Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1191: ADAKAH DANA MASJID DIKENAKAN ZAKAT?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1191: ADAKAH DANA MASJID DIKENAKAN ZAKAT?

Download PDF

DANA MASJID.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah dana masjid yang disumbangkan oleh orang awam dan yang diwakafkan wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisab?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Salah satu syarat wajib zakat mestilah harta tersebut dalam bentuk pemilikan sempurna. Pemilikan tersebut hendaklah jelas di mana tiada orang lain yang berhak ke atas harta tersebut melainkan dirinya sendiri. Dengan itu, sesuatu harta tersebut tidak tertakluk kepada pihak yang lain. Justeru, tidak wajib zakat ke atas harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu.

Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);

Surah al-Taubah (103)

Imam al-Mawardi menyebut dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir dengan menukilkan pandangan Imam al-Syafie:

وَتَجِبُ الصَّدَقَةُ عَلَى كُلِّ مَالِكٍ تَامِّ الْمِلْكِ مِنَ الْأَحْرَارِ ، وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا أَوْ مَعْتُوهًا أَوِ امْرَأَةً لَا فَرْقَ بَيْنَهُمْ فِي ذَلِكَ

Maksudnya: “Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), dari pemilik orang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/329)

Selain itu, syarat wajib zakat juga adalah harta tersebut mestilah dimiliki oleh individu tertentu. Oleh itu, zakat tidak wajib ke atas insitusi atau badan yang mempunyai dana daripada sumber harta umum seperti wakaf, sedekah dan seumpamanya yang tidak mempunyai pemilik.

Imam al-Nawawi berkata:

إذَا كَانَتْ الْمَاشِيَةُ مَوْقُوفَةً عَلَى جِهَةٍ عَامَّةٍ كَالْفُقَرَاءِ أَوْ الْمَسَاجِدِ أَوْ الْغُزَاةِ أَوْ الْيَتَامَى وَشَبَهِ ذَلِكَ فَلَا زَكَاةَ فِيهَا بِلَا خِلَافٍ , لِأَنَّهُ لَيْسَ لَهَا مَالِكٌ مُعَيَّنٌ

Maksudnya: “Sekiranya binatang ternak yang diwakafkan untuk kepentingan umum seperti (kepada) orang-orang fakir atau masjid atau untuk orang yang berperang atau anak yatim dan yang seumpama dengannya, maka tidak diwajibkan zakat padanya tanpa khilaf. Ini kerana harta tersebut tidak dimiliki oleh individu tertentu.” (Lihat al-Majmu’, 5/313)

Imam al-Ramli pula menyebut:

وَشَرْطُ وُجُوبِهَا أَيْضًا أَنْ يَكُونَ الْمَالِكُ مُعَيَّنًا ، فَلَا زَكَاةَ فِي الْمَوْقُوفِ عَلَى جِهَةٍ عَامَّة ،ٍ وَتَجِبُ فِي الْمَوْقُوفِ عَلَى مُعَيَّنٍ

Maksudnya: “Dan (antara) syarat diwajibkan zakat juga adalah hendaklah harta tersebut adalah milik individu tertentu. Tidak diwajibkan zakat ke atas harta wakaf yang menjadi milik umum, dan diwajibkan zakat ke atas harta wakaf yang menjadi milik pihak tertentu.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 9/200)

Syeikh Zakaria al-Ansari berkata:

لَا زَكَاةَ فِيمَا يُسْتَغَلُّ من الْوَقْفِ لِلْمَسَاجِدِ أَيْ عليها وَنَحْوِهَا وعلى الْجِهَةِ الْعَامَّةِ كَالْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ إذْ ليس لها مَالِكٌ مُعَيَّنٌ

Maksudnya: “Tidak dikenakan zakat pada manfaat harta wakaf untuk kegunaan masjid dan seumpama dengannya. Begitu juga ke atas harta umum seperti harta orang-orang fakir dan orang miskin kerana harta tersebut bukan milik individu tertentu.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/369)

 

Fatwa-Fatwa Badan Berautoriti

Kami kemukakan di sini beberapa fatwa yang telah dikeluarkan berkaitan isu di atas, antaranya:

  • Dar al-Ifta al-Misriyyah

Dar al-Ifta al-Misriyyah pernah mengeluarkan fatwa yang antara lain menyebut: Setiap harta yang bukan di bawah pemilikan individu tertentu dianggap sebagai harta milik umum yang tidak diwajibkan zakat atasnya. Termasuk dalam jenis harta ini adalah semua jenis harta yang dikelola oleh negara sebagai wakil dari rakyatnya, iaitu harta yang tersimpan dalam perbendaharaan negara dan harta di baitul mal. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, nombor 2535)

  • Fatwa al-Lajnah al-Daimah

Al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’ pernah ditanya, “Adakah zakat diwajibkan terhadap harta masjid yang diwakafkan?” Mereka menjawab, “Zakat tidak diwajibkan terhadap harta wakaf masjid dan sejenisnya, masalah ini hanya satu pendapat. Kerana tidak ada kepemilikan padanya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’, 9/412)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, dana hasil sumbangan orang awam serta yang diwakafkan kepada masjid tersebut tidak perlu dizakatkan sekalipun jumlahnya banyak dan melebihi nisab serta haul.

Hal ini kerana zakat tidak wajib ke atas harta yang tidak dimiliki oleh individu tertentu seperti institusi atau masjid yang mempunyai dana daripada sumber harta umum seperti sedekah, wakaf dan seumpamanya.

Selain itu, dana sumbangan orang ramai kepada masjid itu juga adalah dikira sebagai hak Allah SWT dan kerana itu tidak perlu untuk dizakatkan.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menggesa pihak pentadbir masjid secara syura atau kebenaran yang diberikan kepada mereka dalam menguruskan dana masjid, hendaklah menggunakannya dengan sebaik mungkin dan seamanahnya. Pada saat yang sama, janganlah disimpan sehingga berlaku pengabaian dalam mengimarahkan masjid. Justeru kebijaksanaan pengurusan masjid adalah amat digalakkan dan diperlukan.

Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Ibn Kathir berkata: Mereka yang mengimarahkan masjid adalah mereka yang dianggap sebagai ahlullah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/119)

Semoga masjid kita menjadi masjid yang benar-benar diimarahkan. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1239: HUKUM BERSIUL

    Soalan: Benarkah bersiul itu dilarang dalam Islam? Saya pernah mendengar bahawa bersiul itu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *