Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Muqaddimah / Sejarah Hidup Imam Hadis – Imam Muslim
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sejarah Hidup Imam Hadis – Imam Muslim

Penghimpun dan penyusun hadith terbaik kedua setelah Imam Bukhari adalah Imam Muslim. Nama lengkapnya ialah Imam Abul Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim bin Kausyaz al-Qusyairi an-Naisaburi. Ia juga mengarang kitab As-Shahih (terkenal dengan Shahih Muslim). Beliau adalah salah seorang ulama terkemuka yang namanya tetap dikenal hingga kini. Ia dilahirkan di Naisabur pada tahun 206H. menurut pendapat yang sahih sebagaimana dikemukakan oleh al-Hakim Abu Abdullah dalam kitabnya ‘Ulama’ul-Amsar.

Kehidupan Dan Lawatannya Untuk Mencari Ilmu

Beliau belajar hadith sejak usia awal, iaitu mulaii tahun 218H. Beliau pergi ke Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan negara-negara lainnya.

Dalam pengembaraannya Imam Muslim banyak mengunjungi ulama-ulama terkenal untuk belajar hadith dengar mereka. Di Khurasan, beliau berguru kepada Yahya bin Yahya dan Ishak bin Rahawaih; di Ray beliau berguru dengan Muhammad bin Mahran dan Abu ‘Ansan. Di Iraq beliau belajar hadith dengan Ahmad bin Hanbal dan Abdullah bin Maslamah; di Hijaz belajar dengan Sa’id bin Mansur dan Abu Mas ‘Abuzar; di Mesir berguru dengan ‘Amr bin Sawad dan Harmalah bin Yahya, dan dengan ulama ahli hadith yang lain.

Muslim berkali-kali mengunjungi Baghdad untuk belajar dengan ulama-ulama ahli hadith, dan kunjungannya yang terakhir pada 259H. di waktu Imam Bukhari datang ke Naisabur, Muslim sering datang kepadanya untuk berguru, sebab belaiu mengetahui jasa dan ilmunya. Dan ketika terjadi fitnah atau perrtelingkahan antara al-Bukhari dan Az-Zihli, beliau memihak kepada Bukhari, sehingga hal ini menjadi sebab terputusnya hubungan dengan Az-Zihli. Muslim dalam Sahihnya maupun dalam kitab lainnya, tidak memasukkan hadith-hadith yang diterima dari Az-Zihli padahal beliau adalah gurunya. Hal serupa juga beliau lakukan terhadap al-Bukhari. Ia tidak meriwayatkan hadith dalam Sahihnya, yang diterimanya dari al-Bukhari, padahal iapun sebagai gurunya. Nampaknya pada hemat Muslim, yang lebih baik adalah tidak memasukkan ke dalan Sahihnya hadith-hadith yang diterima dari kedua gurunya itu, tetapi tetap mengakui mereka sebagai guru.

Wafatnya

Imam Muslim wafat pada hari Isnin, 25 Rajab 261H dalam usia 55 tahun dan dikebumikan di kampung Nasr Abad, salah satu daerah di luar Naisabur,

Guru-Gurunya

Selain yang telah disebutkan di atas, Imam Muslim berguru dengan ramai lagi. Di antaranya : Usman dan Abu Bakar, putra Abu Syaibah; Syaiban bin Farwakh, Abu Kamil al-Juri, Zuhair bin Harb, Amr an-Naqid, Muhammad bin al-Musanna, Muhammad bin Yassar, Harun bin Sa’id al-Ayli, Qutaibah bin Sa’id dan lain sebagainya.

Kepakaran Dalam Hadith

Imam Bukhari merupakan ulama terkemuka di bidang hadith sahih, berpengetahuan luas mengenai ilat-ilat dan seluk beluk hadith, serta tajam kritiknya, manakala Imam Muslim adalah orang kedua setelah Imam Bukhari, baik dalam ilmu dan pengetahuannya mahupun dalam keutamaan dan kedudukannya.

Imam Muslim banyak menerima pujian dan pengiktirafan dari para ulama hadith dan juga ulama dalam bidang-bidang lain. Al-Khatib al-Baghdadi berkata, “Muslim telah mengikuti jejak Bukhari, memperhatikan ilmunya dan menempuh jalan yang dilaluinya.” Kenyataan ini tidak bererti bahawa Muslim hanyalah seorang pengekor. Malah, beiau mempunyai ciri khas dan karakteristik tersendiri dalam menyusun kitab, serta metode baru yang belum pernah diperkenalkan orang sebelumnya.

Abu Quraisy al-Hafiz menyatakan bahawa di dunia ini orang yang benar-benar ahli di bidang hadith hanya empat orang; salah seorang di antaranya adalah Muslim (Tazkiratul Huffaz, jilid 2, hal. 150). Maksud perkataan tersebut adalah ahli-ahli hadith terkemuka yang hidup di masa Abu Quraisy, kerana ahli hadith itu amat ramai keseluruhannya.

Karya-Karya Imam Muslim

Imam Muslim meninggalkan hasil tulisan yang tidak sedikit jumlahnya, di antaranya :

• Al-Jami’ as-Shahih (Shahih Muslim).

• Al-Musnadul Kabir (kitab yang menerangkan nama-nama para perawi hadith).

• Kitabul-Asma’ wal-Kuna.

• Kitab al-‘Ilal.

• Kitabul-Aqran.

• Kitabu Su’alatihi Ahmad bin Hambal.

• Kitabul-Intifa’ bi Uhubis-Siba’.

• Kitabul-Muhadramin.

• Kitabu man Laisa lahu illa Rawin Wahid.

• Kitab Auladis-Sahabah.

• Kitab Awhamil-Muhadditsin.

Kitab Sahih Muslim

Di antara kitab-kitab di atas yang paling agung dan sangat bermanfaat, serta masih tetap beredar hingga kini ialah Al-Jami’ as-Shahih, terkenal dengan Shahih Muslim. Kitab ini merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih dan murni sesudah Kitabullah. Kedua kitab Shahih ini diterima baik oleh segenap umat Islam.

Imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para perawi, menyaring hadith-hadith yang diriwayatkan, membandingkan riwayat-riwayat itu satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan hati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz, dan selalu memberikan isyarat akan adanya perbezaan antara lafaz-lafaz itu. Dengan usaha yang sedemikian rupa, maka lahirlah kitab Shahihnya.

Bukti konkrit mengenai keagungan kitab itu ialah suatu kenyataan, di mana Muslim menyaring isi kitabnya dari ribuan riwayat yang pernah didengarnya. Diceritakan, bahawa ia pernah berkata: “Aku susun kitab Shahih ini yang disaring dari 300.000 hadith.”

Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, yang berkata : “Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab Shahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12.000 buah hadith.

Dalam pada itu, Ibn Salah menyebutkan dari Abi Quraisy al-Hafiz, bahawa jumlah hadith Shahih Muslim itu sebanyak 4.000 buah hadith. Kedua pendapat tersebut dapat kita kompromikan, yaitu bahawa perhitungan pertama memasukkan hadith-hadith yang berulang-ulang penyebutannya, sedangkan pengiraan kedua hanya menghitung hadith-hadith yang tidak disebutkan berulang.

Imam Muslim berkata di dalam Shahihnya: “Tidak setiap hadith yang sahih menurutku, aku cantumkan di sini, yakni dalam Shahihnya. Aku hanya mencantumkan hadith-hadith yang telah disepakati oleh para ulama hadith.”

Imam Muslim pernah berkata, sebagai tanda kesyukuran di atas anugerah Tuhan yang diterimanya: “Apabila penduduk bumi ini menulis hadith selama 200 tahun, maka usaha mereka hanya akan berputar-putar di sekitar kitab musnad ini.”

Ketelitian dan berhati-hatinya Muslim terhadap hadith yang diriwayatkan dalam Shahihnya dapat dilihat dari perkataannya sebagai berikut : “Tidaklah aku mencantumkan sesuatu hadith dalam kitabku ini, melainkan dengan sebab yang dasar; juga tiada aku menggugurkan sesuatu hadith daripadanya melainkan dengan sebab juga.”

Imam Muslim di dalam penulisan Shahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Adapun judul-judul kitab dan bab yang kita dapati pada sebahagian naskah Shahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya dibuat oleh para pensyarah yang datang kemudian. Di antara pensyarah yang paling baik membuat judul-judul dan sistem babnya adalah Imam Nawawi dalam Syarahnya.

Disaring oleh www.darulkautsar.net dari Kitab Hadith Shahih yang Enam karya Muhammad Muhammad Abu Syuhbah.

Check Also

Fiqh Imam Bukhari

  Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *