Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Muqaddimah / Memahami Hadis Nabi S.A.W
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Memahami Hadis Nabi S.A.W

Oleh MOHD. NORZI NASIR

 

PENGERTIAN sebenar dalam usaha memahami ajaran Islam sangat memerlukan kefahaman yang menyeluruh dan tepat terhadap al-Quran dan hadis.

Pengabaian fakta dengan mengambil pendekatan memotong sebahagian nas atau memutarbelitkan fakta sejarah dan tidak mengikut sebagaimana Rasulullah s.a.w, para sahabat r.a, tabiin serta para ulama memahami dan mengamalkan nas-nas tersebut hanya akan mengakibatkan wujudnya sikap pesimis dan ambivalen (berbelah-bagi) terhadap dua sumber utama ajaran Islam.

Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi mengatakan: “Pada zaman sekarang kita mendapati terdapat individu yang meragukan kesahihan hadis Rasulullah SAW sebagai sumber hukum.

“Bahkan ada yang mengajak kita untuk membuang seluruh warisan ilmu pengetahuan al-Quran ke dalam tong sampah dan kemudian mula membaca al-Quran daripada kosong dengan bacaan kontemporari yang tidak terikat oleh suatu ikatan apa pun, tidak berpegang pada ilmu sebelumnya, juga tidak dengan kaedah dan peraturan yang telah ditetapkan oleh ulama Islam semenjak berabad-abad silam.”

Ungkapan al-Qaradawi di atas menunjukkan meskipun hadis Nabi SAW dipegang dengan kuat sejak zaman berzaman, di samping proses pemeriksaan sanad dan matan hadis yang dilakukan oleh para ulama terdahulu dengan penuh berhati-hati, masih ada golongan yang mempertikai kehujahan hadis Rasulullah s.a.w.

Sebagai contoh, akibat kehilangan jati diri Muslim dan menjadi hamba produk pendidikan barat, Fatima Mernissi, feminis Muslim liberal dari Kota Fez Magribi nyata mempertikai dan mempersoalkan kesahihan hadis sabda Rasulullah s.a.w.

Dalam bukunya “Women and Islam: An Historical and Theological Enquiry”, Mernissi meragui kebenaran hadis di bawah. Katanya, hadis tersebut perlu diteliti semula bukan hanya dari sudut kebenaran dan kehujahannya tetapi juga identiti para sahabat yang meriwayatkan hadis, situasi yang melingkupi, tujuan periwayatan mahupun rantaian sanad perawinya.

Selain itu beberapa persoalan yang membimbangkan diajukan antaranya mengapa baginda s.a.w sanggup mengucapkan hadis yang berunsur misoginis (anti wanita) dan melukakan hati wanita? Benarkah ia sebuah hadis?

Sekiranya benar, dalam konteks apakah hadis tersebut diucapkan dan adakah boleh dipercayai perawi-perawi yang meriwayatkan hadis tersebut? (Mernissi: Women and Islam: 49)

Sumber Hadis

Al-Imam al-Bukhari telah mengeluarkan sebuah hadis dalam kitab sahihnya dengan sanad dan matan sebagaimana maksudnya: Adam menceritakan kepada kami, Syu’bah telah menceritakan dari Sulayman al-Taymi bahawa beliau berkata: Aku telah mendengar Abu Uthman al-Nahdi meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda, Aku tidak tinggalkan selepasku (sepeninggalanku) fitnah yang lebih mudarat ke atas kaum lelaki daripada wanita. (al-Bukhari, Muhammad ibn Ismail al-Ju’fi, Sahih al-Bukhari, Bab Ma Yuttaqa min Shu’m al-Mar’ah wa Qawluhu Ta’ala: Inna min Azwajikum wa Awladikum Aduwwan Lakum, hadis 4808, jil. 5, hlm. 1959).

Analisa Rantaian Periwayatan Hadis (Sanad al-Hadis)

Berpandukan rantaian sanad, para perawi hadis di atas iaitu Adam, Shu’bah, Sulaiman al-Taimi, Abu Uthman al-Nahdi, Usamah ibn Zaid adalah di kalangan para perawi yang thiqah (dipercayai). Dari sudut penentuan kualiti sanad, rantaian periwayatan di atas dihukum sebagai sahih.

Analisa Teks Hadis (Matn al-Hadith) dan Pemahamannya

Menurut Ibn Hajar, Taqiyuddin al-Subki mengatakan, maksud hadis ini seiring dengan hadis Ibn Umar dan Sahl ibn Sa’d tentang wanita sebagai sumber kesulitan atas sebab-sebab tertentu (kesulitan atau kesialan yang menyebabkan permusuhan dan fitnah). (Fath al-Bari:138)

Al-Imam al-Bukhari menyebut dalam kitab sahih beliau, Ibn Umar telah berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya sumber ketidakberuntungan itu disebabkan tiga hal iaitu kuda, wanita dan rumah. (Sahih al-Bukhari)

Pernyataan baginda s.a.w adalah jika wujud ketidakberuntungan maka kebarangkaliannya adalah disebabkan wanita, tunggangan dan rumah.

Justeru tidak ada sudut atau ruang untuk memahami bahawa ketiga-tiga hal di atas sebagai penyebab utama ketidakberuntungan secara mutlak.

Wanita Bukan Sumber Fitnah Terhadap Lelaki

Menurut al-Qaradawi, golongan yang merendahkan wanita sering memahami hadis (fitnah) di atas dengan sebuah pemahaman yang salah. Mereka memahami kata fitnah tersebut dengan beranggapan kaum wanita itu amat hina dan merupakan azab, ancaman, musibah yang ditimpa kepada manusia seumpama ditimpa musibah, penyakit, kelaparan dan ketakutan.

Mereka alpa kepada satu perkara penting bahawa manusia diuji dengan kenikmatan yang banyak berbanding diuji dengan musibah.

Sesungguhnya wanita itu menjadi fitnah tatkala mereka menjadi alat untuk membangkitkan syahwat serta menyalakan api keinginan dalam perasaan kaum lelaki.

Hal ini merupakan bahaya yang sangat besar dan dikhuatiri dapat menghancurkan akhlak, mengotori harga diri, mengundang permasalahan rumahtangga serta lumpuhnya sebuah tamadun dan jatuhnya integriti sesebuah komuniti. (al-Qaradawi: Fatawa Mu’asirah)

Oleh itu, isi kandungan dari pesanan Rasulullah s.a.w melalui hadis ini tidak bererti kaum wanita itu dianggap fitnah dan ralat dalam semua perkara. Yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w ialah wanita sememangnya mempunyai pengaruh yang dominan terhadap lelaki yang amat dikhuatiri akan mengakibatkan kaum lelaki lalai dari mengingati Allah s.w.t dan mendapat balasan buruk di akhirat.

Sesungguhnya dalam persiapan seorang lelaki melayari alam rumahtangga Rasullullah s.a.w memberi panduan agar kehidupan yang bakal dilalui membawa kebahagiaan kepadanya di dunia dan di akhirat.

Abu Hurairah meriwayatkan dari Rasulullah, bahawasanya baginda bersabda: Seseorang wanita dinikahi atas empat perkara kerana hartanya, nasabnya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah agamanya kerana ia akan menjaga dirimu. (Sahih al-Bukhari, kitab al-nikah, bab al-ikfa’ fi al-din, hadis 4802, 5:1958).

Dalam kebanyakan persoalan yang berkaitan hubungan antara kaum lelaki dan kaum wanita sama ada ia mencakupi bidang ibadah atau aspek sosial yang melibatkan pertemuan di antara mereka, para ulama selalu menjadikan hazar dengan tujuan agar tidak berlaku atau tidak timbul sebarang fitnah iaitu sebarang suasana yang boleh mengganggu atau menggoda hati, perasaan dan fikiran kaum lelaki.

Contoh, urusan saf dalam solat berjemaah. Kedudukan wanita dan lelaki hendaklah terpisah dan wanita hendaklah di belakang saf kaum lelaki.

Kaum wanita tidak wajib solat Jumaat, dilarang menyampaikan khutbah Jumaat atau mengalunkan azan dengan suara yang dapat didengari oleh pendengaran kaum lelaki dan sebagainya. Bahkan mereka dianjurkan solat di rumah berbanding di masjid.

Hadis di atas merupakan salah satu pendapat atau pandangan para fuqaha yang berpendapat sedemikian. Hal ini disebabkan wujudnya faktor kekhuatiran yang akan mengakibatkan fitnah.

Meskipun terdapat mekanisme atau dalam situasi atau ruang tertentu dan dapat dipastikan bahawa kebarangkalian wujudnya fitnah tidak berlaku para ulama fiqh tetap menegah dan menafikan pengimaman seorang wanita.

Perkara-perkara yang bersangkutan dengan ubudiyyah hendaklah diterima sebagaimana ia diperintahkan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta garis panduan agama Islam.

Ia bukan merupakan suatu perkara yang sesuai untuk dijawab dengan berasaskan rasional akal secara logik semata-mata apatah lagi menyesuaikannya dengan konteks sosial dan arus pemodenan.

Hadis di atas tidak seharusnya difahami secara tekstual atau makna zahir seolah-olah mendiskriminasikan wanita. Wanita bukan penyebab utama kejahatan atau kerugian yang selama-lamanya buat kaum lelaki.

Sejumlah srikandi Islam terulung seperti Ummahat al-Mukminin telah terbukti berjaya memberi sumbangan besar kepada kebangkitan agama Islam.

Hindari Sikap Pesimis Terhadap Hadis Rasulullah

Kesimpulannya, kajian yang mendalam terhadap hal ehwal perawi memerlukan pemikiran dan juga pemahaman yang konsisten mengenai riwayat hadis secara langsung berkaitan dengan suatu topik yang dibincangkan.

Semua itu mendorong setiap pengkaji untuk melakukan kajian yang menyeluruh dan tidak mengenepikan sesuatu mengikut selera hati dan emosi.

Mernissi mengkaji hadis-hadis bukan berobjektif mencari sebuah pencerahan atau kebenaran ajaran yang terkandung dalam untaian wahyu baginda. Sebaliknya cuba mencari ruang dan membuktikan hipotesis palsu beliau agar apa sahaja yang dikatakan hadis tiada kaitan dengan Rasulullah s.a.w.

Hadis Rasulullah s.a.w merupakan satu untaian wahyu dan sabdaNya jawami’ al-kalim tidak pernah akan menimbulkan kontroversi dan kekeliruan. Agama Islam amat memuliakan wanita tidak seperti umat-umat dan tamadun-tamadun terdahulu.

Justeru, mustahil ia berisi ajaran yang menghina dan merendahkan kaum wanita. Para sahabat Rasullullah s.a.w telah terbukti keadilan mereka dan keadilan mereka telah diperakui oleh Allah dan Rasul-Nya. Wallahu A’laam.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Check Also

Fiqh Imam Bukhari

  Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *