Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / NAFI’ MAWLA IBN ‘UMAR DAN TABAQAT MURID-MURIDNYA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

NAFI’ MAWLA IBN ‘UMAR DAN TABAQAT MURID-MURIDNYA

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Kuniahnya Abu ‘Abdillah al-Madani. Ulama berbeza pendapat tentang nasabnya. Hafiz Ibn Hajar mengatakan tidak ada satupun pendapat tersebut yang sahih di sisinya.

Ibn Umar memperolehinya sebagai hamba sahaya dalam salah satu ghazwah, ya’ni peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan beliau selalu menyatakan, sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberi ni’mat yang banyak kepada kami dengan sebab Nafi’.

Merupakan ulama para tabi’in yang paling utama, seorang yang banyak meriwayatkan hadis, merendah diri sehinggakan beliau tidak memberi fatwa kepada orang ramai di masa Salim bin ‘Abdulullah bin ‘Umar masih lagi hidup. [1]

Beliau mendengar hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar, ‘A`ishah, Abu Hurairah, Rafi’ bin Khadij, Abu Sa’id al-Khudri, Ummu Salamah, Abu Lubabah bin ‘Abdul al-Munzir, Safiyyah binti Abi ‘Ubaid, dan anak-anak kepada Ibn ‘Umar iaitu Salim, ‘Abdullah, ‘Ubaidullah. [2]

Ibn Rajab berkata, ‘Ali ibn al-Madini telah membahagikan murid-murid Nafi’ kepada sembilan tabaqat. Tabaqat pertama, Ayyub al-Sakhtiyani, ‘Ubaidullah bin ‘Umar, Malik, ‘Umar bin Nafi’. Kesemua mereka adalah murid Nafi’ yang paling teguh. Di sisi saya, yang paling teguh ialah Ayyub. Saya mendengar Yahya berkata, Ibn Juraij tidaklah kurang dari mereka dalam mendengar hadis dari Nafi’.

Tabaqat kedua, ‘Ubaidullah bin ‘Awn, Yahya al-Ansari dan Ibn Juraij.

Tabaqat ketiga, Ayyub bin Musa, Isma’il bin Umayyah, Sulaiman bin Musa dan Sa’d bin Ibrahim.

Tabaqat keempat, Musa bin ‘Uqbah, Muhammad bin Ishaq, Daud bin al-Husain,

Tabaqat kelima, Muhammad bin ‘Ajlan, al-Dahhak bin ‘Uthman, Usamah bin Zaid al-Laythi, Malik bin Mighwal.

Tabaqat keenam, Laith bin Sa’d, Isma’il bin Ibrahim bin ‘Uqbah, Sulayman bin Musahiq, Ibn Ghanaj al-Basri.

Tabaqat ketujuh, ‘Abdul Rahman bin al-Sarraj, Sa’id bin ‘Abdillah bin Harb, Salamah bin ‘Alqamah, ‘Ali bin al-Hakam dan al-Walid bin Abi Hisham.

Tabaqat kelapan, Abu Bakr bin Nafi’, Khalifah bin Ghalib al-Laythi Abu Ghalib al-Basri, Yunus bin Zaid al-Ayli, Juwayriyah binti Asma`, ‘Abdul ‘Aziz bin Rawwad, Muhammad bin Thabit al-‘Abdi, Abu ‘Alqamah al-Farawi ‘Abdullah bin Muhammad bin Abi Farwah, ‘Attaf bin Khalid bin ‘Abdullah al-Makhzumi, ‘Abdullah bin ‘Umar al-Madani, Hajjaj bin Artah, Ash’ath bin Sawwar, Thawr bin Yazid,

Tabaqat kesembilan dan tidak ditulis hadis mereka. Iaitu ‘Abdullah bin Nafi’, Abu Umayyah bin Ya’la, ‘Uthman bin Miqsam al-Burri, ‘Umar bin Qays.

Imam al-Bukhari mengatakan, sanad yang paling sahih ialah daripada Malik daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar daripada Rasulullah s.a.w.

‘Ubaidullah bin ‘Umar berkata, Umar bin ‘Abdul ‘Aziz telah menghantar Nafi’ ke Mesir untuk mengajarkan mereka Sunnah Rasulullah s.a.w.

Bishr bin ‘Umar al-Zihrani menyebutkan daripada Malik bin Anas, katanya apabila saya mendengar Nafi’ yang menceritakan hadis daripada Ibn ‘Umar maka saya tidak kisah kalau saya tidak mendengar daripada orang lain. [3]

Nu’aim bin Hammad menyebutkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah, katanya saya mendengar ‘Ubaidullah bin ‘Umar mengatakan Allah telah memberikan ni’mat yang besar kepada kita dengar adanya Nafi’. [4]

Ibn Hibban berkata, beliau salah seorang ahli hadis yang itqan, ya’ni teliti dan kemas dalam hadis.

Al-Khalili berkata, Nafi’ merupakan salah seorang imam tabi’in di Madinah, pemimpin dalam ilmu, disepakati tentang sahihnya riwayatnya. Ada ulama mendahulukannya daripada Salim dan ada juga mengatakan kedua-duanya standing dan tidak diketahui berlaku kesilapan dalam semua hadis yang diriwayatkan.[5]

Beliau meninggal dunia pada tahun 117 H.

 

 

 


[1] Ibn ‘Abdil Hadi, Tabaqat ‘Ulama` al-Hadith, jil. 1, hal. 175
[2] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 5, hal. 95
[3] Al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 29, hal. 303.
<href=”#_ftnref4″ title=””>[4] Ibid.
[5] Ibn Hajar, Tahzib al-Tahzib, jil. 5, hal. 607

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *