Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1030: MANAKAH LEBIH UTAMA BERDAKWAH KEPADA ORANG ISLAM ATAU BUKAN ISLAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1030: MANAKAH LEBIH UTAMA BERDAKWAH KEPADA ORANG ISLAM ATAU BUKAN ISLAM

Download PDF

 

untitled-5c-20i_34134612 (2).jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ada beberapa persoalan yang memerlukan pencerahan seperti berikut:

Yang manakah lebih utama berdakwah kepada orang Islam atau berdakwah kepada orang bukan Islam?

Saya pernah mendengar ada yang merujuk kepada satu hadis yang lebih kurang  maksud “mengislamkan seorang Islam adalah lebih baik daripada mengislamkan sepuluh orang bukan Islam. Adakah benar ada hadis tersebut dan jika ada apakah taraf hadis tersebut?”

Itu sahaja soalan saya buat waktu ini dan segala pencerahan daripada tuan mufti saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Dakwah adalah tugas asasi bagi setiap umat Islam untuk menyeru, mengajak, menyampaikan dan memperkenalkan kepada manusia mengenai ajaran agama Islam. Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung”.

(Surah Al-Imran: 104)

 

Begitu juga sabda Nabi SAW:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: Sampaikan kepadaku walaupun sepotong ayat

(Hadis riwayat Bukhari, No. 3461)

 

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, manakah lebih utama berdakwah kepada orang Islam atau berdakwah kepada orang bukan Islam? Kami menyatakan bahawa jawapan bagi persoalan ini adalah subjektif kerana kedua-duanya mempunyai keutamaannya yang tersendiri pada masa, waktu dan keadaan yang tertentu. Namun begitu, apa yang lebih penting adalah menyampaikan dakwah dengan tatacara dan adab susila yang terbaik sepertimana yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW.

Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik

(Surah Al-Nahl: 125)

 

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Pernah pada suatu ketika Nabi SAW menyuruh Saidina Ali untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Ali berkata, kami akan menentang dan melawan musuh sehingga mereka menjadi muslim, lalu Nabi SAW berkata: bersabarlah, sehingga kamu berjumpa dengan mereka dan mengajak mereka untuk memeluk agama Islam maka Allah akan bersama mereka.

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”

(Hadis riwayat al-Bukhari, No. 2942)

 

Sebagai renungan, mari kita mengabil ibrah melalui satu peristiwa yang tercatat di dalam Al-Quran, kisah bagaimana Allah SWT menegur Nabi SAW kerana mengabaikan permintaan sahabat yang meminta untuk diajarkan agama Islam kepadanya. Sahabat tersebut bernama Abdullah bin Umm Maktum yang diuji dengan kedua-dua belah matanya buta. Namun begitu, situasi permintaanya telah menyebabkan Rasulullah SAW merasa tidak senang kerana baginda sedang sibuk menyampaikan dakwah kepada pembesar-pembesar kafir Quraisy dengan harapan supaya para pembesar tersebut mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam. Penolakkan permintaanya itu telah menyebabkan Abdullah bin Umm Maktum berasa kecewa dan bersedih lalu beredar dari tempat itu (Rujuk Kitab Siyar A’lam Nubala’, jld. 1, m/s 363). Kesedihan itu telah membawa asbab penurunanya ayat Al-Quran yang diturunkan bagi menegur Rasulullah SAW terhadap peristiwa itu:

Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّى (١) أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى (٢)وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى (٣)أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى (٤) أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَى )٥) فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّى (٦) وَمَا عَلَيْكَ أَلا يَزَّكَّى (٧) وَأَمَّا مَنْ جَاءَكَ يَسْعَى (٨)وَهُوَ يَخْشَى (٩) فَأَنْتَ عَنْهُ تَلَهَّى (١٠

Maksudnya:“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) kemungkinan dia ingin menyucikan dirinya, atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka engkau (Muhammad) memberi perhatian lebih kepadanya. Padahal tidak ada (cela) atasmu jikalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia takut (kepada Allah), engkau (Muhammad) malah mengabaikannya”.

(Surah Abasa,1-10)

 

Melalui surah ini, Allah SWT menegur sikap Rasulullah SAW yang lebih mengutamakan orang-orang kafir daripada orang yang beriman walaupun orang-orang kafir itu pembesar kaum sedangkan orang beriman itu pula buta dan miskin. Ayat ini memberikan pengajaran agar tidak mengecilkan hati orang-orang beriman kerana mereka lebih baik daripada orang-orang kafir walaupun mereka adalah seorang yang miskin.

Membawa manusia yang berada di dalam kegelapan untuk menerima cahaya kebenaran atau beristiqamah dalam menerima kebenaran adalah satu pekerjaan yang amat berat. Namun begitu, pekerjaan yang mulia inilah merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Sesungguhnya pahala yang amat besar dijanjikan Allah SWT kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)”

(Surah Al-Fussilat: 33)

 

Dalam konteks Islam di Malaysia, dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam adalah perlu. Sememangnya orang Islam di Malaysia merupakan purata bagi masyarakat disini. Namun begitu, adakah cara kehidupan Islam sebenar dipraktikkan oleh masyarakatnya? Setiap hari, Allah SWT memperingatkan hambanya 5 kali sekali untuk menunaikan solat, namun statistik menyatakan 70 peratus golongan remaja di Malaysia masih tidak mengerjakan solat. Maka, sebagai seorang muslim yang bersaudara, ia menjadi tanggungjawab untuk memperingatkan muslim yang lain untuk menunaikan suruhan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman”.

(Hadis riwayat Muslim, No. 49)

 

Berkenaan petikan ayat tersebut “mengislamkan seorang Islam adalah lebih baik daripada mengislamkan sepuluh orang bukan Islam. Adakah benar ada hadis tersebut dan jika ada apakah taraf hadis tersebut?” kami meminta maaf daripada kelemahan kami, tidak kami menjumpainya setakat ini yang menyatakan ia merupakan hadis Nabi SAW.

WallahuA’lam.

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE 184: TABAYYUN DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN BERITA

  Mukaddimah Mutakhir kini, dalam era globalisasi yang serba maju, seiring dengan kecangihan teknologi global, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *