Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1194: HAFAL ATAU FAHAM DAHULU DALAM MENUNTUT ILMU
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1194: HAFAL ATAU FAHAM DAHULU DALAM MENUNTUT ILMU

Download PDF

HAFAL KE FAHAM DULU.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Yang manakah lebih berkesan dalam menuntut ilmu, antara hafal dahulu baru faham, atau faham dahulu baru hafal?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut Kamus Dewan, maksud hafaz ialah terpelihara dan kekal dalam ingatan khususnya tentang bacaan ayat suci al-Quran. Maksud menghafaz pula ialah membaca atau mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam ingatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Selain daripada hafaz, dalam Bahasa Melayu juga disebut sebagai hafal iaitu sudah benar-benar masuk dalam ingatan tanpa perlu melihat buku atau catatan. Dalam Bahasa Arab pula disebut sebagai al-zakirah. Orang yang mempunyai ingatan yang kuat digelar sebagai quwwatu al-zakirah.

Hafazan adalah perkara penting bagi penuntut ilmu. Disebabkan itulah Imam al-Rahabi dalam Matan al-Rahabiah (hlm. 4) menyebut:

فاحْفَظْ فَكُلُّ حَافِظٍ إِمامٌ

Maksudnya: “Maka hafazlah kerana setiap orang yang menghafaz layak menjadi imam.”

Menjawab persoalan di atas, kedua-duanya mempunyai asas. Ada yang menghafal dahulu, kemudian baru memahamkannya. Ini sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak yang menghafal al-Quran, walaupun makna-makna dan maksudnya belum diketahui. Tetapi bagi orang dewasa atau yang sudah berusia, memahami terlebih dahulu lebih mudah untuk membawa kepada ingatan.

Dalam masalah ini, kami lebih cenderung kepada menghafal dahulu berdasarkan satu kaedah yang masyhur:

الْحِفْظُ فِي الصِّغَرِ كَالنَّقْشِ فِي الْحَجَرِ

Maksudnya: “Hafazan semasa kecil adalah sama seperti memahat di atas batu.”

Dalam sejarah salafus soleh juga, mereka menghafal terlebih dahulu, kemudian baru mereka mempelajarinya. Sebagai contoh dan buktinya, Imam al-Syafie Rahimahullah, dimana beliau telah menghafal kitab al-Muwatta’ terlebih dahulu sebelum datang mempelajarinya dengan Imam Malik. Akhirnya Imam Malik merasa kagum dan menyebut:

يَا غُلَام اتَّقِ اللهَ وَلَا تُطْفِئ هَذَا النُّور الَّذِي أَعْطَاكه اللهُ بِالمعَاصِي

Maksudnya: Wahai anak! Bertakwalah kamu kepada Allah. Jangan kamu padamkan cahaya (ilmu) yang Allah kurniakan kepadamu ini dengan maksiat. (Lihat Tarikh Dimasyq, 6/399)

Kami nukilkan daripada kitab Jami’ Bayan al-‘Ilmi (1/82), antara lain menyebut: Ibrahim bin ‘Alqamah berkata: “Apa yang aku hafaz ketika kecil atau muda seolah-olah aku melihat pada kertas.”

Begitu juga Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya: “Hai anakku, raih dan tuntutlah ilmu semasa kecil kerana ia sukar ketika dewasa.” (Lihat Jami’ Bayan al-‘Ilmi, 1/369)

Justeru, yang sebaik-baiknya adalah menghafal dan memahami supaya kita faham. Akan tetapi sepertimana yang kami nyatakan, memahami terlebih dahulu supaya memudahkan ingatan boleh dilakukan oleh mereka yang sudah dewasa. Jadi, daripada situ ia akan membantu memudahkan dari segi hafalan.

Kami mengakhiri dengan berdoa:

الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا، وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار، واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan dan kesungguhan dalam menekuni ilmu seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-395: DIKENCING OLEH SYAITAN

      Soalan: Benarkah hadith yang mengatakan bahawa orang yang tidak bangun untuk solat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *