangannya. Seterusnya beliau mengambil langkah selanjutnya dengan mengobarkan semangat para tentera Mamalik di Akka, Palestin yang pada awalnya menolak untuk berjihad melawan tentera Mongol. Sultan Qutuz telah memberikan pidato sebelum peperangan bermula agar seluruh tentera Islam berjuang atas nama menegakkan Islam serta memerangi kekufuran. (Lihat Mongol and Mamluks-Ilkhanid War, hlm. 39)

Akhirnya setelah berlangsungnya pertempuran yang dahsyat di sebuah kawasan bernama Ain Jalut, pasukan Mamalik yang dipimpin panglima tenteranya Baibars[2] telah berjaya meraih kemenangan yang gemilang. Tentera-tentera Islam yang telah memenangi peperangan tersebut lantas mengejar tentera Mongol. Sultan al-Muzaffar Qutuz kemudiannya telah mengirimkan berita berkenaan kemenangan yang diraih dalam pertempuran tersebut ke Damsyiq. (Lihat Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti, hlm. 556)

Hasil kemenangan ini telah berjaya memberi pukulan maut terhadap pasukan Mongol lantas sedikit sebanyak mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol.

Kemenangan tersebut juga telah menjadikan kerajaan Mamalik sebagai harapan umat Islam di sekitarnya. Kepercayaan dan taat setia oleh pemerintah-pemerintah Syria lantas diberikan terhadap pemerintah Mamalik. Kemenangan tersebut juga merupakan balasan terhadap bangsa Mongol yang telah menghancurkan Baghdad sebagai pusat pemerintahan Islam sebelumnya. (Lihat al-Sultan Saif al-Din Qutuz wa Ma’rikah ‘Ain Jalut fi ‘Ahd al-Mamalik oleh Muhammad ‘Ali al-Salabi untuk maklumat lanjut)

 

Iktibar Peperangan

  • Persediaan Menghadapi Peperangan

Persiapan dan persediaan dalam menghadapi sesuatu peperangan adalah sangat penting. Dalam perang menentang Mongol, Sultan Qutuz telah terlebih dahulu menyelesaikan isu-isu dalaman yang boleh melemahkan kesepakatan. Beliau telah berjaya menghimpunkan para ulama, pembesarnya dan umat-umat Islam atas dasar iman dan perpaduan. Pengumpulan dana serta persediaan kelengkapan peperangan yang jitu juga turut telah digerakkan demi tujuan ini.

  • Penglibatan Para Ulama’

Dalam mengobarkan semangat para tentera Islam serta menghimpunkan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol, para ulama’ turut memainkan peranan. Mereka turut terlibat dalam menasihati pemerintah sepertimana yang dilakukan oleh Sultan al-‘Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam. Sultan Qutuz telah meminta fatwa dari beliau agar kerajaan dibenarkan untuk mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan persediaan kelengkapan peperangan, namun beliau menegaskan bahawa kerajaan mesti mengutamakan harta pemerintah dan pegawai terlebih dahulu bagi tujuan tersebut.

  • Kemenangan di Bulan Ramadhan

Walaupun peperanagn Ain Jalut berlaku di bulan Ramadhan, namun ia bukanlah penghalang untuk tentera Islam bersikap lemah dalam menghadapi musuh. Malah kesungguhan mereka telah menatijahkan kejayaan yang gemilang.

  • Kesatuan Ummah

Ini merupakan nilai yang terpenting apabila semua pihak sama ada di Mesir atau Syria, Palestin dan sekitarnya bersatu hati mendokong perjuangan Qutuz serta Zahir Baibars yang menghasilkan kejayaan yang gemilang. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya: “..dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..”

(Surah al-Anfal: 46)

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ”, menyebut: Iaitu kekuatan dan semangat kamu semua. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/50)

Marilah sama-sama kita membetulkan nawaitu, merapatkan saf dan menyatukan masyarakat dengan penuh keharmonian dan aman yang menjadi cita-cita kita semua dalam masyarakat Malaysia ini.

 

Nota Hujung:

[1] Ia berhampiran dengan Ajlun, Hebron dan Baitul Maqdis.

[2] Nama lengkapnya adalah Muhammad Ruknuddin Baibars, seorang komandan perang yang tangkas dan negarawan yang cerdas. Beliau lahir di Crimea, Baibars. Dikatakan beliau telah ditawan oleh Mongol di Kipchak dan dijual sebagai hamba di Syria. Tuan beliau yang pertama ialah seorang putera dari Hama. Beliau kemudian dijual kepada seorang pegawai Mamluk dan dihantar ke Mesir dan menjadi pengawal kepada pemerintah kerajaan Ayyubiyyah, al-Salib Ayyub. (Lihat al-Suluk li Ma’rifah Duwal al-Muluk oleh al-Maqrizi dan al-Nujum al-Zahirah fi Muluk Misr wa al-Qahirah oleh Ibn Taghri)

Beliau merupakan komandan tentera Mamluk yang telah berjaya mengalahkan tentera Mongol dalam perang Ain Jalut. Beliau mempunyai pengaruh yang luas dan telah diangkat menggantikan Sultan Qutuz selepas kematiannya.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-409: UCAPAN TIDAK TAHU SEPARUH DARIPADA ILMU

    Soalan: Adakah terdapat hadith daripada Nabi SAW berkaitan mengucapkan“Ucapan aku tidak tahu separuh …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *