Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1010: MENGIRIM SALAM KEPADA AHLI KUBUR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1010: MENGIRIM SALAM KEPADA AHLI KUBUR

kirim salam kubur.JPG

Soalan

Assalamualaikum tuan mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang yang tidak dapat hadir ke kubur dan berpesan kepada kawannya untuk mengirimkan salamnya kepada ahli kubur iaitu salah seorang rakan mereka. Mohon penjelasan dari tuan mufti. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Biasanya orang mengirim salam kepada Rasulullah SAW sebagaimana berlaku kepada sebahagian salafus soleh apabila ingin menziarahi kota Madinah, maka dikatakan, “sampaikan salamku kepada Rasulullah SAW.”

Dikatakan bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah menyampaikan salam yang dikirimkan kepadanya untuk Rasulullah SAW. Hal ini diriwayatkan oleh Taqiyyuddin al-Subki dalam kitabnya Syifa’ al-Siqam (hlm. 58) dan dinukilkan daripada Ibn Abi ‘Asim tentang pengisbatannya. Sebahagian ulama menyatakan terdapat dua jalur daripada al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Iman (3870), (3869). Mereka yang mengisyaratkan kenyataan ini juga ialah Ibn al-‘Arabi dalam al-Qabas (1/423). Yang demikian itu kerana beliau merupakan khalifah yang cukup istimewa dalam kalangan ahli ilmu pada dua perkara:

  • Terdapat qarinah yang kuat sekalipun tiada yang diketahui daripada ulama’ sezaman dengannya yang menyalahinya bahkan dengan sebab tersebar, ia termasuk dalam kalangan hukum ijma’ sukuti.
  • Adanya perbincangan atau syura sebagai salah seorang khalifah yang mempunyai ramai ahli syura. Bahkan sebahagian daripada ulama’ mengkhususkan pendapat Umar Abdul Aziz berbanding ulama lain sebagai hujah.

Adapun kepada yang lain, perbuatan tersebut tidak masyhur.

Berkenaan dengan ruh orang yang beriman antara satu sama lain apabila berada di alam Barzakh, maka keadaan mereka boleh bertemu.

Ibn al-Jauzi telah menyebut dalam Bustan al-Wa’izin bahawa ruh orang yang beriman itu saling bertemu. Ini berdasarkan hadis:

إِذا عرج بِروح الْمُؤمن تَلَقَّتْهُ أَرْوَاح الْمُؤمنِينَ بِالرَّحْمَةِ والبشرى كَمَا يتلَقَّى الْغَائِب فِي الدُّنْيَا ثمَّ يقبلُونَ عَلَيْهِ فيسألونه فَيَقُولُونَ مَا فعل فلَان وَمَا حَاله

Maksudnya: Apabila diangkat ruh orang yang beriman, nescaya ia bertemu dengan ruh-ruh orang beriman dengan rahmat dan berita gembira sebagaimana bertemu orang yang asing dengan keluarganya di dunia. Kemudian, mereka menyambutnya dan bertanya kepadanya, dengan berkata: Apa yang dilakukan oleh si fulan dan apa yang berlaku kepadanya.

Riwayat al-Nasa’ie (1959)

Ini menunjukkan bahawa orang-orang beriman bertemu ruh mereka dan mereka berbicara sesama mereka. Mereka bertanya khabar berkenaan dengan rakan taulan yang masih hidup di dunia.

Berkenaan dengan salam kepada Rasulullah SAW, dikatakan bahawa dengan jarak jauh sekalipun akan sampai kepada Rasulullah SAW. Ini berdasarkan kepada banyak nas, antaranya:

إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الْأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلَامَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berjalan-jalan di bumi, yang akan menyampaikan kepadaku salam dari umatku.”

Riwayat al-Nasa’ie (1282) dan al-Tirmizi (3600)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1480)

Dengan sebab itu, sebahagian ulama’ menganggap tidak perlu menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW kerana seseorang yang mengucapkan salam dan berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW sudah pasti sampai kepada Baginda SAW.

Oleh kerana persoalan di atas adalah masalah khilafiyyah, maka kami lebih cenderung kepada tidak perlu mengirim salam kepada seseorang yang ingin menziarahi si mati untuk sampaikan salam kepadanya (si mati) kerana tiada nas yang sahih serta amalan yang dilakukan oleh salafus soleh kecuali kepada Rasulullah SAW.

Semoga Allah jadikan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berkasih sayang sehingga membawa ke Syurga.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *