Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / TABI`IN: GENERASI HADIS YANG KEDUA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

TABI`IN: GENERASI HADIS YANG KEDUA

Generasi utama selepas para sahabat ialah para tabi’in. Definisi tabi’in ialah orang yang mendampingi sahabat Rasulullah s.a.w. dalam keadaan beriman dan mati sebagai seorang muslim. Mereka mempunyai kedudukan yang utama kerana merekalah generasi kedua yang mewarisi ilmu hadis dan mendapat didikan daripada generasi yang telah di didik oleh Rasulullah s.a.w.

Faedah Mengetahui

Pengetahuan tentang tabi’in amat penting bagi pelajar hadis. Sesiapa yang mengabaikannya tidak dapat membezakan antara sahabat dan tabi’in seterusnya antara tabi’in dan tabi’ tabi’in. Dengan pengetahuan tentang generasi tabi’in, dia akan membezakan antara riwayat yang mursal dan musnad. Secara kaedahnya, jika perawi terakhir dalam sanad sebelum Rasulullah s.a.w. adalah sahabat tentunya riwayat itu musnad dengan erti bersambung dengan baginda. Sebaliknya jika perawi seorang tabi’in maka riwayat tersebut adalah mursal dengan erti gugurnya seorang penghubung antara tabi’in tersebut dengan Rasulullah s.a.w. kerana beliau tidak sempat bertemu dengan baginda.

Keutamaan Tabi’in

Allah s.w.t. berfirman:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (Surah al-Tawbah: 100)

Ayat ini secara asasnya menunjukkan keutamaan para sahabat yang menerima ajaran Rasulullah s.a.w. yang mendampingi baginda. Para pengikut sahabat juga turut memperolehi kelebihan ini kerana mereka juga mengikuti jejak langkah sahabat.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ مِنْ بَعْدِهِمْ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَتُهُمْ أَيْمَانَهُمْ وَأَيْمَانُهُمْ شَهَادَتَهُمْ

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sebaik-baik manusia ialah kurunku kemudian yang mengiringi mereka kemudian yang mengiringi mereka kemudian selepas mereka akan datang kumpulan yang persaksian mereka itu mendahului sumpah mereka dan sumpah mereka mendahului persaksian mereka. (al-Bukhari)

Hadis menunjukkan bahawa kumpulan pertama yang mengikuti sahabat dengan beriman kepada Allah s.w.t. tentu sekali ialah tabi’in dan mereka merupakan golongan umat ini yang terbaik selepas sahabat.

Jelas daripada dalil-dalil di atas bahawa generasi yang paling utama selepas sahabat ialah para tabi’in yang mengambil ilmu secara langsung dari mulut sahabat dan daripada mereka agama dan hadis-hadis terjaga.

Diriwayatkan daripada Jabir katanya beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَا تَمَسُّ النَّارُ مُسْلِمًا رَآنِي أَوْ رَأَى مَنْ رَآنِي

Api tidak akan menyentuh orang Islam yang melihatku atau melihat orang yang melihatku. (al-Tirmzi)

Al-Mubarakpuri menukilkan bahawa zahir hadis menunjukkan bahawa berita gembira ini khusus kepada sahabat dan tabi’in. [1]

Tabaqat Tabi`in

Sebagaimana sahabat mempunyai beberapa tabaqat atau kelas, tabi’in juga dapat dibahagikan kepada beberapa kelas berdasarkan kepada keutamaan mereka.

Al-Hakim telah mengelaskan generasi Tabi`in kepada 15 kelas dan beliau hanya menyebutkan tiga sahaja.

Pertama, orang yang sempat dengan sepuluh sahabat yang dijamin syurga, antara mereka ialah Qais bin Abi Hazim, Sa’id bin al-Musayyab. Abu ‘Uthman al-Nahdi, Qais bin ‘Ubad, Abu Sasan Hudhain bin al-Munzir, Abu Wa`il Syafiq bin Salamah dan Abu Raja` al-‘Utari.

Tabaqat kedua, al-Aswad bin Yazid, ‘Alqamah bin Qais, Masruq al-Ajda’, Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman dan Kharijah bin Zaid.

Tabaqat ketiga, ‘Amir bin Syarahil al-Sya’bi, ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, Syuraih bin al-Harith.

Klasifikasi tabaqat Tabi’in yang masyhur dalam kitab-kitab hadis ialah, tabaqat Kibar Tabi’in, Mutawassit Tabi’in dan Sighar Tabi’in.

Kibar Tabi’in

Tabaqat Kibar Tabi’in ialah mereka yang meriwayatkan hadis daripada Kibar Sahabat. Hadis mereka itu seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muta`khiri Sahabat iaitu sahabat yang lewat bertemu Rasulullah s.a.w.

Mutawassit Tabi’in

Mutawassit Tabi’in ialah mereka yang sempat dengan imam-imam dan meriwayatkan hadis daripada sahabat dan tabi’in.

Sighar Tabi’in

Sighar Tabi’in ialah mereka yang berusia lebih muda daripada Sighar Sahabat yang lewat meninggal dunia. Sighar Sahabat merupakan sahabat yang muda di zaman Rasulullah s.a.w. Dalam usia yang muda, Sighar tabi’in sempat dengan Sighar Sahabat ketika mereka sudah lanjut usia. [2]

Selain itu, termasuk dalam kalangan tabi’in, golongan yang dipanggil mukhadhramin iaitu orang yang berada di zaman jahiliah, sezaman dengan Rasulullah s.a.w., memeluk Islam tetapi tidak berkesempatan melihat baginda. Mengikut pendapat yang sahih, mukhadhram termasuk dalam kategori tabi’in. Bilangan mereka lebih kurang 20 orang sebagaimana yang dihitung oleh Imam Muslim. Tetapi mengikut pendapat yang sahih bilangan mereka itu lebih daripada itu. Antara mereka ialah Abu ‘Uthman al-Nahdi dan al-Aswad bin Yazid al-Nakha’i.

Tujuh Fuqaha` di Madinah

Di antara tokoh-tokoh utama tabi’in ialah tujuh orang fuqha`. Mereka semuanya adalah ulama` besar dari kalangan penduduk Madinah. Mereka ialah Sa’id bin al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad, ‘Urwah bin al-Zubair, Kharijah bin Zaid, Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman, ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah dan Sulaiman bin Yasar. Ibn Mubarak menyebutkan Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar pada tempat Abu Salamah. Abu Zinad pula mengatakan Abu Bakar bin ‘Abdullah pada tempat Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar dan Abu Salamah.

Manakala tokoh-tokoh tabi’in di Makkah ialah Mujahid bin Jabr, ‘Ikrimah mawla Ibn ‘Abbas, ‘Ata` bin Abi Rabah

Tokoh-tokoh tabi’in di Kufah ialah Masruq bin al-Ajda’ al-Hamdani, ‘Ubaidah bin ‘Amr al-Salmani, al-Aswad bin Yazid al-Nakha’i, Syuraih bin al-Harith al-Kindi, Ibrahim bin Yazid al-Nakha’i, Sa’id bin Jubayr, ‘Amir bin Syarahil al-Sya’bi.

Sementara di Basrah, tokoh-tokoh tabi’in yang terkenal ialah Rafi’ bin Mihran al-Rayahi, al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin, Jabir bin Zaid (sahabat Ibn ‘Abbas), Qatadah bin Di’amah al-Dawsi, Mutarrif bin ‘Abdullah, Abu Burdah bin Abi Musa,

Di Syam pula Abu Idris al-Khaulani, Qabisah bin Zu`iab, Makhul bin Abi Muslim, Raja` bin Hayhah al-Kindi,

Di Mesir pula Abu al-Khayr Martsad bin Abdullah, Yazid bin Abi Habib,


Kesungguhan Para Tabi’in Dalam Mencari Hadis

Ma’n berkata, saya mendengar Malik berkata bahawa Sa’id Ibn al-Musayyab berkata: “Saya berjalan selama beberapa hari dan malam untuk mencari satu hadis.[3]

Mubarak bin Fudhalah meriwayatkan daripada Hisyam daripada ayahnya, ‘Urwah bin al-Zubair sering berkata kepada kepada kami ketika kami masih remaja, mengapa kamu tidak belajar, kalaupun kamu masih lagi kecil, tidak lama lagi kamu akan menjadi pembesar kaum. Tidak ada gunanya orang tua menjadi tua dalam keadaan dia jahil. Saya masih lagi ingat empat tahun sebelum ‘Aishah meninggal dunia, saya berkata kalau beliau meninggal dunia hari ini saya tidak menyesal kerana tidak ada satupun hadis yang ada padanya melainkan saya telah pun menghafaznya. Kalau saya mendapat tahu satu hadis ada pada seorang sahabat pasti saya akan pergi mendapatkannya lalu mendapatinya memang beliau mengucapkannya. Maka saya akan duduk di pintu rumahnya dan bertanya tentangnya (hadis itu).

‘Ikrimah berkata: Ibn ‘Abbas mengikat kaki saya dengan rantai untuk mengajarkan al-Qur`an dan sunnah-sunnah. [5]

‘Abdul Rahman bin Hassan berkata, saya mendengar ‘Ikrimah berkata: “Saya mencari ilmu selama 40 tahun dan saya sering memberi fatwa di pintu sedangkan Ibn ‘Abbas berada di dalam rumah.”

Ibn Juraij berkata: “Masjid menjadi hamparan tidur bagi ‘Ata` selama dua puluh tahun.”

Al-Hafiz al-Ramahurmuzi menyebutkan dalam kitabnya, al-Muhaddith al-Fasil daripada al-Sya’bi bahawa beliau keluar dari Kufah menuju ke Mekah kerana tiga hadis yang disebutkan kepadanya dan berkata, semoga saya menemui lelaki yang menemui Rasulullah s.a.w. atau orang yang menemui sahabat baginda.

Al-Sya’bi ditanya, bagaimana tuan mendapat semua ilmu ini. Beliau menjawab: “Dengan menafikan pergantungan kepada orang lain, mengembara di negeri, sabar seperti keldai dan keluar pagi seperti burung gagak.”[6]

Tabi’in dan al-Jarh Wa al-Ta’dil

Tabi’in mempunyai keistimewaan kerana mereka sempat berguru dengan sahabat yang merupakan hasil keluaran sekolah nabawi. Tabaqat Kibar Tabi’in tergolong dalam kelas orang-orang yang adil lagi amanah. Mereka mempunyai sifat amanah, thiqah dan hafazan yang kuat dan ketelitian dalam periwayatan hadis. Sejak berlaku fitnah pembunuhan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan, sahabat dan para tabi’in lebih teliti dan berwaspada dalam mengambil riwayat daripada mana-mana perawi.

Walaupun sebelum ini mereka amat terbuka dalam mengambil riwayat tanpa teragak-agak. Hal ini disebabkan latar belakang mereka yang datang dalam dunia Islam setelah pembunuhan Saiyidina ‘Uthman amat berbeza. Tambahan pula pelbagai fahaman dan bid’ah mula berleluasa. Hal ini mendorong mereka bersungguh-sungguh menyelidiki setiap peribadi yang menukilkan hadis.

عَنْ ابْنِ سِيرِينَ قَالَ لَمْ يَكُونُوا يَسْأَلُونَ عَنْ الْإِسْنَادِ فَلَمَّا وَقَعَتْ الْفِتْنَةُ قَالُوا سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ

Daripada Ibn Sirin katanya: Mereka dahulu tidak bertanya tentang Isnad. Apabila berlaku fitnah, mereka berkata: Sebutkan nama perawi-perawi kamu. Maka dilihat kepada ahli sunnah lalu diambil hadis mereka dan dilihat kepada ahli bid’ah, tidak diambil hadisnya.[7]

Imam al-Zuhri selalu berkata: “Kemukakan sanad bagi hadis engkau.” [8]

Hal ini berbeza dengan Mutawassit Tabi’in dan Sighar Tabi’in. Mereka ini tidak terlepas daripada penilaian dan kritikan neraca ilmu hadis. Di kalangan mereka ada yang thiqah, saduq dan dha’if. Malahan sebahagian daripada mereka telah dihukumkan sebagai pendusta besar. Bagaimanapun pendustaan tidak banyak berlaku di kalangan mereka jika dibandingkan dengan generasi selepas mereka.

Di antara perawi-perawi yang dituduh berdusta di zaman Tabi’in

1- Nafi’ bin ‘Abd al-Wahid Abu Hurmuz.

Ibn Ma’in mengatakan bahawa dia seorang pendusta. Abu Hatim mengatakan, dia matruk al-hadith dan zahib al-hadith. Ibn Hibban menyatakan bahawa dia meriwayatkan daripada ‘Ata`, Anas dan ‘Aishah satu nuskhah yang mengandungi riwayat-riwayat maudhu’.<href=”#_edn7″ title=””>[7] [9]

2-Yaghnam bin Sam bin Qunbur al-Basri. Beliau merupakan maula Saiyidina Ali bin Abi Talib. Ibn Yunus mengatakan, dia meriwayatkan hadis-hadis palsu atas nama Anas. Kritikan ini juga disetujui oleh Ibn Hibban.<href=”#_edn8″ title=””>[8] [10] [1] Tuhfah al-Ahwazi, jil. 10, hal. 331

[2] Lihat Dr. Nur al-Din ‘Itr, Manhaj al-Naqd Fi ‘Ulum al-Hadith, hal. 148

[3] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4 hal. 222

[4] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4 hal. 424

[5] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 5 hal. 14

[6] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4 hal. 300

[7] Muqaddimah Sahih Muslim

[8] Abu Nu’aim, Hilyah al-Auliya`, jil. 3, hal. 365

[9] Lihat al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 243, Ibn Hajar, Lisan al-Mizan, jil. 6, hal.146

[10] Lihat al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 459, Ibn Hibban, Kitab al-Majruhin, jil. 3 hal. 145.

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *