Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1251: MENGAPA NABI SAW TIDAK MELAUNGKAN AZAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1251: MENGAPA NABI SAW TIDAK MELAUNGKAN AZAN

Download PDF

Screen Shot 2019 05 08 at 2.28.54 PM

Soalan

Saya ingin bertanya, mengapa Nabi SAW sendiri tidak melaungkan azan?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seterusnya ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Sesungguhnya memang terdapat perbahasan dalam kalangan ulama’ tentang mengapa Nabi SAW tidak melaungkan azan tetapi hanya menjadi Imam solat. Para ulama’ juga mengatakan bahawa Nabi SAW tidak melaungkan azan begitu juga para khulafa’ al-Rasyidin selepas Baginda seperti mana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

بِأَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وآله وسلم ثُمَّ الْخُلَفَاءَ الرَّاشِدِينَ أَمُّوا وَلَمْ يُؤَذِّنُوا، وَكَذَا كِبَارُ الْعُلَمَاءِ بَعْدَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW seterusnya Khulafa’ al-Rasyidin mengimamkan tetapi tidak melaungkan azan, begitu juga tokoh-tokoh ulama’ yang utama selepas mereka” Lihat kitab al-Majmu’ (3/86).

Dalam menjawab persoalan mengapa Baginda Nabi SAW dan para khulafa’ al-Rasyidin tidak melaungkan azan,kerana Nabi SAW dan Khulafa’ selepas baginda mempunyai tugas yang sangat besar iaitu menyelesaikan masalah umat Islam yang lebih penting, dan tugas-tugas ini tidak mungkin dilaksanakan oleh orang lain. Maka, masa mereka sangat penting dalam memenuhi segala keperluan umat. Berbeza pula dengan menjadi Imam, kerana solat itu adalah wajib, dan pasti mereka akan menghadirinya. Imam al-Nawawi menyandarkan hujah ini dengan kata-kata Saidina Umar RA:

” لَوْ كُنْتُ أُطِيقُ الأَذَانَ مَعَ الْخِلافَةِ لأَذَّنْتُ “

Maksudnya: “Sekiranya aku mampu untuk (melakukan kerja) melaungkan azan dalam masa yang sama (melakukan tugas) khilafah, akan aku azan”

Riwayat al-Baihaqi (1858)

Para fuqaha’ lain turut tidak ketinggalan membahaskan hikmah disebalik persoalan ini, iaitu mengapa Nabi SAW tidak melaungkan azan.

Yang pertama, Imam Izzuddin Abdul Salam menyebutkan, di antara sebab Nabi SAW tidak melaungkan azan kerana sesungguhnya Nabi SAW apabila melakukan sesuatu, Baginda akan beristiqamah melakukannya. Namun seperti yang disebutkan di atas, Baginda sangat sibuk menguruskan urusan umat, hingga tidak mempunyai waktu untuk beristiqamah melaungkan azan. Lihat Ahasin al-Kalam (3/125)

Yang kedua, al-Hattab menyatakan hikmah di sebalik hal ini ialah, sekiranya Baginda SAW melaungkan azan, yang di dalamnya terdapat kata perintah untuk menunaikan solat pada ibarat:

حي على الصلاة

Maksudnya: Marilah menunaikan solat

Sedangkan solat itu mempunyai waktunya yang luas, iaitu boleh ditunaikan sepanjang waktunya, seperti solat zohor yang boleh ditunaikan selagi belum masuk waktu asar. Namun, apabila yang menyeru itu adalah Nabi SAW, maka adalah menjadi suatu kesalahan apabila menolak seruan atau perintah Nabi SAW, seperti yang disebutkan melalui firman Allah SWT:

لَّا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُم بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ اللَّـهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ 

Maksudnya: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Nur: 63)

Maka jelaslah berdasarkan firman Allah SAW di atas, berdosalah orang yang mendengar seruan Nabi SAW tetapi tidak melakukannya. Lihat Mawahib al-Jalil (1/422).

Yang ketiga, Imam al-Naisaburi pula menyatakan hikmah di sebalik persoalan ini ialah, bahawa kesaksian Nabi SAW sebahagian daripada azan, maka tidak harus untuk Baginda bersaksi ke atas diri Baginda sendiri. Lihat Nur al-Absor (49).

Namun begitu, walaupun Nabi SAW tidak melaungkan azan menyeru untuk menunaikan solat, terdapat begitu banyak nas menyebutkan tentang kedudukan muazzin atau orang yang melaungkan azan. Antaranya,

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah

 (Surah Fussilat: 33)

Sabda Nabi SAW melalui hadith yang diriwayatkan Malik Bin Huwairith RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ ‏”‏‏.‏

Maksudnya: Maka laungkanlah azan salah seorang daripada kamu, dan pimpinlah solat oleh yang paling tua daripada kamu

Riwayat al-Bukhari (628)

Kemulian para mua’zin ini dilihat jelas apabila Baginda Nabi SAW mendoakan secara khusus berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ أَرْشِدِ الأَئِمَّةَ وَاغْفِرْ لِلْمُؤَذِّنِينَ

Maksudnya: Ya Allah, bimbinglah para imam dan ampunilah para mua’zin.

Riwayat Abu Daud (517)

Selain itu, terdapat juga hadith yang menyebutkan ganjaran khusus buat para mua’zin sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَذَّنَ ثِنْتَىْ عَشْرَةَ سَنَةً وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَكُتِبَ لَهُ بِتَأْذِينِهِ فِي كُلِّ يَوْمٍ سِتُّونَ حَسَنَةً وَلِكُلِّ إِقَامَةٍ ثَلاَثُونَ حَسَنَةً

Maksudnya: Barangsiapa yang melaungkan azan selama dua belas tahun, diwajibkan ke atasnya syurga, dan ditulis setiap laungan azannya pada setiap hari 60 kebaikan dan setiap iqamah yang dilaungkan 30 kebaikan.

Riwayat Ibn Majah (728)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan hujah di atas, sesunguhnya setiap sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh Baginda Nabi SAW itu mempunyai hikmah dan rahsia yang sangat besar. Setiap gerak-geri Nabi SAW itu mempunyai kesan kepada umat Baginda.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami syariat-Nya. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-409: UCAPAN TIDAK TAHU SEPARUH DARIPADA ILMU

    Soalan: Adakah terdapat hadith daripada Nabi SAW berkaitan mengucapkan“Ucapan aku tidak tahu separuh …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *