Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1091 : BOLEHKAH BERPADA DENGAN TAKZIAH SECARA LISAN ?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1091 : BOLEHKAH BERPADA DENGAN TAKZIAH SECARA LISAN ?

Download PDF

AK1091

Soalan :

Assalamualaikum. Perlukah ucapan takziah apabila menerima berita kematian seseorang melalui Whats App dijawab secara bertulis atau memadai sekadar mengucapkannya secara lisan ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dari sudut definisi, takziah bermaksud: ‘’Memberikan ketenangan kepada keluarga si mati, dan menggalakkan mereka untuk bersabar dengan jaminan pahala (terhadap perbuatan tersebut), serta mendoakan jenazah si mati yang beragama Islam dan juga doa kepada mereka yang ditimpa musibah’’.

Secara umumnya, hukum takziah di dalam Islam adalah sunat yang dituntut. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Umarah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah S.W.T akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.

Riwayat Ibn Majah (1601)

Imam Al-Sindi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Takziah kepada saudaranya adalah dengan cara menyuruhnya supaya bersabar. Seperti ucapan ‘’semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada kamu’’ dan seumpamanya. Rujuk Hasyiyah Al-Sindi ‘ala Ibn Majah (1/486).

Kami nyatakan bahawa ucapan-ucapan sebegini adalah menepati anjuran Rasulullah S.A.W seperti yang disebutkan dalam riwayat dari Usamah bin Zaid R.A berikut bahawa baginda S.A.W bersabda:

أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Maksudnya: ‘’Sesungguhnya bagi Allah S.W.T apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya ada ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya’. Perintahkan lah dia (perempuan tersebut) untuk bersabar nescaya kamu akan mendapat ganjaran’’.

Riwayat Al-Bukhari (7377)

Secara umumnya, kaifiat atau tatacara mengucapkan takziah ini terdapat padanya keluasan. Seseorang itu boleh sahaja mengucapkan takziah di hadapan mereka yang ditimpa musibah itu, atau boleh untuk seseorang itu mengucapkan takziah secara bertulis dan mengajakkan orang ramai turut bertakziah kepada keluarga si mati seperti yang dilakukan pada hari ini di media sosial seperti facebook, What’s Apps, dan seumpamanya. Demikian juga boleh bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain bagi menyampaikan takziah kepada orang yang ditimpa musibah bagi pihaknya seperti yang berlaku dalam hadis Usamah di atas apabila Rasulullah S.A.W menghantar wakil untuk mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa dibolehkan bagi seseorang yang mendengar atau mengetahui berita kematian yang berlaku melalui aplikasi What’s App untuk berpada dengan ucapan takziah melalui lisan sahaja. Iaitu dia mengucapkan istirja’ dan juga doa keampunan kepada si mati.

Meskipun begitu, adalah digalakkan untuk dia menulis ucapan takziah dengan lafaz yang betul, bagi memulakan suatu sunnah yang baik. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang mengajak ke arah petunjuk (kebaikan), dia mendapat pahala seperti mana pahala mereka yang mengikuti petunjuk tersebut. Dalam keadaan yang demikian itu tidak mengurangkan pahala mereka sedikit pun.

Riwayat Muslim (2674)

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan petunjuk yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1344: HUTANG ARWAH AYAH: PERLUKAH DILANGSAIKAN?

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ayah saya ada berhutang banyak dengan orang. Dan setahu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *