Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1189: IBU BAPA BERGADUH, APA YANG ANAK-ANAK HARUS LAKUKAN?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1189: IBU BAPA BERGADUH, APA YANG ANAK-ANAK HARUS LAKUKAN?

Gambar ibu bapa gaduh

 

SOALAN

Assalamualaikum, saya ada satu soalan. Ibu bapa saya sering bergaduh dan sering membuatkan saya dan adik-beradik merasa sedih. Keadaan menjadi semakin teruk apabila saya dan adik saya akan menduduki peperiksaan yang penting. Saya sangat pening dan runsing memikirkan keadaan keluarga saya. Sebagai seorang anak, apakah yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki keadaan ini?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Rumah tangga yang dibina kekal bahagia merupakan impian setiap manusia. Rumah tangga yang bahagia akan melahirkan rasa tenang di dalam jiwa, Allah SWT telah berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya dan rahmat-Nya, Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Surah ar-Rum: 21

Namun, tidak semua yang merasai rumah tangga yang tenang tanpa cabaran dan ujian. Cabaran dan ujian akan datang dari segenap sudut untuk menguji keutuhan rumah tangga yang telah dibina. Tidak sedikit yang kecundang dengan ujian ini, namun terdapat di sana ramai di kalangan kita yang berjaya mengharungi ujian dalam rumah tangga.

Berdasarkan soalan yang diajukan, menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka. Terdapat banyak nas yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta hak-hak mereka yang perlu ditunaikan, antaranya ialah:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sahaja, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai ke usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi berkatalah dengan mereka menggunakan perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Surah al-Isra’: 23

Imam Ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Ketika mana Allah SWT melarang untuk berkata-kata dengan perkataan yang buruk terhadap kedua ibu bapa, Dia juga telah memerintahkan untuk berbuat baik dan menggunakan perkataan yang baik terhadap mereka iaitu: dengan cara yang lembut, baik, penuh beradab, memuliakan dan menghormati mereka. Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (5/64)

Dalam Islam, anak-anak diperintahkan untuk tetap bergaul dengan cara yang baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

Surah Luqman: 15

Imam Ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutinya dan dalam masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (6/402).

Mengenai situasi yang dihadapi oleh saudara yang bertanya, secara asasnya wajib untuk anak-anak berusaha menegur ibu bapa yang sering bertengkar dengan cara yang baik tanpa menderhakai mereka. Ini bertepatan dengan saranan-saranan daripada al-Qur’an dan hadith Nabi SAW mengenai kewajipan menegur kemungkaran yang berlaku mengikut kemampuan dan kaedah yang betul.

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”

Surah Ali ‘Imran: 104

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik”

Surah an-Nahl: 125

 

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Daripada Abu Said al-Khudri RA: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman”

Riwayat Muslim (49)

 

Kesimpulan

Kami menasihati agar terus bersabar atas ujian ini dan berusaha untuk membaiki keadaan yang berlaku sepertimana nasihat Luqman kepada anaknya:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala ujian yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah terdiri daripada perkara-perkara yang dikehendaki untuk diambil berat dalam melaksanakannya”

Surah Luqman: 17

Kami juga ingin menasihati agar:

  1. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kedua ibu bapa diberikan kelembutan dan kesatuan hati di antara mereka
  2. Berterusan tanpa putus asa memberikan peringatan kepada kedua ibu bapa dengan cara yang lemah lembut dan tidak menyakiti hati mereka.
  3. Menunjukkan contoh tauladan yang baik ketika berada di rumah.
  4. Meminta bantuan daripada individu-individu yang dihormati dan disegani oleh kedua ibu bapa untuk menasihati mereka. Anak-anak pada kebiasaannya mengetahui individu-individu yang disegani oleh kedua ibu bapa mereka. Manfaatkan individu-individu ini untuk memberi nasihat dan menegur kedua ibu bapa.
  5. Menghidupkan suasana dan penghayatan Islam dalam rumah seperti solat berjemaah, tazkirah, bacaan al-Qur’an dan hadith Nabi SAW.
  6. Memperbanyakkan aktiviti-aktiviti yang boleh merapatkan hubungan antara ahli keluarga seperti pergi melancong bersama-sama, aktiviti makan bersama dan sebagainya.
  7. Kekal fokus dalam pelajaran dan peperiksaan yang bakal dihadapi. Semoga kejayaaan dalam peperiksaan anak-anak menjadi sebab untuk mentautkan hati kedua ibu bapa.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *