Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1095: BIR ALI ATAU ZULHULAIFAH?

Download PDF

bir ali zulhulaifah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri. Saya dengar miqat Madinah dikenali sebagai Bir Ali. Ada orang sebut Zulhulaifah. Sebenarnya yang mana antara keduanya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ ذَا الْحُلَيْفَةِ وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الْجُحْفَةَ وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الْمَنَازِلِ وَلِأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمَ هُنَّ لَهُنَّ وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam di al-Juhfah, bagi penduduk Najd di Qarn al-Manazil dan bagi penduduk Yaman di Yalamlam. Itulah miqat bagi mereka dan sesiapa yang melintasi Kawasan selain dari mereka untuk sesiapa yang mahu menunaikan haji dan umrah. Sesiapa yang selain dari itu, maka ia berihram dari tempatnya sehinggalah penduduk Mekah berniat ihram dari Mekah.”

Riwayat al-Bukhari (1524)

Berkenaan soalan di atas, Zulhulaifah merupakan salah satu miqat yang telah ditentukan oleh Nabi Muhammad SAW. Masjid Zulhulaifah terletak di sebelah barat Wadi ‘Aqiq, di wilayah Abyar Ali, dengan jarak 14 kilometer dari Masjid Nabawi.

Masjid ini dibina pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah Madinah (87-93 H). Kemudian ia dilakukan pengubahsuaian pada zaman Abbasiyah dan pengubahsuaian seterusnya dilakukan ketika pemerintahan Uthmaniyah, iaitu ketika pemerintahan Sultan Mehmed IV (1058-1099 H). Ketika itu, masjid masih berbentuk sangat kecil dan terbina daripada batu, dan belum ada jemaah haji dan umrah yang singgah di masjid ini. Kemudian Raja Fahd bin Abdul Aziz memerintahkan untuk mengubahsuai dan membangun serta melakukan perluasan masjid.

Masjid ini memiliki kubah yang tingginya 16 meter dari permukaan tanah. Masjid ini dapat menampung 5000 jemaah solat dalam satu-satu masa, dan ia mempunyai satu menara azan dengan ketinggian 62 meter.

Disebabkan jumlah jemaah haji dan umrah yang semakin meningkat, masjid ini telah diperluaskan beberapa kali dan dibina kemudahan yang diperlukan, sehinggalah masjid menjadi tempat persinggahan bagi para jemaah yang bermusafir. Masjid ini turut menyediakan ruangan untuk menggantikan kain ihram dan tempat wudhuk. Terdapat juga pasar yang menjual keperluan jemaah haji dan terletak di timur masjid. Di sebelah barat masjid terdapat tempat letak kereta dan kebun kurma yang luas. [1]

Masjid Bir Ali ini kelihatan seperti benteng yang dilengkapi dengan menara yang tinggi, berdinding tinggi dan menghadap ke sebuah bukit. Hasil daripada beberapa pengubahsuaian menjadikan masjid yang pada mulanya kecil dan sederhana berubah menjadi masjid megah dan indah. Hingga hari ini, Masjid Bir Ali berdiri di atas tanah lebih dari 60 ribu meter persegi. Keseluruhan luas masjid ini terdiri dari 26000 meter persegi (luas bangunan masjid) dan sekitar 34 ribu meter persegi luas taman dan tempat letak kereta.[2]

Berkenaan nama Abyar Ali, ada pendapat menisbahkan kepada Ali ibn Dinar. Iaitu Sultan di Darfur yang datang ke miqat ini pada tahun 1898 Masihi untuk melaksanakan ibadat haji dan mendapati suasana miqat kurang baik lalu dijadikan telaga-telaga bagi keperluan jemaah haji minum air daripadanya. Kemudian beliau membaiki masjid Zulhulaifah. Atas asas ini dinisbahkan kepadanya. Jawapan kami bahawa nisbah kepada pemerintah yang bernama Ali bin Dinar ini adalah tidak tepat. Ini kerana, merujuk kepada kitab-kitab yang terdahulu sudah disebut nama Abyar Ali atau Bir Ali. Ada yang menyangkakan bahawa Ali telah memerangi jin sedangkan ia adalah tidak benar kerana jin tidak diperangi pun oleh seorang sahabat.

Justeru, kami nyatakan bahawa, nama Bir Ali atau Abyar Ali sudah wujud sekian lama. Begitu juga nama Zulhulaifah berdasarkan nas hadis yang kami nyatakan tadi. Antara nama lainnya pula ialah al-Syajarah dan al-Baida’. (Lihat kitab al-Raudh al-Mi’thar, 196; Mu’jam al-Buldan, 2/296 dan juga Atlas al-Hadis al-Nabawi oleh Dr Shauqi Abu Khalil, hlm. 150)

Semoga Allah makbulkan haji dan umrah kita dan terima ziarah kita. Kami tutup dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Masjid_Dzulhulaifah

[2] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Masjid_Bir_Ali

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1344: HUTANG ARWAH AYAH: PERLUKAH DILANGSAIKAN?

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ayah saya ada berhutang banyak dengan orang. Dan setahu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *