Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1237: RASUAH SUDAH MENJADI BUDAYA RAKYAT MALAYSIA?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1237: RASUAH SUDAH MENJADI BUDAYA RAKYAT MALAYSIA?

Download PDF

rasuah budaya.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Mohon nasihat dan pandangan SS Mufti berkenaan rasuah yang saya lihat, pada hari ini semakin menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada secara sedar atau tidak sedar. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Memahami Makna Rasuah

Kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan makna rasuah. Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)

Dari segi istilah, al-risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219) Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Istilah rasuah telah digunapakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Syed Hussein Alattas dalam buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi, menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi.

Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[1]

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

 

Dalil Pengharaman Rasuah

Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)

Surah al-Maidah (42)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)

Menjawab soalan di atas, suka untuk kami memetik kenyataan Dato’ Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) antara lain menyebut: “Rasuah telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak. Kehadirannya dikaburi kerana pemberi dan penerima saling setuju dan menyetujui serta berkompromi akan perbuatan mungkar ini. Bahaya rasuah teramat dahsyat.” (Lihat buku beliau bertajuk Man Ana Perjuangan Menentang Rasuah, hlm. 42)

Amalan rasuah akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang sangat buruk. Kami nukilkan di sini daripada buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya, menyebut antara kesannya ialah:

  • Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara.
  • Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran.
  • Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
  • Menatijahkan hasil kerja yang buruk.
  • Kos pengurusan akan meningkat.
  • Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir.
  • Muncul orang jahat yang bertambah jahat.
  • Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah. Amin.

[1] Lihat portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pautan berikut: http://www.sprm.gov.my/index.php/pendidikan/kenali-rasuah . Diakses pada 21 April 2019.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-372: KELEBIHAN SOLAT 4 RAKAAT DI SIANG HARI

      Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan 4 rakaat di dalam hadith ini?   …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *