Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1249: HUKUM MENYALAHKAN TAKDIR DALAM HIDUP KITA SEBELUM INI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1249: HUKUM MENYALAHKAN TAKDIR DALAM HIDUP KITA SEBELUM INI

Download PDF

ak1249

Soalan

Assalamualaikum. Bolehkah kita salahkan takdir dengan apa yang dah berlaku dalam hidup kita sebelum ini. Pernahkah takdir hidup yang kita hadapi ini salah. Setahu saya Allah telah aturkan segala perjalanan hidup seorang manusia. Mohon penjelasan Dato’ Mufti

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Takdir (Qadha’ dan qadar)

Beriman dengan qadha’ dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan Iman. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA, Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW, Beritahu akan aku berkenaan dengan Iman. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk

40 Hadis Nawawi (2)

Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran, setiap perkara yang berlaku di dalam kehidupan merupakan ketentuan Allah SWT, ini seperti firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)

(Surah al-Qamar, 49)

Dalam syarahan tafsir al-Sa’di menyatakan, ayat ini merangkumi ke semua makhluk termasuk yang berada di atas muka bumi atau di dalamnya. Sesungguhnya Allah SWT maha pencipta dan tiada yang selain daripadaya. Begitu juga setiap perkara yang berlaku dibawah pengetahuan dan pantauannya. (Lihat: Tafsir al-Sa’di, 1/827)

Menyalahkan Takdir

Menyalahkan takdir supaya dapat melepaskan diri daripada melakukan maksiat dan meletakkan kesalahan itu kepada takdir Allah SWT. Alasan ini telah sekian lama digunakan oleh golongan musyrikin seperti yang terdapat di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّـهُ مَا أَشْرَكْنَا وَلَا آبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ 

Maksudnya: Orang-orang musyrik akan mengatakan: “Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun”.

(Surah al-An’am, 148)

Lalu Allah SWT menjawab persoalan yang dilontarkan Musyrikin dalam ayat yang sama, firman Allah SWT:

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ حَتَّىٰ ذَاقُوا بَأْسَنَا ۗ قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍ فَتُخْرِجُوهُ لَنَا ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

Maksudnya: “Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta”.

(Surah al-An’am, 148)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan: “Mereka menyangkakan pembohongan mereka itu dapat melepaskan diri mereka. Akan tetapi pembohongan mereka itu tidak berasas sama ada dari segi ilmu atau akal, ini disebabkan mereka membohongi Rasul. Allah SWT tetap juga akan membalas dengan azab dan siksa. Oleh kerana sifat Allah SWT yang maha adil dan disebabkan iktiar mereka serta usaha mereka ke arah kekufuran”. (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/623)

Bersangka Baik Terhadap Allah SWT

Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, sabda Nabi SAW:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah SWT

(Hadis riwayat Muslim, 2877)

Kewajipan seseorang mukmin itu bersangka baik kepada Allah SWT. Serta memperbanyakkan lagi bersangka baik kepadaNya ketika ditimpa musibah dan ujian. Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis berkenaan bersangka baik kepada Allah SWT dengan menyatakan, “Para Ulama’ berpendapat makna bersangka baik kepada Allah SWT dengan percaya Allah SWT maha penyayang dan maha pengampun” (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim 17/210)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan serta nas-nas yang didatangkan, dapat disimpulkan di sini bahawa percaya kepada takdir merupakan salah satu daripada rukun Iman yang wajib dipercayai oleh setiap manusia. Selain itu Baginda SAW melarang hambanya merungut dan menyalahi takdir yang di tetapkan Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَىْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا ‏.‏ وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ

Maksudnya: Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan “kalaulah aku melakukan itu dan ini”. Akan tetapi katakanlah “takdir (ketentuan) Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi.

(Hadis riwayat sahih Muslim, 2664)

Sebaiknya bersangka baik kepada Allah SWT serta bersabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi. Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajadah: 24)

Oleh itu disarankan supaya memperbanyakkan berdoa agar diberi kekuatan iman. Serta mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan tentang agama dan akidah supaya dapat memahami dan menambah keyakinan terhadap Allah SWT.

Selain itu boleh rujuk artikel berkenaan:

IRSYAD AL-FATWA KE-2: MAKSUD QADA’ & QADAR

AL-KAFI #477: WUJUDKAH PEMBAHAGIAN ULAMA’ DALAM ISU TAKDIR?

AL-KAFI #1152: MEMBUNUH: ANTARA PERBUATAN HAMBA DAN TAKDIR ALLAH

Wallahualam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-409: UCAPAN TIDAK TAHU SEPARUH DARIPADA ILMU

    Soalan: Adakah terdapat hadith daripada Nabi SAW berkaitan mengucapkan“Ucapan aku tidak tahu separuh …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *