Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / MARTABAT–MARTABAT PARA PERAWI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

MARTABAT–MARTABAT PARA PERAWI

Maksud martabat para perawi ialah peringkat atau darjah perawi yang menentukan sama ada hadisnya itu dijadikan hujjah, dijadikan i’tibar atau diketepikan.

Pembahagian peringkat perawi yang mula-mula sekali dibuat oleh Abdur Rahman bin Mahdi. Beliau mengatakan:

Para perawi itu ada tiga, seorang yang hafiz, mutqin, ini dipersetujui yang tidak ada khilaf tentangnya, seorang lagi waham tetapi kebiasaan hadisnya adalah sahih, maka dia bukanlah seorang yang ditinggalkan hadisnya. Jika ditinggalkan hadis perawi seperti ini maka akan hilang hadis orang ramai. Dan seorang lagi perawi ialah perawi yang melakukan waham, kebiasaannya pada hadisnya ada waham. Dia adalah seorang yang ditolak hadisnya. (Muslim, al-Tamyiz, no. 35, Ibn Abi Hatim, al-Jarh Wa al-Ta’dil, jil. 1, hal. 38)

Orang yang banyak berlaku waham kepadanya atau kebiasaan pada hadisnya ada waham, dia tidak ditinggalkan secara mutlak. Hadisnya itu masih boleh diterima dalam bab targhib dan tarhib, zuhud dan adab tetapi tidak boleh diterima dalam bab hukum hakam dan halal haram.

Pertama, Thabat hafiz wara’ mutqin jahbazah naqid lil hadith (perawi yang teguh lagi wara’ yang teliti, yang merupakan tokoh pengkritik hadis), ya’ni perawi yang disepakati sebagai adil, pendapatnya tentang jarh wa ta’dil diakui, hadisnya menjadi hujah sebagaimana kritikannya terhadap rijal diakui sebagai hujjah.

Kedua, adil pada dirinya, teguh dalam periwayatannya, benar pada nukilannya, wara’ pada agamanya, hafiz dan mutqin dalam hadisnya. Ini adalah perawi adil yang hadisnya dijadikan hujjah dan dipercayai pada dirinya.

Ketiga, saduq, wara`, thabat tetapi adakalanya melakukan waham, tetapi para pengkritik hadis menerimanya, maka hadisnya itu boleh dijadikan hujjah.

Keempat, saduq, mughaffal (lalai dan sering melakukan kesalahan), kebiasaannya banyak berlaku waham, tersalah dan ghalat (tersilap) dan berlaku kelupaan padanya. Perawi ini ditulis hadisnya dalam bab targhib, tarhib, zuhud dan adab dan hadisnya tidak boleh dijadikan hujah dalam bab halal dan haram.

Kelima, perawi yang mendekatkan dirinya dengan kumpulan perawi yang telah dikenal pasti oleh ulama yang mengkritik para perawi bahawa ada pada mereka itu pendustaan. Perawi ini telah memasukkan dirinya dalam kumpulan mereka. Hadis perawi ini ditinggalkan, dan periwayatannya diketepikan dan gugur serta tidak boleh menyibukkan diri dengannya.

Ibn Abi Hatim dalam kitabnya al-Jarh Wa al-Ta’dil menyebutkan pembahagian lain berdasarkan kepada tingkatan-tingkatan lafaz dengan lebih terperinci.

Apabila dikatakan kepada seorang perawi itu sebagai thiqah atau mutqin thabit maka dia termasuk dalam kalangan perawi yang hadisnya boleh dijadikan hujjah.

Apabila dikatakan padanya perawi itu saduq atau mahalluhu al-sidq, atau la ba`s bihi (tidak mengapa dengannya) maka dia termasuk dalam perawi yang ditulis dan dilihat hadisnya. Ini merupakan kedudukan yang kedua.

Dan apabila dikatakan syaikh maka dia di kedudukan ketiga, ditulis dan dilihat hadisnya. Cumanya ia lebih rendah daripada kedudukan yang kedua.

Dan apabila dikatakan soleh al-hadith (baik hadisnya), maka hadisnya ditulis untuk i’tibar.

Bila dijawab tentang seorang perawi sebagai layyin al-hadith maka dia termasuk dalam perawi yang ditulis hadisnya dan dilihat sebagai i’tibar.

Apabila mereka (ulama jarh wa ta’dil) mengatakan laisa bi al-qawiyy (tidak kuat), dia sama dengan perawi pada kedudukan pertama dari segi ditulis hadisnya cuma ia lebih rendah daripadanya.

Apabila mereka mengatakan dha’if al-hadith (lemah hadisnya) maka ia lebih rendah daripada yang kedua, tidak dicampakkan hadisnya atau diketepikan bahkan dijadikan i’tibar.

Apabila mereka mengatakan matruk al-hadith (ditinggalkan hadisnya), zahib al-hadith (tidak ada nilai hadisnya), kazzab (pendusta besar) maka dia seorang yang gugur hadisnya, tidak boleh ditulis hadisnya dan ini merupakan kedudukan yang keempat.

Apa yang dikemukakan oleh Ibn Abi Hatim boleh dibahagikan secara sistematik kepada tiga tingkatan:

Martabah Pertama, Berhujah Dengan Hadis Perawi

Ada dua darjah: darjah pertama, hadisnya sahih. Termasuk dalam bahagian ini perawi-perawi yang disebutkan oleh Ibn Abi Hatim sebagai thabat, hafiz wara’ mutqin jahbazah naqid lil hadith, adil pada dirinya, teguh dalam periwayatannya, wara’ pada agamanya, hafiz dan mutqin dalam hadisnya, dan dalam pembahagian kedua sebagai mutqin thabit.

Darjah kedua: hadisnya hasan

Termasuk di bawahnya perawi yang disebutkan oleh Ibn Abi Hatim sebagai saduq, wara`, thabat tetapi adakalanya melakukan waham. Dan dalam pembahagian kedua dinyatakan sebagai saduq atau mahalluhu al-sidq, atau tidak mengapa dengannya

Martabah Kedua, I’tibar

Ada tiga darjah.

Darjah pertama, perawi hadis yang boleh ditanggung untuk dinaikkan taraf kepada hasan (soleh al muhtamil li tahsin).

Perawi yang termasuk dalam darjah ini iaitu perawi disebutkan sebagai syaikh dan soleh al-hadith.

Walaupun lafaz syaikh itu lebih tinggi daripada soleh al-hadith namun kedua-duanya dikira sama kerana perawi yang bersifat dengannya tidak boleh dijadikan hujah.

Darjah kedua, perawi layyin soleh li i’tibar

Perawi yang termasuk dalam darjah ini iaitu perawi disebutkan sebagai layyin al-hadith dan laisa bi al-qawiyy

Darjah ketiga, perawi dha`if yang boleh dii’tibar

Perawi yang termasuk dalam darjah ini iaitu perawi disebutkan sebagai saduq, wara’, biasa berlaku waham, kesalahan dan lupa. Termasuk juga perawi dihukumkan sebagai dha’if al-hadith.

Martabat Ketiga, Gugur

Ibn Abi Hatim menjadikannya satu darjah sahaja yang layak dengannya walaupun sebenarnya ada perbezaan. Walaupun periwayatan perawi matruk itu lebih ringan daripada kazzab namun hadis kedua-dua mereka itu tidak disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Perawi yang termasuk dalam darjah ini iaitu perawi disebutkan sebagai perawi yang bukan ahli sidq (kebenaran) dan amanah dan perawi-perawi yang telah dikesan oleh pengkritik hadis adanya pendustaan di kalangan mereka. Selain itu, termasuk dalam martabat ini perawi yang dinilai sebagai matruk al-hadith, zahib al-hadith atau kazzab.

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *