Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1244: KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA DI MADINAH DAN DIKEBUMIKAN DI PERKUBURAN BAQI’
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1244: KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA DI MADINAH DAN DIKEBUMIKAN DI PERKUBURAN BAQI’

1244

SOALAN:

Assalamualaikum Dato SS Mufti. Saya ingin bertanya, betulkah meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ mempunyai keistimewaan tertentu. Ayahanda saya baru sahaja meninggal dunia di Madinah hari Jumaat yang lepas pada waktu Asar ketika bersiap untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah. Mohon penjelasan dari Dato’ Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Terlebih dahulu kami mengucapkan takziah kepada saudara yang bertanya atas kematian ayahandanya. Tanda-tanda yang disebut oleh saudara yang bertanya merupakan tanda bagi husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Moga-moga kita juga diakhiri hayat dengan husnul khatimah. Amin.

Perkuburan Baqi’ merupakan perkuburan yang terletak hampir dengan Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah. Ia juga dipanggil sebagai Jannatul Baqi’ dan Baqi’ al-Gharqad. Tiada nas daripada al-Quran dan hadith secara khusus yang menyebut kelebihan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ melainkan di Madinah secara umumnya.

Antara kelebihan seseorang itu meninggal dunia di Madinah ialah dia akan diberikan syafaat oleh Rasulullah SAW pada hari Akhirat kelak. Rasulullah SAW menganjurkan supaya jika sesiapa yang mampu untuk meninggal dunia di Madinah, maka hendaklah dia melakukannya. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا ؛ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا

Maksudnya: Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.

Hadith riwayat al-Tirmidzi: (3917)

Namun, bukanlah dimaksudkan dengan berkemampuan untuk meninggal dunia ialah dengan meminta untuk dimatikan sewaktu berada di Madinah dalam tempoh masa yang singkat.

Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa ia adalah anjuran dan galakkan untuk tinggal menetap di Madinah sehingga tiba waktu kematiannya yang kemudiannya dikebumikan di Perkuburan Baqi’ sekiranya mampu untuk melakukan demikian. (Rujuk Tuhfat al-Ahwazi: hadith no. 3917)

Ini kerana pada asasnya, hukum mengharapkan mati adalah dilarang berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ، وَلَا يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ

Maksudnya: Janganlah seseorang mengharapkan kematian dan janganlah berdoa meminta mati sebelum datang waktunya.

Hadith riwayat Muslim: (2682)

Sesungguhnya manusia tidak tahu di mana akan dia dimatikan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ

Maksudnya: Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati.

(Surah Luqman: 34)

Walaubagaimanapun, kita dianjurkan untuk berdoa untuk meninggal dunia di sana tanpa mengharapkan dimatikan dengan segera sewaktu berada di sana. Ini kerana Saidina Umar al-Khattab RA sendiri pernah berdoa untuk mati di sana:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalanmu, matikan aku di Negeri Rasulmu SAW (Madinah).

Hadith riwayat al-Bukhari: 1890

Tambahan pula, Rasulullah SAW ketika hayat Baginda SAW pernah memohon keampunan khusus terhadap penghuni Perkuburan Baqi’ dan menyifatkannya sebagai tempat kediaman kaum yang beriman. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW setiap kali ketika bermalam di rumahnya, Baginda SAW akan keluar berjalan menuju ke Perkuburan Baqi’ pada waktu lewat malam dan mengucapkan:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنينَ، وَأتاكُمْ ما تُوعَدُونَ، غَداً مُؤَجَّلُونَ، وَإنَّا إنْ شاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحقُونَ؛ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ

Maksudnya: Selamat sejahtera ke atas kamu para penghuni kediaman kaum yang beriman. Telah datang kepada kamu apa yang dijanjikan untuk kamu. Kami, insyaallah akan mengikuti kalian. Ya Allah! Kurniakanlah keampunan untuk para penghuni perkuburan Baqi ini.

Hadith riwayat Muslim, Riyadhussolihin: 581

Antara ahlul bait Rasulullah SAW dan para Sahabat RA yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ ialah:

  • Fatimah, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Zainab RA. Puteri–puteri kesayangan Rasulullah SAW.
  • Saidina Hasan Bin Ali Bin Abi Talib. Cucu Rasulullah SAW.
  • ‘Aisyah, Saudah, Hafsah, Zainab Bint Khuzaimah, Ummu Salamah, Juwairiyyah, Ummu Habibah, Safiyah, Zainab Bint Jahsy. Isteri-isteri Rasulullah SAW
  • Uthman Ibn ‘Affan, Abu Sa’id al-Khudri, Sa’ad Ibn Mu’adz al-Ansari, Abdullah Ibn Mas’ud dan lain-lain para Sahabat Rasulullah SAW yang mulia.

Selain itu, antara kelebihan lain juga ialah solat jenazah akan dihadiri oleh jemaah yang ramai. Ini kerana umum mengetahui bahawa kota Madinah al-Munawwarah tidak surut daripada dibanjiri oleh ramai orang tidak kira waktu dan hari. Oleh itu, doa yang dipinta dan dipohon ketika solat tersebut akan diaminkan oleh jemaah yang ramai yang rata-ratanya daripada kalangan orang yang beriman dan soleh, insyaallah.

Namun begitu, kelebihan-kelebihan ini tidak bermakna bahawa seseorang yang dikebumikan di Perkuburan Baqi’ tersebut dijamin masuk syurga. Ia bergantung juga kepada keimanannya kepada Allah SWT dan amal soleh yang dilakukannya. Ini kerana terdapat juga kubur-kubur golongan munafiq yang turut dikebumikan di sana.

Tanah semata-mata tidak menjadikan seseorang tersebut dimuliakan dan dimasukkan ke dalam syurga jika tidak beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh seperti kata-kata Salman al-Farisi RA kepada Abu Darda’ RA:

إن الأرضَ المُقدّسة لا تُقَدِّسُ أحدًا، وإنما يُقدِّسُ الإنسانَ عمله

Maksudnya: Sesungguhnya tempat yang suci tidak memuliakan seseorang, akan tetapi yang memuliakan seseorang itu ialah amalnya.

Hadith riwayat Malik, al-Muwatta’, 2:235

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ khususnya, mempunyai kelebihan tertentu yang bergantung juga dengan keimanan dan amal solehnya. Antara kelebihannya adalah seperti yang disebutkan di atas , iaitu:

  • Orang yang meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ dalam keadaan beriman akan diberikan syafaat oleh Rasulullah SAW.
  • Dikebumikan di tempat yang dimuliakan iaitu Madinah dan berdekatan dengan maqam ahlul bait Rasulullah SAW dan para Sahabat RA.
  • Mengikuti anjuran Rasulullah SAW supaya jika mampu untuk meninggal dunia di Madinah, maka hendaklah dia melakukannya.
  • Penghuni Baqi’ didoakan keampunannya oleh Rasulullah SAW pada hayatnya, yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai tempat kediaman kaum yang beriman.
  • Solat jenazah dihadiri oleh jemaah yang ramai daripada kalangan orang yang beriman kepada Allah SWT dan soleh.

Pada akhirnya kami berdoa kepada Allah SWT supaya kita semua dimatikan di Madinah al-Munawwarah dalam keadaan husnul khatimah dan dikumpulkan bersama Rasulullah SAW dan golongan-golongan yang soleh di akhirat kelak.

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة وَاجْعَلْ مَوْتنا فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Ya Allah, akhirilah hayat kami dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan janganlah kamu matikan kami dengan su’ul khatimah (pengakhiran yang buruk) dan matikanlah kami di negeri Rasul-Mu SAW.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *