Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1227 : STATUS PERKAHWINAN PASANGAN BUKAN ISLAM APABILA TELAH MEMELUK ISLAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1227 : STATUS PERKAHWINAN PASANGAN BUKAN ISLAM APABILA TELAH MEMELUK ISLAM

ALKAFI1227

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanya bagaimanakah status perkahwinan pasangan bukan Islam yang mana kedua-duanya telah memeluk agama Islam dan bagaimanakah pula dengan status nasab anak-anak mereka ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T, selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sejarah umat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu menunjukkan bahawa telah masuk ke dalam Islam begitu ramai individu dari kalangan lelaki dan perempuan. Ada dari kalangan mereka itu yang telah berkahwin dalam erti kata kedua-dua suami dan isteri telah masuk ke dalam Islam secara bersama. Riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah memberi arahan kepada pasangan suami isteri yang baru memeluk Islam untuk memperbaharui akad nikah mereka.

Bahkan majoriti fuqaha mazhab turut menyatakan bahawa pernikahan orang-orang kafir adalah sah. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ

Maksudnya: Dan isterinya (Abu Lahab) adalah pemikul kayu api neraka.

Surah Al-Masad (4)

Demikian juga firman Allah S.W.T:

اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ

Maksudnya: Isteri kepada Fir’aun.

Surah al-Tahrim (11)

Justeru hakikat kepada penyandaran isteri kepada Abu Lahab dan Fir’aun jelas menunjukkan kepada pernikahan yang sah antara mereka.

Kata Imam Ibn Qudamah:

وقد أسلم خلق على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم وأسلم نساؤهم وأُقِرّوا على أنكحتهم ، ولم يسألهم رسول الله عن شروط النكاح ولا كيفيته

Maksudnya: Telah memeluk Islam ramai individu pada zaman Nabi S.A.W dan begitu juga isteri mereka turut serta memeluk Islam Bersama mereka. Baginda memperakukan pernikahan-pernikahan mereka dan baginda tidak bertanya kepada mereka tentang syarat-syarat dan kaifiat pernikahan mereka. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/115).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perkahwinan kedua pasangan bukan Islam setelah mereka memeluk Islam adalah sah. Justeru, implikasi dari hal ini adalah sahnya nasab anak-anak mereka yang diperoleh sepanjang pernikahan tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *