Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Muqaddimah / Hadis: Dalam Konteks Pemahaman Dan Pengamalan
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Hadis: Dalam Konteks Pemahaman Dan Pengamalan

Hadis: Dalam Konteks Pemahaman Dan Pengamalan[1]

Zuhair bin Ahmanah Abdul Salam.[2]

 

MUQADDIMAH

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kitab-Nya sebagai hidayat dan nur kepada manusia untuk menjaga mereka daripada kesesatan dan penyelewengan yang membinasakan dan menjadikannya mu’jizat kepada Rasulullah s.a.w. iaitu mu’jizat yang kekal sehingga hari Qiamat kemudiannya Allah s.w.t. mengurniakan kepada baginda al-Sunnah sebagai penerang dan penjelas al-Quran sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Quran:

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Serta Kami pula turunkan kepadamu al-Qur`an yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.. (al-Nahl: 44)

وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Nahl: 64)

Sejak dahulu lagi umat Islam telah memberi perhatian kepada hadis Rasulullah s.a.w. dan mereka telah mencurahkan usaha yang paling besar untuknya, dengan itu ia memperolehi perlindungan dan penjagaan yang tidak pernah diperolehi oleh ucapan mana-mana Nabi dan manusia biasa. Hadis itu, di samping merupakan sumber kedua bagi perundangan, ia juga merupakah beberapa peringkat pelaksanaan amali bagi al-Quran dalam realiti semasa dan setempat bagi Rasulullah s.a.w. Begitu juga hadis merupakan peringkat pernyataan secara amali bagi sistem Allah s.w.t. di muka bumi dalam bentuk yang paling luhur dan agong bagi sistem-Nya.

Ini kerana, al-Quran memimpin gerakan pelaksanaan dan pernyataan alam realiti untuk menjadikannya pernyataan yang paling sempurna tentang manhaj Allah s.w.t. supaya manusia sentiasa dan selama-lamanya merujuk kepadanya.

Berdasarkan kepada hakikat ini, sunnah diakui sebagai manhaj dan panduan yang sejahtera untuk memahami al-Quran. Bahkan dari sudut yang lebih luas ia merupakan gambaran dan pernyataan yang ideal bagi al-Quran. Di sini timbul satu persoalan yang amat penting, bagaimana mungkin dapat kita mengambil faedah daripada pengalaman Nabi s.a.w. yang bersifat rabbani lagi ideal? Sama ada pada peringkat pemahaman dan fiqh atau pada peringkat pengamalan dan pelaksanaan.

Inilah yang kami cuba jawab dalam siri perbincangan ini sebagai pembukaan ia akan menyentuh tajuk Fiqh al-Hadis: Skop Dan Pengkaedahan. Kemudian dalam siri perbincangan berikut tentang Pengamalan Hadis, Skop Dan Pengkaedahan.

Pada hakikatnya, pemahaman hadis diakui sebagai matlamat asas sejak dahulu lagi. Para ulama telah mencurahkan sehabis daya usaha. Mereka mempunyai aliran masing-masing dalam menggariskan kaedah-kaedah, kriteria-kriteria dan prinsip-prinsip bagi membolehkan pemahaman hadis telah berkembang menjadi bercabang-cabang. Kemudian usaha-usaha ini menjadi masyhur terutamanya usaha Imam al-Bukhari melalui Tarjamatul Bab (tajuk-tajuk bab) dalam Sahih al-Bukhari dan itulah yang telah membentuk manhaj yang lengkap dalam berinteraksi dengan sunnah kemudian diikuti oleh kitab syarah hadis keseluruhannya.

Penulis mendapat tahu bahawa Ibn Hazm menulis kitab yang membincangkan Fiqh al-Hadis melalui tulisan Ibn al-Qayyim yang menyebutkan tentang beliau. Kata Ibn al-Qayyim: “Ibn Hazm adalah seorang yang menguasai pelbagai cabang ilmu, mempunyai sifat wara’, beragama, zuhud dan sentiasa benar. Bapanya adalah seorang menteri yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan beliau mempunyai karangan-karangan yang agong terutamanya kitab-kitab hadis dan fiqh, beliau telah mengarang satu kitab yang tentang fiqh al-Hadis yang dinamakannya sebagai:

الإيصال إلى فهم كتاب الخصال الجامعة الجمل شرائع الإسلام والحلال والحرام

(Menyampaikan kepada Pemahaman Kitab Perkara-perkara Syariat Islam, Halal dan Haram)[3]

Demikianlah semua ulama berusaha untuk memahami hadis maka dengan sebab itu, terdapat pelbagai aliran, manhaj dan alat-alat metodologi untuk tujuan tersebut.

Dengan kajian ini penulis mensasarkan untuk merealisasikan matlamat-matlamat berikut:

1. Menentukan konsep Fiqh al-Hadis.

2. Menjelaskan kepentingan Fiqh al-Hadis

3. Menjelaskan peringkat (perkembangan) dan alat-alat metodologi dalam Fiqh al-Hadis.

Untuk itu, kita mesti menjawab beberapa persoalan berikut: Apa yang dimaksudkan Fiqh al-Hadis, peringkat-peringkatnya dan peralatannya?

Penulis mengharapkan agar Allah s.w.t. menerima usaha ini dan menjadikannya pada neraca kebaikan penulis pada hari harta dan anak pinak tidak dapat memberi manfaat. Sekiranya penulis betul maka itu daripada Allah sahaja, jika penulis tersilap itu daripada diriku dan syaitan. Dan saya memohon keampunan daripada Allah akan kesilapan yang tidak disengajakan.

Pemahaman Hadis: Konsep Dan Kepentingan

Pertama: Konsep Fiqh al-Hadis

Fiqh al-Hadis adalah مركب إضافي gabungan dua kata nama iaitu al-Fiqh dan al-Hadis. Oleh kerana istilah hadis telah banyak dibincangkan dalam semua kitab ‘Ulum al-Hadis, maka penulis tidak akan menjelaskannya kerana memadai dengan huraian istilah fiqh sahaja.[4] Setelah itu penulis akan merumuskan definisi fiqh al-hadis.

1- Konsep Fiqh Dan Kandungannya

1- Fiqh pada bahasa sebagaimana yang disebutkan dalam Lisan al-‘Arab ialah mengetahui sesuatu dan memahaminya.[5] Ibn al-Qayyim berkata: al-Fiqh itu lebih umum khusus daripada al-Fahm kerana fiqh ialah memahami maksud kata-kata orang yang bercakap.[6]Al-Raghib al-Isfahani pula mentakrifkan dengan mengatakan, al-Fiqh ialah sampai kepada ilmu ghaib dengan ilmu syahid, dan fiqh itu lebih khusus daripada ilmu.[7]

2- Fiqh dalam istilah pula: Di zaman awal Islam, fiqh dimaksudkan kepada seluruh hukum agama dan itu sebelum ilmu-ilmu terpisah antara satu sama lain. Apabila munculnya fenomena pengkhususan, fiqh menjadi satu istilah ilmiah yang dinamakan kepada hukum syarak amali yang berkaitan dengan ibadat, muamalat sahaja tidak termasuk aqidah dan kerohanian.[8] Fiqh kemudian diungkapkan bagi menunjukkan kepada pengetahuan hukum syara’ yang praktikal yang diperolehi daripada dalil-dalilnya yang terperinci.[9]

Kedua : Fiqh Al-Hadis Dari Sudut Istilah

Daripada penjelasan dan analisis tadi, jelaslah bahawa fiqh al-Hadis ialah pemahaman yang mendalam terhadap Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dengan melihat kepada tabiat tindak tanduk Rasulullah s.a.w. dan keadaan orang yang menerimanya dari segi konteks masa dan lingkungan tempat.

Huraian Ta’rif:

Maksud pemahaman yang mendalam ialah mengawal daripada terburu-buru ketika melihat nas hadis Rasulullah s.a.w.dengan sebab mengabaikan syarat-syarat renungan yang diakui oleh ulama terutamanya ulama Usul al-Fiqh dan Maqasid al-Syari’ah.

Maksud dengan melihat kepada sifat tindak tanduk Rasulullah s.a.w. ialah dalam tindak tanduknya, Rasulullah s.a.w. tidak hanya dalam tabiat dan sifat yang sama, bahkan beliau bertindak sebagai mubaligh, penyampai risalah Islam atau tidak. Ini bererti baginda mempunyai beberapa kedudukan yang berbeza, sama ada bertindak berdasarkan sifat manusia biasa atau sebagai ketua negara atau mufti atau qadhi. Ringkasnya dapat disimpulkan sebagaimana berikut:-

1- Bertindak sebagai mubaligh (penyampai risalah).

2- Bertindak bukan dengan sifat mubaligh, di sini ada beberapa keadaan:

a) Bertindak sebagai Imam, ketua negara.

b) Bertindak dengan sifat manusia biasa, (jibillah/secara semula jadi).

c) Bertindak sebagai mufti.

d) Bertindak sebagai qadhi.

Maksud ungkapan keadaan orang yang menerimanya menurut konteks masa dan lingkungan tempat ialah mengaitkan kefahaman dengan melihat kepada keadaan orang yang menerima dalam konteks masa dan tempat iaitu dari segi:

1. Melihat kepada kedudukan orang yang menerima (hadis) dalam Islam. Adakah dia seorang baru memeluk Islam atau dari kalangan mereka yang telah lama memeluk Islam, sehingga Allah s.w.t. membezakan antara mereka yang memeluk Islam sebelum pembukaan kota Mekah dan selepasnya,

Allah s.w.t. berfirman:

لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu kerjakan. (al-Hadid: 10)

Allah s.w.t. berfirman :

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. (al-Fath: 18)

Rasulullah s.a.w. bersabda tentang kelebihan generasi pertama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Umar bin Maimun katanya:

قَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعُمَرَ حِينَ قَالَ ائْذَنْ لِي فَلْأَضْرِبْ عُنُقَهُ قَالَ أَوَكُنْتَ فَاعِلًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ قَدْ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada ‘Umar ketika beliau berkata izinkan saya memanggal kepalanya. Baginda menjawab: “Adakah kamu berbuat demikian? Tahukah kamu, boleh jadi, Allah telah memaafkan ahli Badar.” Baginda bersabda lagi: “Buatlah apa yang kamu mahu.”[10]

2. Mengambil kira situasi masa dan tempat yang terbit padanya kata-kata atau perbuatan Rasulullah s.a.w. kerana tidak dapat dibayangkan terbitnya sesuatu daripada Rasulullah s.a.w. tanpa muqaddimah dan sebab yang terdahulu selain dari yang sememangnya disyariatkan daripada awal lagi. Walaupun pandangan ini boleh dipertikaikan kerana bertentangan hadis Rasulullah s.a.w. sendiri yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ فِي الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرَّمْ عَلَى الْمُسْلِمِينَ فَحُرِّمَ عَلَيْهِمْ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ

Daripada al-Zuhri daripada ‘Amir bin Sa’ad daripada bapanya katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kesalahan terbesar yang dilakukan oleh seorang Islam kepada orang-orang Islam ialah orang yang bertanya tentang suatu perkara yang tidak diharamkan kepda mereka, lalu ia diharamkan kerana pertanyaannya.”[11]

Tetapi apa yang menjadi perhatian ialah orang yang bertanya itu hampir menjadi sebab kepada difardukan sesuatu perkara.

Kepentingan Fiqh Al-Hadis Dan Kaedah-Kaedahnya Di Sisi Sebahagian Ulama’

Pertama: Kepentingan Fiqh al-Hadis

Pemahaman terhadap nas-nas hadis diakui sebagai peringkat pertama dalam interaksi yang sahih dengannya. Hadis merupakan sumber yang kedua bagi hukum-hukum syarak, sumber bagi memahami perbuatan yang mempunyai kaitan dengan hukum dan sumber kepada cara yang diakui dalam menerapkan kefahaman ini pada tempatnya.

Sebagaimana yang diketahui, ijtihad dalam memahami nas bergantung kepada interaksi akal dengan nas-nas –dengan cara pengumpulan, kajian dan analisis- bagi mengetahui maksud dan kehendak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, menyelidikinya untuk kesahihannya dan menyimpulkan hukum-hukum daripada nas-nas untuk dipraktikkan dalam situasi-situasi yang berbeza. Ini bersandarkan kepada asas-asas yang kesemuanya itu merujuk kepada ciri-ciri keistimewaan wahyu. Ibn al-Qayyim berkata: “Kefahaman yang sahih dan matlamat yang baik merupakan sebesar-besar nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Bahkan tidak ada pemberian selepas nikmat Islam yang lebih utama dan lebih mulia daripadanya dan kedua-dua perkara ini merupakan sendi Islam dan di atasnya Islam tertegak. Dengan kedua perkara ini, seorang hamba terselamat daripada mengikut jalan orang-orang yang dimurkai Allah s.w.t. yang rosak niat mereka dan jejak langkah golongan sesat yang punah fahaman mereka. Maka dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat nikmat daripada Allah s.w.t. yang mempunyai kefahaman dan niat yang baik. Merekalah ahli jalan lurus yang Allah s.w.t. menyuruh kita meminta supaya diberi hidayat dan ditunjukkan jalan mereka dalam setiap sembahyang. Kefahaman yang sahih adalah nur yang dicampakkan Allah s.w.t. dalam hati hamba. Dengannya, seorang hamba dapat membezakan antara sahih dan fasid, hak dan batil, petunjuk dan kesesatan. Ia menolongnya memperolehi niat yang baik, mencari-cari kebenaran dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dalam keadaan terang dan tersembunyi serta memutuskan dirinya daripada mengikuti hawa nafsu, mengutamakan dunia, mencari pujian makhluk dan meninggalkan ketakwaan.[12]

Kedua : Kaedah-Kaedah Sebahagian Ulama’ Dalam Memahami Hadis.

Ijtihad dalam memahami hadis tidak bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum perbuatan tertentu yang berlaku, tetapi bertujuan untuk menyimpulkan hukum-hukum umum dan mutlak bagi jenis-jenis perbuatan. Ini berdasarkan kaedah-kaedah deduksi hukum yang diakui antaranya:

1. Menjaga kaedah bahasa Arab dalam pengungkapan kerana hadis datang dengan bahasa Arab yang jelas. Para ulama’ usul fiqh telah meletakkan beberapa kaedah bahasa Arab bagi menentukan perkara ini.

2. Mengambil faedah daripada konteks sejarah bagi peristiwa yang mengiringi kepada sebab kedatangan hadis. Begitu juga situasi psikologi, sosial dan pemikiran serta semua realiti Arab yang melingkungi ummat Islam pada ketika itu.

3. Mengambil kira kesepaduan dalam khithab (wacana) Nabi s.a.w. Ini kerana hadis-hadis Nabi s.a.w. datang mengikut situasi dan kesesuaian yang berbeza yang dialami oleh Nabi s.a.w. Hadis-hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis, pada kebiasaannya tidak tersusun kesemuanya pada satu tempat sahaja. Bahkan khithab Rasulullah s.a.w. meliputi satu masalah yang sama tetapi dalam banyak tempat dengan konteks yang berbeza-beza. Oleh itu, sebab kedatangan hadis dalam sesuatu peristiwa tertentu tidak dapat difahami kecuali dengan mengaitkan antara sanad-sanad hadis dan berinteraksi dengannya sebagai satu keseluruhan yang bersepadu.

4. Memahami hadis selaras dengan makna-makna yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. daripada hadis yang dinyatakan baginda dengan lafaz yang mengandungi hukum tertentu, fatwa atau keputusan kehakiman atau sebagai menyampaikan syariat. Ini dengan menguasai pengetahuan tentang sebab-sebab kedatangan hadis dan bergantung kepada kaedah-kaedah Maqasid Syariah.

5. Mengambil faedah daripada penemuan sains pada zaman moden yang terdiri daripada ilmu-ilmu yang yakini, hukum-hukum alam, sunnatullah, psikologi dan sosiologi bagi memahami hadis. Ada pun pengetahuan yang bersifat zanni (spekulatif), itu hanya boleh dijadikan sokongan luar dalam mentarjihkan pelbagai andaian yang timbul tetapi bukan sebagai sandaran dan pegangan.

Artikel ini diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya

________________________________________

Nota Kaki:
1) Disiarkan secara bersiri dalam laman web http://chihab.net dengan tajuk al-Hadith: Fahman Wa Tanzilan.
2) Pensyarah Universiti Muhammad, Algeria.
3) Ibn al-Qayyim, al-Kafiyah al-Syafiyah, jil. 1, hal 320
4) Untuk makna hadis dari segi bahasa silalah rujuk: Ibn Faris, Mu’jam Maqayis al-Lughah, jil. 2, hal. 36, al-Zabidi, Taj al-‘Arus, jil. 1, hal. 612, Ibn al-Jauzi, Nuzhah al-A’yun al-Nawazir Fi ‘Ulm al-Wujuh Wa al-Naza`ir, hal. 249. Tentang makna istilah, ulama berbeza dalam mentakrifkannya ada yang secara halus dan ada yang tidak. Sila rujuk: Ibn Hajar, Syarh Nukhbah, hal. 3-4, al-Tanhwi,Qawa’id Fi ‘Ulum al-Hadith, 24-26, ‘Itr, Nuruddin, Manhaj al-Naqd Fi ‘Ulum al-Hadith, hal. 27.
5) Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, jil. 4, hal. 1119.
6) Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in, Dar al-Jil, Beirut, jil. 2, hal. 264.
7) Al-Raghib al-Isfahani, Mu’jam Mufradat Alfaz al-Qur`an, hal. 430.
8) Al-Duraini, Usul al-Tasyri’ al-Islami Wa Manahij al-Ijtihad Bi al-Ra`y, hal. 9.
9) Mustafa Sa’id al-Khin, Dirasah Tarikhiyyah Lil al-Fiqh Wa Usuluh, hal. 10.
10) Ahmad, al-Musnad, jil. 1, hal. 331.

11) Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Fadha`il.

12) Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in, jil. 1, hal. 87.

Check Also

Fiqh Imam Bukhari

  Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *