Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Muqaddimah / Peringkat-Peringkat Fiqh Al-Hadis
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Peringkat-Peringkat Fiqh Al-Hadis

Peringkat-Peringkat Fiqh Al-Hadis (2)

Dalam perbincangan yang lalu, penulis telah mengemukakan beberapa kaedah ulama dalam memahami nas-nas hadis Rasulullah s.a.w. Setakat pengetahuan dan pemerhatian yang dibuat, penulis tidak mendapati ulama menghimpunkan dan membincangkan dengan halus tentang peringkat fiqh al-hadis kecuali sebilangan kecil ulama hadis. Oleh kerana itu, pertama sekali penulis akan menyebut usaha-usaha mereka kemudian meletakkan peringkat-peringkat fiqh al-hadis mengikut yang diperolehi penulis sepanjang berinteraksi dengan hadis dan pembacaan sirah Rasulullah s.a.w. dan usaha-usaha baginda yang membawa perubahan.

Peringkat-Peringkat Yang Dibahaskan Oleh Sebahagian Ulama Dan Penulis.

1 – Peringkat-peringkat yang diisyaratkan oleh Syah Waliyullah al-Dahlawi:

Imam al-Dahlawi telah menggariskan beberapa peringkat untuk berinteraksi dengan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan katanya: “Ilmu ini mempunyai beberapa tahap dan di kalangan ahli-ahlinya mempunyai beberapa peringkat. Ilmu ini mempunyai kulit dan di dalamnya ada isi. Ia memiliki dasar dan di tengah-tengahnya terdapat mutiara. Para ulama telah menulis mengenai hadis dari sudut kesahihan dan kedhaifan, istifadhah dan kemasyhuran. Untuk usaha ini tampil ulama yang pakar dan mahir dan para hafiz hadis dari kalangan mutaqaddimin, kemudian diikuti ilmu tentang makna-makna lafaz hadis yang gharib dan menentukan kemusykilannya. Ulama sastera dan ulama yang menekuni ilmu-ilmu bahasa Arab turut mengambil bahagian. Kemudian diikuti dengan ilmu tentang makna-maknanya menurut syara’, menyimpulkan hukum-hukum furu’ dan mengqiyaskan dengan hukum-hukum yang telah dinaskan. Di sisi kebanyakan ulama, ilmu ini sama dengan isi dan mutiara. Tidak ketinggalan juga ulama fiqh yang membuat kajian mendalam. Bagaimanapun menurut penulis, ilmu-ilmu hadis yang paling halus, mendalam dan paling tinggi menaranya dan ilmu syariah yang paling utama daripada ilmu-ilmu yang lain, paling besar kedudukkan iaitu ilmu tentang rahsia-rahsia agama yang mengkaji hikmah-hikmah, rahsia-rahsia hukum dan ‘illatnya serta rahsia amalan khusus dan nukatnya.[1]

2 – Prinsip-prinsip dan kriteria yang disebutkan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitab-kitabnya[2]terutama al-Madkhal Li Dirasah al-Sunnah al-Nabawiyyah. Beliau menyebutkan beberapa prinsip dalam berinteraksi dengan sunnah kemudian beliau menyatakan beberapa kriteria berinteraksi dengan sunnah secara sahih. Antaranya ialah:

a. Prinsip-prinsip[3]

Pertama: memastikan kesahihan hadis dan sabitnya mengikut neraca-neraca ilmiyah yang letakkan oleh ulama. Neraca ini merangkumi sanad dan matan, sama ada sunnah itu dalam bentuk ucapan, perbuatan atau pengakuan.[4]

Kedua: menekuni dan menghalusi pemahaman nas-nas hadis Nabi selaras dengan pengertian bahasa Arab dalam suluhan konteks hadis dan sebab terbitnya di bawah naungan nas-nas al-Quran dan hadis lain serta dalam lingkungan prinsip umum syariah, maqasid kulli Islam di samping pentingnya membezakan antara hadis yang datang sebagai menyampaikan risalah dan yang tidak bersifat demikian. Dengan kata lain, antara sunnah yang bersifat tasyri’ dan bukan tasyri’. Hadis-hadis yang bersifat tasyri’ mempunyai keumuman dan berterusan, dan ada yang bersifat khusus dan sementara. Oleh itu kesilapan yang paling buruk dalam memahami hadis ialah mencampur aduk antara kedua-dua bahagian ini.[5]

Ketiga: mendapatkan kepastian bahawa nas itu selamat daripada pertentangan dengan dalil yang lebih kuat daripadanya, sama ada al-Quran, hadis-hadis lain yang lebih banyak, lebih sahih, lebih selaras dengan usul, lebih sesuai dengan hikmat perundangan, atau bertentangan denganMaqasid Syariah yang umum yang memberikan sifat qat`ie kerana ia tidak diambil daripada satu dua nas bahkan diambil daripada himpunan nas-nas dan hukum-hukum. Dengan itu ia memberi keyakinan dan penegasan tentang sabitnya.[6]

b. Kriteria:[7]

Pertama: Memahami sunnah dalam suluhan al-Quran[8]

Kedua: Menghimpunkan hadis-hadis pada satu tajuk[9]

Ketiga: Mengkompromikan dan menyelaraskan atau mentarjihkan antara hadis-hadis yang bercanggah[10]

Keempat: Memahami hadis dalam suluhan sebab-sebabnya, suasananya dan matlamat-matlamatnya[11]

Kelima: Membezakan di antara wasilah (pendekatan) yang berubah-ubah dan matlamat yang tetap bagi hadis[12]

Keenam: Membezakan antara pengukapan asal (hakikat) dan pengungkapan pinjaman (majaz) dalam memahami hadis[13]

Ketujuh: Membezakan di antara Ghaib dan Syahadah[14]

Kelapan: Memastikan tentang madlul atau pengertian lafaz-lafaz hadis[15]

3 – Peringkat fiqh al-hadis yang dibincangkan oleh Dr. Muhammad Ra’fat Sa’id

Dr. Muhammad Ra’fat Sa’id telah menggariskan beberapa qaedah yang dihimpunkan daripada beberapa sumber. Penulis akan menukilkannya dengan sedikit pindaan dan ringkasan. Kata Dr. Ra’fat: “Sesungguhnya pemahaman yang banyak terhadap hadis menghendaki himpunan asas-asas yang diperlukan oleh pengkaji sunnah untuk terhasilnya satu pemahaman yang sahih. Pengabaian terhadap salah satu asas ini menyebabkan terjadinya ketidaktetapan dalam pemahaman dan percanggahan antara nas-nas bukannya percanggahan pada nas-nas itu sendiri tetapi berpunca daripada kecuaian dalam memperolehi asas-asas di kalangan para pengkaji sunnah. Antara asas tersebut ialah:

a. Asas bahasa, ini merupakan asas yang pertama dalam memahami nas di samping mengambil kira perkara yang menyebabkan terjadinya keistimewaan pada bahasa Arab khususnya bahasa hadis Rasulullah s.a.w. yang kekuatannya berpunca daripada hidayat wahyu.

b. Memastikan kesahihannya nas:

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan bukanlah berada pada darjat yang sama dari segi sabit dan nisbahnya kepada Rasulullah s.a.w. oleh itu peringkat awal berinteraksi dengan sunnah ialah dengan memastikan kesahihannya dan mengaflikasikan neraca-neraca keritikan hadis terhadap nas-nas hadis, mengetahui setiap riwayat dan hukum yang di berikan kepadanya.

c. Menghimpunkan dan mengkompromikan antara hadis yang bercanggah atau memilih qaedah nasakh apabila tidak dapat mengkompromikannya. Atau menggunakan qaedah tarjih nas-nas. Ini dapat dilakukan dengan cara menghimpunkan riwayat-riwayat yang mempunyai tajuk yang sama atau hampir sama kemudian meletakkannya dalam tajuk yang berkaitan dengannya bukan secara takalluf ( tanpa memaksakan atau dengan cara yang mengada-ada) dan tidak pula mencuaikannya serta tanpa ada pertentangan dengan makna kandungan al-Quran, maqasid syariah kulli seperti menyelaraskan antara hadis-hadis yang memuji orang miskin dan mencela kekayaan atau memberi pendapat berdasarkan qaedah nasakh dalam masalah keizinan menziarahi kubur setelah terdapat larangan daripadanya atau mentarjihkan dengan berdasarkan kaedah-kaedah tarjih yang dimaklumi.[16]

Apa yang boleh diberi perhatian terhadap perbincangan Dr. Muhammad Ra’fat ialah beliau membataskan interaksi dengan hadis setakat kaedah-kaedah yang merujuk kepada memberi perhatian kepada aspek teori bagi hadis. Maksud penulis: aspek kafahaman hadis sahaja tanpa penguasaan terhadap pengamalan dan penerapan hadis secara sahih. Kerana beliau tidak menyatakan langkah metodologi yang membantu ke arah itu.

4 – Peringkat-peringkat yang diutarakan oleh Dr. Muhammad Abu al-Laith: Beliau telah menamakannya dalam kajiannya sebagai langkah-langkah yang diikuti oleh ulama hadis untuk menemukan semula hadis dalalm suluhan realiti semasa. Beliau berkata: “Pada pendapat penulis, (buat masa ini) secara kasar, menemukan semula sunnah dalam realiti semasa mempunyai tiga langkah utama.[17]

Langkah pertama: mengetahui realiti sunnah.[18]

Langkah kedua: mengetahui realiti semasa.[19]

Langkah ketiga: menerangkan salah satunya kepada yang lain.[20]

Tidak syak bahawa, langkah-langkah ini mendapat inspirasi daripada perbincangan Ibn al-Qayyim yang menghuraikan tentang peringkat-peringkat yang diakui dalam memahami nas-nas dan menempatkannya pada kedudukannya, Dr.Muhammad Abu al-Lais kemudiannya menyebutkan 5 perkara yang membantu kepada pemahaman sunnah :

1. Memahami sunnah dalam suluhan dimensi masa dan tempat.[21]

2. Memahami sunnah dalam suluhan dimensi maqasid syariah[22]

3. Memahami sunnah dalam suluhan dimensi tematik[23]

4. Memahami sunnah dalam suluhan dimensi sebab[24]

5. Memahami sunnah dalam suluhan dimensi pengertian bahasa, syarak dan adat setempat.”[25]

________________________________________

Nota kaki:
[1] Al-Dahlawi, Hujjah Allah al-Balighah, jil. 1, hal. 4.
[2] Seperti Kayf Nata’amal Ma’ al-Sunnah.
[3] Al-Qaradhawi, al-Madkhal Li Dirasah al-Sunnah al-Nabawiyyah, hal. 105-106.
[4] Ibid. hal. 105.
[5] Ibid. hal. 105.
[6] Ibid. hal. 106.
[7] Ibid. hal. 105. al-Qaradhawi membincangkan dengan panjang lebar dari hal. 121-222.
[8] Ibid. hal. 123-134..
[9] Ibid. hal. 135-146.
[10] Ibid. hal. 147-158.
[11] Ibid. hal. 159-174.
[12] Ibid. hal. 175-192.
[13] Ibid. hal. 193-212.
[14] Ibid. hal. 213-218.
[15] Ibid. hal. 219-222.
[16] Dr. Muhammad Ra’fat Sa’id, Asbab Wurud al-Hadith, hal. 93 dan 33.
[17] Al-Khairabadi, Dr. Muhammad Abu al-Laith, al-Manhaj al-‘Ilmi ‘Inda al-Muhaddithin Fi al-Ta’amul Ma’a Mutun al-Sunnah, dlm. Islamiyyah al-Ma’rifah, bil. 13. tahun: 4, 1419H/1998M, hal.31-35.
[18] Ibid. hal. 32-33.
[19] Ibid. hal. 32-33.
[20] Ibid. hal. 34-35.
[21] Ibid. hal. 35.
[22] Ibid. hal. 37.
[23] Ibid. hal. 39.
[24] Ibid. hal. 41.
[25] Ibid. hal. 43.

Check Also

Fiqh Imam Bukhari

  Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *