Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / PERAWI-PERAWI UTAMA DARIPADA ABU HURAIRAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PERAWI-PERAWI UTAMA DARIPADA ABU HURAIRAH

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Abu Hurairah Al-Dawsi al-Yamani, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang mulia. Ulama berbeza pendapat tentang nama beliau dan ayahnya, tetapi yang paling masyhur ialah ‘Abdul Rahman bin Sakhr. Ini merupakan pendapat Ibn ‘Abd al-Barr. Beliau memeluk Islam pada awal tahun 7H iaitu pada peperangan Khaibar.

Beliau adalah seorang imam, hafiz, faqih, beliau banyak mengambil ilmu daripada Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Ubay, ‘Umar, Usamah, ‘A`ishah, al-Fadhl, Basrah bin Abi Basrah dan Ka’b al-Ahbar. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 2, hal. 579)

Abu Hurairah sentiasa mendampingi baginda untuk mempelajari hadis. Imam al-Bukhari menukilkan kata-kata Abu Hurairah dalam Sahihnya:

إنَّ إخْوَانَنَا مِنَ المُهَاجِرينَ كانَ يَشْغَلُهُمُ الصَّفْقُ بالأَسْوَاقِ وإنَّ إخْوَانَنَا مِنَ الأَنْصَارِ كانَ يَشْغَلُهُمُ العَمَلُ فِي أمْوَالِهِمْ وإنَّ أبا هُرَيْرَةَ كانَ يَلْزِمُ رسولَ الله بشبَعِ بَطْنِهِ وَيَحْضُرُ ما لا يَحْضُرُونَ ويَحْفَظُ ما لا يَحْفَظُونَ

Abu Hurairah menceritakan bahawa saudara-saudara kami dari kalangan Muhajirin sibuk dengan jual beli di pasar sementara saudara-saudara Ansar pula sibuk bekerja mengusahakan harta mereka. Sesungguhnya Abu Hurairah sentiasa mendampingi Rasulullah s.a.w. dengan sepenuh perutnya, dia menyertai majlis yang tidak disertai mereka dan menghafal apa yang tidak dihafal oleh mereka. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-`Ilm: Bab Hifz al-`Ilm)

Abu Hurairah merupakan perawi hadis yang paling utama dan paling banyak. Di samping itu beliau mempunyai sekian ramai murid dari kalangan Tabi’in. Kebanyakan hadis yang diriwayatkannya dapat dikesan melalui enam orang perawi utama yang banyak meriwayatkan daripadanya. Mereka ialah:

Pertama: Abu Salih Zakwan bin ‘Abdullah al-Samman

Zakwan bin ‘Abdullah al-Samman dilahirkan di zaman pemerintahan ‘Umar.

Mendengar hadis daripada Sa’d bin Abi Waqqas, ‘A`ishah, Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas, Abu Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Mu’awiyah dan sahabat-sahabat yang lain. Beliau mendampingi Abu Hurairah untuk satu tempoh.

Ulama yang meriwayatkan daripada beliau ialah anaknya, Suhayl bin Abi Salih, al-A’mash, ‘Abdullah bin Dinar, al-Zuhri, Yahya bin Sa’id al-Ansari dan ramai lagi.

Imam Ahmad menyebutkannya sebagai thiqah thiqah (dipercayai lagi dipercayai).

Zakwan seorang yang kuat hafalan dan menghafal beribu-ribu hadis sehingga diriwayatkan oleh muridnya, Sulaiman bin Mihran al-A’mash bahawa beliau mendengar seribu hadis daripada Abu Salih al-Samman. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 5, hal. 36)

Kedua: Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman bin ‘Awf

Al-Zahabi berkata: Beliau Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman bin ‘Auf bin ‘Abd ‘Awf bin ‘Abd al-Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’b al-Qurayshi al-Zuhri. Seorang hafiz hadis dan seorang tokoh ulama di Madinah. Dikatakan namanya ‘Abdullah, ada juga yang mengatakan Isma’il.

Tidak banyak mengambil riwayat daripada ayahnya, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf kerana masih lagi kecil di saat kewafatan ayahnya. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 287)

Imam Malik mengatakan namanya adalah kuniahnya. Ada juga yang mengatakan namanya ‘Abdullah.

Ma’mar menyebutkan daripada al-Zuhri katanya: “Empat orang Quraish yang saya dapati ilmu mereka itu seperti laut iaitu Sa’id bin al-Musayyab, ‘Urwah bin al-Zubair, Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman dan ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah. (al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 33, hal. 375)

Ibn Sa’d berkata: “Abu Salamah meninggal dunia di Madinah pada tahun 94H semasa pemerintahan Khalifah al-Walid ketika berusia 72 tahun. (al-Tabaqat al-Kubra, jil. 5, hal. 157)

Ketiga: ‘Abdul Rahman bin Hurmuz

‘Abdul Rahman bin Hurmuz, yang terkenal dengan gelaran al-A’raj.

Selain dari Abu Hurairah, beliau juga mendengar hadis daripada Abu Sa’id, ‘Abdullah bin Malik bin Buhaynah dan ramai lagi. Sementara itu, perawi-perawi yang mengambil hadis daripadanya ialah al-Zuhri, Abu al-Zinad, Salih bin Kaisan, Yahya bin Sa’id al-Ansari, Abdullah bin Lahi’ah dan ramai lagi. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 5, hal. 697)

Keempat: Sa’id bin al-Musayyab

Sa’id bin al-Musayyab bin Hazn bin Abi Wahb bin ‘Amr bin ‘A`iz bin ‘Imran bin Makhzum bin Yaqazah. Beliau adalah imam kepada penduduk Madinah dan merupakan penghulu Tabi’in di zamannya. Beliau sempat melihat ‘Umar bin al-Khattab dan mendengar hadis daripada ‘Uthman, ‘Ali, Zayd bin Thabit, Abu Musa, Sa’d, ‘A`ishah, Abu Hurayrah, Ibn ‘Abbas, Muhammad bin Salamah, Ummu Salamah dan ramai lagi.

Manakala ulama yang mengambil riwayat daripadanya ialah Idris bin Sabih, Usamah bin Zaid al-Laythi, Isma’il bin Umayyah, ‘Abdul Rahman bin Harmalah, ‘Abdul Rahman bin Humaid, ‘Abdul Karim al-Jazari, ‘Abdul Majid bin Suhail, ‘Uthman bin Hakim, ‘Ata` al-Khurasani dan ramai lagi. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 217)

Kelima: Sa’id al-Maqburi

Abu Sa’d Sa’id bin Abi Sa’id Kaisan al-Laithi al-Madani al-Maqburi.

Beliau meriwayatkan hadis dari ayahnya, ‘A`ishah, Abu Hurairah, Sa’d bin Abi Waqqas, Ummu Salamah, Ibn ‘Umar, Abu Shuraih al-Khuza’i, Abu Sa’id al-Khudri dan ramai lagi. Beliau seorang yang memiliki dan menyimpan banyak hadis.

Ulama yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah anak-anaknya, ‘Abdullah dan Sa’d, Ibn Abi Zi`b, Isma’il bin Umayyah, Zaid bin Abi Unaysah, ‘Ubaidullah bin ‘Umar, Malik bin Anas, Ibrahim bin Tahman, Laith bin Sa’d dan ramai lagi. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 216)

Keenam: Hammam bin Munabbih

Hammam bin Munabbih bin Kamil bin Siyaj al-Abnawi al-San’ani al-Yamani. Kuniahnya ialah Abu ‘Uqbah. Beliau seorang ulama hadis yang sangat teliti dan memiliki catatan hadis yang sangat terkenal yang ditulisnya daripada Abu Hurairah yang dikenali sebagai Sahifah Sadiqah. Catatan ini mengandungi lebih kurang 140 hadis. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 311).

Beliau mempunyai beberapa orang saudara iaitu Wahb bin Munabbih, Ma’qil bin Munabbih dan Ghaylan bin Munabbih. Hammam lebih tua daripada Wahb. Tetapi ada dikatakan juga Wahb itu yang paling tua. Imam Ahmad bin Hanbal berkata daripada Ghauth bin Jabir bin Ghaylan bin Munabbih: “Ghaylan yang paling bongsu. Ahmad berkata lagi, Ghauth berkata: “Wahb meninggal dunia kemudian diikuti Ma’qil, kemudian Ghaylan dan Munabbih yang paling akhir. (al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 30, hal. 298)

Selain daripada Abu Hurairah, beliau juga meriwayatkan hadis daripada ‘Abdullah bin al-Zubair, ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan.

Antara perawi yang mengambil hadis daripadanya ialah anak saudaranya ‘Aqil bin Ma’qil bin Munabbih, ‘Ali bin Hasan bin Atsh, Ma’mar bin Rashid dan saudaranya, Wahb bin Munabbih. (al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 30, hal. 299, al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 311)

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *