Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1031: LAFAZ TALAK KETIKA BERGURAU

Download PDF

Screen Shot 2019 01 08 at 1.09.50 PM

Soalan

 

Pada hari pertama persekolahan, ketika menghantar anak ke sekolah, saya mendapat panggilan telefon. Melalui panggilan itu, kawan saya bertanya, saya menghantar anak daripada isteri yang mana. Sedangkan saya hanya mempunyai seorang isteri dan saya memahami bahawa kawan hendak bergurau. Lalu saya pun membalas gurauan dengan mengatakan: “anak daripada isteri muda, sebab isteri tua, aku dah cerai”. Apakah jatuh talak kepada isteri saya?

 

Jawapan

 

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu untuk kita fahami. Yang pertama, larangan bermain-main dengan talak. Perkara ini adalah perkara yang tidak boleh dijadikan bahan ketawa dan gurauan. Hal ini ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

 

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

 

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).

Riwayat Abu Daud (2194)

Hadith di atas jelas menunjukkan larangan untuk bermain-main dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana gurauan di dalam tiga perkara itu akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan tersebut tanpa mengira niat untuk bergurau. Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu sedar dan tahu batas-batas gurauan di dalam Islam. Islam tidak sesekali melarang gurauan secara umumnya, namun setiap sesuatu itu perlu ada hadnya, dan tidak semua perkara boleh untuk kita bergurau-senda.

Disebutkan juga bahawa, sekiranya gurauan dibuat oleh suami dan isteri sudah baligh, berakal dan tidak dipaksa mana-mana pihak, maka lafaz talak yang dilafazkan adalah dikira, dan jatuh talak mengikut apa yang disebutkan. Rujuk kitab al-Muktamad (4/ 157).

Yang kedua, dalam merungkai persoalan ini, perlu untuk kita melihat perbahasan al-qasd, iaitu tujuan talak dilafazkan. Al-qasd adalah rukun yang ketiga dalam bab talak. Ia berkait rapat dengan sighah atau bagaimana di lafazkan talak itu. Ini seperti mana disebutkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili:

 

يُشْتَرَطُ بِالاتِّفَاقِ القَصْدُ فِي الطَّلَاقِ: وَهُوَ إِرَادَةُ التَّلَفُّظِ بِهِ، وَلَا يُشْتَرَطُ فِي هَذَا الرُّكْنِ إِلَّا تَحْقِيْقَ المُرَادِ بِهِ، فَلَا يَقَعُ طَلَاقُ فَقِيهٍ يُكَرِّرُهُ ، وَلَا طَلَاقُ حَاكٍ عَنْ نَفْسِهِ أَو غَيْرِهِ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَقْصِدْ مَعْنَاهُ، بَلْ قَصَدَ التَّعْلِيْمَ والحِكَايَةَ، ولَا طَلَاقُ أَعْجَمِيٍّ لُقِّنَ لَفْظَ الطَّلَاقِ بِلَا فَهْمٍ مِنْهُ لِمَعْنَاهُ. وَلا يَقَعُ طَلَاقُ مَرَّ بِلِسَانِ نَائِـمٍ أَوْ مَنْ زَالَ عَقْلُهُ بِسَبَبٍ لَمْ يَعْصِ بِهِ، وَيَلْغُو

 

Maksudnya: Disyaratkan secara ittifaq (persepakatan para ulama’) al-qasd (niat) dalam talak. Iaitu keinginan untuk melafazkan dengan (perkataan) talak (dengan makna asal iaitu penceraian). Tidaklah disyaratkan al-qasd sebagai rukun melainkan untuk menentukan makna dari lafaz yang disebutkan itu. Tidak jatuh talak apabila seorang faqih (orang yang alim dalam fiqh) mengulang-ulang perkataan talak, dan tidak jatuh talak kepada orang yang menceritakan ke atas dirinya (kerana menceritakan semula lafaz talak orang lain) kerana tidak memaksudkan dari lafaz talak itu, pada makna asalnya, bahkan (faqih) tujuan menyebut lafaz talak untuk pengajaran, dan (orang yang menceritakan) tujuannya adalah untuk menceritakan. Tidak jatuh talak ke atas orang ajam (bukan bangsa arab) yang menyebut lafaz talak tanpa memahami maknanya. Tidak jatuh talak jika disebutkan orang yang sedang tidur, atau orang yang hilang akal (dengan sendiri) tanpa melakukan maksiat, maka (perkataan talak itu) dianggap sia-sia( tidak dijatuhkan hukum). Rujuk kitab al-Fiqh al-Islami wadillahtuhu (9/6886).

Oleh itu, tujuan seseorang ketika menyebut lafaz-lafaz yang secara umumnya digunakan dalam menjatuhkan talak, perlu ditanya terlebih dahulu, apakah tujuan lafaz itu seperti mana yang disebutkan di atas. Sekiranya, sedang berhikayat atau bercerita dengan menyebutkan lafaz yang sama, maka tidaklah jatuh talak sekiranya dia tidak bertujuan untuk menjatuhkan talak.

Yang ketiga, rukun yang perlu untuk dibahaskan seterusnya di dalam bab talak ialah wilayah dan al-mahal. Wilayah bermaksud kuasa untuk menjatuhkan talak manakala al-mahal bermaksud posisi atau kepada siapa talak boleh dijatuhkan.

Hanya orang yang berkuasa, iaitu orang yang berhak sahaja boleh menjatuhkan talak kepada orang yang berada di bawah kuasa talaknya. Tidak akan jatuh talak, sekiranya seseorang lelaki melafazkan talak kepada wanita yang tiada ikatan perkahwinan yang sah dengannya. Hal ini dijelaskan bedasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ طَلاَقَ قَبْلَ النِّكَاحِ

Maksudnya: Tiada talak sebelum pernikahan.

Riwayat Ibn Majah (2049)

 

Maka, sebarang lafaz talak yang dibuat sebelum akad nikah yang sah tidak akan dikira. Meskipun lelaki tersebut akhirnya bernikah dengan wanita tersebut, tetap tidak akan dikira, dan lafaz tersebut tidak mempunyai nilai.

Kemudian, dalam perbincangan al-mahal, hendaklah jelas kepada siapa talak itu hendak dilafazkan. Lafaz tidak akan jatuh melainkan ke atas wanita yang telahpun menjadi isteri. Disebutkan oleh Imam al-Mawardi:

 

الطلاق لا يقع إلا من زوج ولا يقع إلا على زوجة

 

Maksudnya: Talak tidak jatuh melainkan datang daripada seorang suami dan tidak jatuh melainkan disebutkan ke atas isteri. Rujuk kitab al-Hawi (12/ 384)

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan perbincangan nas serta hujah di atas, kami melihat dalam kes ini secara hukumnya tidak membawa kepada jatuhnya talak. Ini berdasarkan hujah yang kami sebutkan di atas. Lelaki yang bergurau ini, secara realiti tidak mempunyai dua isteri. Maka, tidak wujud istilah isteri tua atau isteri muda. Apabila tidak wujud isteri yang kedua , maka lafaz talak ke atas isteri pertama itu dianggap sebagai lagha atau sia-sia dimana perkataan yang diucap tidak mempunyai nilai.

Perkahwinan ini kami iktibarkan sebagai kekal tanpa perlu dirujuk kembali, kerana kaedah fiqh menyebutkan:

الأَصْلُ بَقَاء مَاكَان عَلَى مَاكَان

Maksudnya: Asal (kepada sesuatu perkara) kekal seperti mana hukum asal.

Sekiranya isteri kepada yang bertanya ini, syak adakah talak itu jatuh kepadanya atau tidak, maka hendaklah suami itu bersumpah untuk menafikan hal tersebut. Ini berdasarkan kaedah fiqh lain yang menyebut:

البَينة على المدعي واليمين على من أنكر

Maksudnya: “Pendakwa hendaklah mendatangkan bukti, dan tertuduh yang mengingkari hendaklah bersumpah”. Rujuk kitab al-Muktamad (4/177).

Namun begitu, sekiranya timbul perselisihan dalam masalah ini, kami cadangkan untuk dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan tentang status lafaz talak.

Kami juga mengingatkan kepada semua umat Islam, agar menjauhkan gurau-senda dalam hal yang berkaitan dengan perkahwinan dan talak. Sedarlah bahawa jika seorang wali bergurau menikahkan anak perempuanya dengan lelaki lain, dan cukup syarat-syarat lain, maka pernikahan itu sah walaupun bergurau. Begitu juga, dengan penceraian, lafaz cerai yang dilafaz ketika bergurau itu tetap akan dikira. Bertakwalah kepada Allah SWT dengan menjauhi gurauan dalam hal sebegini.

Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dan taufiq dalam memahami agama-Nya.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1158: SOLAT JENAZAH GHAIB KEPADA WARGA MUSLIM NEW ZEALAND

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, bolehkah kita solat jenazah ghaib kepada warga Muslim New …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *