Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1243 : CARA SEMBELIHAN UNTA

af1243 compressed

Soalan :

Assalamualaikum SS. Saya ada mendengar yang unta tidak disembelih dengan cara biasa tapi ditikam atau dicucuk di lehernya. Benarkah begitu?. Mohon pencerahan SS. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Penyembelihan haiwan adalah cara untuk menghalalkan haiwan tersebut agar dagingnya boleh dimakan dan bahagian yang lain boleh dimanfaatkan.Ia juga menentukan sama ada haiwan yang mati itu najis atau tidak. Ia juga cara membersihkan haiwan daripada darahnya yang mana ia mempunyai banyak mudarat kepada manusia. Maka boleh kita katakan bahawa penyembelihan adalah merupakan satu perintah daripada Allah yang bersifat ta’abbudi yang mesti dipatuhi oleh orang islam sendiri.

Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّـهِ بِهِۦ وَٱلْمُنْخَنِقَةُ وَٱلْمَوْقُوذَةُ وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ

Maksudnya :” Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).

(Surah Al-Maidah : 3)

Begitu juga ijmak para ulama mengatakan bahawa haiwan yang disembelih halal untuk dimakan dan dimanfaatkan. (Rujuk Mughni Al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 4/265)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, ada tiga cara dan kaedah penyembelihan haiwan iaitu :

1. Al-Zabhu. Iaitu memutuskan halkum yang berada di bahagian atas leher. Jenis ini adalah bagi haiwan yang jinak dan yang mudah disembelih. Antara contoh haiwan yang disembelih menggunakan cara ini ialah lembu, kambing, ayam dan lain-lain.

2. Al-Nahru. ditikam bahagian bawah leher jika mampu. Kaedah ini juga memutuskan urat halkum dan mari’. Kaedah ini adalah sunat digunakan untuk menyembelih unta.Ini kerana unta mempunyai leher yang sangat panjang. Oleh itu kaedah ini mempercepatkan kematian unta. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

Maksudnya :” Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah Al-Kauthar : 2)

Imam Al-Syaukani menafsirkan ayat وانحر dengan disembelih unta. (Rujuk Fath Al-Qadir,8/69). Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa sunat bagi unta untuk disembelih menggunakan kaedah Al-Nahru. (Rujuk Raudhah Al-Talibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 2/475).

3. Al-‘Uqru. Iaitu mencederakan mana-mana bahagian haiwan yang mana ianya boleh mematikan haiwan tersebut. Kaedah ini hanya digunakan jika tidak mampu menyembelih menggunakan Al-Zabhu dan Al-Nahru. Ia juga dikenali sebagai penyembelihan di dalam keadaan darurat.Ini disebabkan oleh haiwan yang ingin disembelih tidak dapat dikawal dan sebab-sebab yang tidak memungkinkan untuk disembelih menggunakan kaedah biasa. Seperti terjatuh ke dalam perigi dan lain-lain.

Kaedah ini berdasarkan kepada kisah yang diriwayatkan oleh Rafi’ Bin Khudaij. Kata beliau :

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – فَنَدَّ بَعِيرٌ فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – : إِنَّ هَذِهِ الْبَهَائِمَ لَهَا أَوَابِدُ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ ، فَمَا نَدَّ عَلَيْكُمْ فَاصْنَعُوا بِهِ هَكَذَا

Maksudnya :” Kami bersama dengan Rasulullah SAW. Ada seekor unta yang mengamuk lalu seorang lelaki melepaskan panah dan mengkapnya. Rasulullah SAW bersabda : Haiwan ini lari seperti mana larinya binatang liar. Jika dia berlaku liar maka lakukanlah seperti ini (seperti mana lelaki tersebut lakukan).

Riwayat Al-Bukhari (2488) & Muslim (5204)

Kesimpulannya, sunat bagi unta untuk disembelih dengan kaedah Al-Nahru. Dengan cara ini, bahagian bawah leher unta akan ditikam dan kemudian baru diputuskan urat halkum dan mari’. Ini kerana unta mempunyai leher yang panjang daripada haiwan-haiwan yang lain. Oleh itu kaedah Al-Nahru ini sesuai digunakan.

Wallahu’alam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *