Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1212: BOLEHKAH DILAKUKAN SOLAT SUNAT BA’DIYAH ISYAK SELEPAS TEMPOH YANG LAMA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1212: BOLEHKAH DILAKUKAN SOLAT SUNAT BA’DIYAH ISYAK SELEPAS TEMPOH YANG LAMA

Download PDF

ba'diyah isyak.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah solat sunat ba’diyah isyak dilakukan selepas zikir dan majlis tahlil? Adakah masih dikatakan sunat Ba’diyah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat Ba’diyah Isyak ini merupakan sebahagian dari solat Rawatib yang mu’akkad. Daripada Ibnu ‘Umar R.Anhuma, dia berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Maksudnya: Aku telah menghafaz (menjaga) daripada Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.

Riwayat al-Bukhari (1180)

Berkenaan waktu pelaksanaannya, ia didirikan setelah mengerjakan Solat Isyak dengan bilangan sebanyak dua rakaat. Rasulullah SAW mengerjakan solat ini di rumah.

Berdasarkan kepada nas di atas menunjukkan terdapat tempoh antara solat Isyak dengan solat ba’diyah isyak. Ini kerana solat sunat tersebut dilakukan di rumah Baginda SAW sekalipun kita mengetahui rumah Baginda amat berhampiran dengan masjid.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

…وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ…

Maksudnya: …Baginda SAW melakukan solat Isyak dengan orang ramai, kemudian Baginda masuk ke dalam rumahku lalu melakukan solat dua rakaat..

Riwayat Muslim (730)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, boleh dan tiada masalah. Yang pentingnya adalah dilakukan selepas waktu solat Isyak. Namun, amat disyorkan ia dilakukan sejurus selepas sembahyang, iaitu selepas berdoa maka boleh terus dilakukan solat sunat ba’diyah. Ini dengan makna supaya tempoh tersebut tidaklah terlalu lama selaras dengan maksud solat-solat tersebut sebagai solat rawatib yang memberi makna mengiringi solat. Justeru, diharapkan ia menepati dengan makna rawatib itu apabila dilakukan dalam tempoh tertentu iaitu selepas solat atau sebelum solat.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita melazimi solat-solat rawatib termasuklah solat ba’diyah Isyak. Allah SWT telah menjanjikan bagi mereka yang mengerjakannya dengan sebuah rumah di Syurga. Hal ini sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah akan mendirikan untuknya sebuah rumah di syurga.

Riwayat Muslim (728)

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1239: HUKUM BERSIUL

    Soalan: Benarkah bersiul itu dilarang dalam Islam? Saya pernah mendengar bahawa bersiul itu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *