Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / KEDUDUKAN SAHABAT SEBAGAI GENERASI HADIS YANG PERTAMA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

KEDUDUKAN SAHABAT SEBAGAI GENERASI HADIS YANG PERTAMA

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Sahabat Rasulullah s.a.w. merupakan generasi yang paling mulia kerana mereka menerima pendidikan secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. di samping terdidik dalam suasana wahyu. Melalui mereka sunnah Rasulullah s.a.w. terpelihara dan dapat sampai kepada generasi kemudian. Allah s.w.t. telah memilih satu generasi yang paling mulia untuk mendampingi dan menemani RasulNya. Demi memastikan Islam tetap tersebar ke seluruh alam, mereka sangup mengorbankan jiwa dan harta mereka.

Dalam menentukan siapakah sahabah, para ulama telah memberi beberapa definisi. Al-Imam al-Bukhari menyatakan: Sesiapa dari kalangan orang-orang Islam yang mendampingi Rasulullah s.a.w. atau melihat baginda maka dia adalah sahabat. (Sahih al-Bukhari hal 697). Hafiz Ibn Hajar mendefinisikan sahabat sebagai sesiapa yang menemui Rasulullah s.a.w. dalam keadaan beriman dengan baginda dan meninggal dunia sebagai Islam. Berdasarkan kepada definisi ini, walaupun seseorang yang bertemu Rasulullah dalam keadaan masih kafir kemudian memeluk Islam tetapi kemudiannya tidak sempat bertemu baginda, tidak dikira seorang sahabat.

Baligh tidak menjadi syarat kemestian dalam menentukan seseorang sahabat atau tidak. Sekiranya syarat baligh dikenakan pasti sebilangan besar sahabat tidak boleh dianggap sahabat kerana mereka hanya baligh setelah kewafatan baginda. Antara mereka ialah Abdullah bin al-Zubair, al-Hasan dan al-Husain.

Menurut Ibn Kathir, beberapa imam seperti al-Bukhari, Abu Zur`ah, Ibn Abd al-Barr, Ibn Mandah, Ibn al-Athir dan Abu Musa al-Madini menegaskan semata-mata bertemu Rasulullah s.a.w. sudah memadai dalam menentukan seseorang itu sebagai sahabat. (Dirasat fi al-Jarh wa al-Ta`dil, hal 171)

Kedudukan Sahabat Yang Utama

Rasulullah s.a.w. menerangkan di dalam hadis-hadis tentang keutamaan sahabat-sahabat baginda.

عن عبد الله رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (خير الناس قرني، ثم الذين يلونهم، ثم الذين يلونهم.

Daripada Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebaik-baik manusia ialah kurunku, kemudian yang mengikuti mereka dan kemudian yang mengikuti mereka.

3470 عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: (لا تسبوا أصحابي، فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا، ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه).

Daripada Abu Sa`id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah anda memaki sahabat-sahabatku, jika seseorang dari kalangan kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud pasti tidak akan menyamai sebanyak satu cupak mereka malah separuh cupak mereka.

Tingkatan Generasi Sahabat

Pengelasan generasi sahabat yang paling diakui ialah yang dibuat oleh al-Hakim. Beliau telah mengelaskan generasi sahabat kepada 12 tingkatan.

  1. Sahabat yang awal memeluk Islam di Mekah seperti Khulafa Rasyidin.
  2. Sahabat yang memeluk Islam sebelum berlaku pemesyuaratan penduduk-penduduk Mekah di Dar al-Nadwah.
  3. Sahabat yang berhijrah ke Habsyah.
  4. Sahabat yang terlibat dengan perjanjian Aqabah yang pertama.
  5. Sahabat yang terlibat dengan perjanjian Aqabah yang kedua dan kebanyakan mereka adalah golongan Ansar.
  6. Muhajirin awal yang menemui Rasulullah s.a.w. di Quba sebelum baginda tiba di Madinah.
  7. Ahli Badar.
  8. Sahabat yang berhijrah selepas peperangan Badar dan sebelum perjanjian Hudaibiyah.
  9. Sahabat yang terlibat dengan baiah Ridwan di Hudaibiyah.
  10. Sahabat yang berhijrah antara peristiwa Hudaibiyah dan sebelum pembukaan Mekah.
  11. Sahabat yang memeluk Islam ketika pembukaan Mekah.
  12. Kanak-kanak yang sempat melihat Rasulullah s.a.w.i pembukaan Mekah, Haji Wida` dan lain-lain.

Ahli Sunnah juga sepakat mengatakan para sahabat kesemuanya adalah adil berdasarkan kepada ta`dil Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. sendiri. Satu penilaian yang tidak dapat ditandingi dan dipertikaikan oleh sesiapapun.

Kepentingan Mengenali Sahabat

Menjadi kewajipan kepada pelajar-pelajar hadis untuk membezakan antara sahabat dan tabi`in kerana ia mengelakkannya dari tersilap dalam menentukan kedudukan hadis. Pelajar yang dapat mengenali sahabat tidak akan melakukan kesilapan dalam menentukan hadis mawsul dan hadis mursal. Dalam hal ini, al-Hakim menyebutkan: Sesiapa yang memahami dengan mendalam tentang sahabat adalah seorang hafiz yang sempurna hafalan kerana saya pernah melihat sekumpulan dari kalangan guru-guru kita meriwayatkan hadis mursal daripada tabi`in daripada Rasulullah s.a.w. dengan menyangkanya seorang sahabat. Adakalanya mereka meriwayatkan hadis musnad (hadis yang bersambung sanadnya) daripada sahabat yang disangkakan sebagai seorang tabi`in. (`Ulum al-Hadith, Asiluha wa Mu`asiruha, 99)

Bagaimana Sahabat Dapat Ditentukan

Seseorang perawi itu dapat ditentukan sebagai sahabat dengan melihat kepada salah satu tanda-tanda berikut.

  1. Dengan riwayat yang mencapai taraf tawatur iaitu ramai yang mengakui tentang seseorang adalah sahabat dan menukilkannya generasi demi generasi sehingga mustahil mereka berpakat untuk berdusta. Contohnya seperti persahabatan Khulafa al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang telah dijanjikan syurga. Ini seperti pernyataan al-Qur’an tentang persahabatan Abu Bakar di dalam surah al-Tawbah: 40. Ahli tafsir sepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan sahib itu ialah Abu Bakar.
  2. Dengan riwayat yang mencapai taraf masyhur iaitu persaksian yang rendah sedikit daripada tawatur iaitu nama sahabat itu disebutkan di dalam hadis yang masyhur seperti Dhimam bin Tha`labah, `Ukasyah bin Mihsan, Salmah bin al-Akwa` dan lain-lain.
  3. Apabila seorang sahabat menyatakan bahawa seseorang itu adalah sahabat seperti Hamamah bin Abi Hamamah al-Dusi yang meninggal dunia kerana sakit perut di Isfahan pada zaman Umar bin al-Khattab. Abu Musa al-`Asy`ari tampil memberi saksi bahawa beliau pernah mendengar daripada Rasulullah s.a.w.
  4. Pengakuan sahabat sendiri bahawa dia adalah sahabat. Bagaimanapun disyaratkan orang yang mendakwa sebagai sahabat itu mestilah seorang yang terkenal dengan keadilan dan dakwaannya itu mestilah berlaku sebelum berlalu seratus tahun dari kewafatan Rasulullah s.a.w. Jika dakwaan dibuat selepas seratus tahun kewafatan baginda, dakwaan itu tidak diterima seperti yang didakwa oleh Abi Dunya al-Asyajj, Maklabah bin Malkan dan Waratan al-Hindi. Ulama hadis sepakat mengatakan mereka berbohong.
  5. Pernyataan sebahagian tabi`in yang thiqah bahawa perawi itu adalah sahabat. Ini berdasarkan kepada pendapat yang menerima tazkiyah (persaksian baik) dari seorang individu dan inilah pendapat yang rajih. (lihat Tadrib al-Rawi, 424, `Ulum al-Hadith, Asiluha wa Mu`asiruha, 100-101)

Keadilan Sahabat

Menjadi ijmak di kalangan ulama bahawa kesemua sahabat adalah adil. Keadilan bermaksud perawi adalah seorang muslim, baligh, waras, bersih daripada sebab-sebab kefasiqan dan perkara-perkara yang menjejaskan harga diri. Definisi ini menunjukkan adil itu lawan kepada fasiq. Iaitu jika seseorang itu fasiq maka keadilannya tidak ada lagi. Keadilan sahabat membawa makna mereka tetap lurus dalam berpegang dengan agama, menjunjung perintah Allah, menjauhi laranganNya dan tidak sengaja berdusta atas nama Rasulullah s.a.w. Keadilan sahabat tidaklah bermaksud mereka itu terpelihara daripada melakukan maksiat, lupa dan tersilap. Dr Mahmud Tahhan menjelaskan keadilan sahabat itu bermaksud menjauhkan diri dari sengaja berdusta dan menyeleweng dalam periwayatan dengan melakukan dosa yang menyebabkan periwayatan mereka tidak diterima. Kesan dan natijah keadilan mereka ialah semua riwayat mereka diterima tanpa perlu bersusah payah mengkaji tentang keadilan mereka. Berkenaan sahabat yang terlibat dalam fitnah pertelingkahan sesama mereka, itu dikira sebagai ijtihad yang mendapat ganjaran pahala sebagai baik sangka kepada mereka. Merekalah yang memikul amanah syariat dan mereka sebaik-baik kurun. (lihat Taysir Mustalah al-Hadith, hal. 199)

Sahabat Yang Paling Utama

Secara mutlak, sahabat yang paling utama ialah Abu Bakar dan kemudian Umar. Kenyataan ini berdasarkan kepada ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah. Dinukilkan juga dari Imam al-Syafie tentang ijmak para sahabat dan Tabi`in. Bagaimanapun Syiah tidak bersetuju dalam hal ini kerana mereka berpendapat Ali adalah sahabat yang paling mulia dan menjadi aqidah mereka semua sahabat telah murtad selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. kecuali beberapa orang sahaja. Oleh itu tiada yang lain yang tinggal melainkan Ali dengan itu mereka mengatakan Ali yang lebih mulia.

Sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah Abu Tufail `Amir bin Wathilah al-Laythi. Beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 100H. tetapi ada pendapat mengatakan lebih dari itu. Sementara yang paling akhir meninggal dunia sebelum beliau ialah Anas bin Malik yang meninggal dunia pada tahun 93H di Basrah.

Metode Sahabat Dalam Periwayatan Hadis

Kesungguhan sahabat dalam meriwayatkan hadis ini dapat disaksikan dengan melihat kepada ketekunan mereka dalam mendengar hadis daripada Rasulullah s.a.w. Mereka benar-benar menginsafi bahawa ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w. juga merupakan panduan hidup seperti al-Qur’an. Kita dapati mereka sentiasa mengintai peluang untuk sama-sama menyertai majlis-majlis baginda. Dalam masa yang sama al-Qur’an memberi ancaman yang keras kepada sesiapa yang berpaling dari Rasulullah s.a.w. sahabat seperti Abu Hurairah dan ahli suffah sentiasa mendampingi baginda sehingga makan dan minum mereka bersama baginda. Imam al-Bukhari menukilkan dalam Sahihnya :

*إنَّ إخْوَانَنَا مِنَ المُهَاجِرينَ كانَ يَشْغَلُهُمُ الصَّفْقُ بالأَسْوَاقِ وإنَّ إخْوَانَنَا مِنَ الأَنْصَارِ كانَ يَشْغَلُهُمُ العَمَلُ فِي أمْوَالِهِمْ وإنَّ أبا هُرَيْرَةَ كانَ يَلْزِمُ رسولَ الله بشبَعِ بَطْنِهِ وَيَحْضُرُ ما لا يَحْضُرُونَ ويَحْفَظُ ما لا يَحْفَظُونَ

Abu Hurairah menceritakan bahawa saudara-saudara kami dari kalangan Muhajirin sibuk dengan jual beli di pasar sementara saudara-saudara Ansar pula sibuk bekerja mengusahakan harta mereka. Sesungguhnya Abu Hurairah sentiasa mendampingi Rasulullah s.a.w. dengan sepenuh perutnya, dia menyertai majlis yang tidak disertai mereka dan menghafal apa yang tidak dihafal oleh mereka. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-`Ilm: Bab Hifz al-`Ilm, no: 117)

Para sahabat juga sentiasa memastikan hadis Rasulullah s.a.w. dengan bertanya siapa dari kalangan mereka menyertai majlis baginda. Jabir bin Samurah berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Dua belas orang tonggak dari Quraish tidak akan digugat oleh permusuhan orang yang memusuhi mereka. Kata Jabir kemudian saya berpaling tiba-tiba saya dapati Umar al-Khattab dan bapa saya lalu mereka mengakui hadis itu sebagaimana yang saya dengar. (al-Muhadith al-Fasil, 494)

Setelah mereka mendengar dan memastikan hadis, mereka akan menghafalnya dan menyampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain. Hal ini diberi penekanan yang tegas oleh Rasulullah s.a.w. bersabda:

عليكم بالقرآن وسترجعون إلى أقوام سيبلغون الحديث عني فمن عقل شيئا فليحدث به ومن قال علي ما لم أقل فليتبوأ بيتا أو مقعده من جهنم.

Hendaklah kamu berpegang dengan al-Qur’an, nanti kamu akan kembali kepada kaum-kaum yang akan menyampaikan hadis daripadaku, oleh itu sesiapa yang memahami sesuatu hendaklah dia menyampaikannya, sesiapa yang dusta di atas aku maka hendaklah dia menyediakan rumah atau tempat tinggalnya di dalam neraka jahannam. (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu`jam al-Kabir)

Oleh kerana itu kita dapati mereka sangat sedikit meriwayatkan hadis dan merasa sangat berat kerana walaupun telah menghafalnya kerana takut tersilap yang boleh membawa kepada berdusta sedangkan ada hadis menyatakan:

عن أبي هريرة؛ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع”.

Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. (Riwayat Muslim)

Demi untuk menjaga hadis dan menyampaikan dengan sebaik-baiknya mereka sentiasa bermuzakarah dan berbincang sesama mereka dan perkara ini diberi penekanan yang penting. Sayyidina Ali berkata: Hendaklah anda saling menziarahi dan banyak menyebutkan hadis, sesungguhnya jika anda tidak berbuat demikian ia akan hilang. Abdullah bin Mas`ud berkata: Bermuzakarahlah (berbincang) tentang hadis, kerana hadis itu hidup dengan muzakarah. Abu Said al-Khudri berkata: Hendaklah anda bermuzakarah tentang hadis kerana hadis itu sebahagiannya akan membangkitkan sebahagian yang lain. (Ma`rifah `Ulum al-Hadith, 140-141)

Para sahabat sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadis. Mereka hanya mengambil daripada orang yang teliti dan kuat ingatan. Ini disebabkan kesilapan yang sering dilakukan oleh perawi yang tidak kemas. Ibn `Adi menyebutkan di dalam muqaddimah kitabnya al-Kamil beberapa orang sahabat yang memperkatakan kedudukan para perawi antara mereka ialah `Umar, `Ali, Ibn Abbas, Abdullah bin Salam, Ubadah bin al-Samit, `Aishah dan Anas. Mereka semua mendustakan setiap orang yang tidak benar dalam ucapannya. Justeru itu para sahabat sangat ketat dan bersikap keras terhadap orang yang meriwayatkan hadis kepada mereka.

Al-Bara’ bin `Azib menceritakan tentang sikap mereka: “Bukan semua hadis kami dengar daripada Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat kamilah yang menceritakan kepada kami kerana kami sibuk menjaga unta. Para sahabat Rasulullah s.a.w. akan mendapatkan hadis yang tidak sempat mereka di dengari dari Rasulullah s.a.w. melalui teman-teman mereka, dan orang yang paling kuat menghafal dari kalangan mereka. Dan para sahabat amat keras dan ketat terhadap orang yang mereka dengari.”

Al-Hakim menyebutkan jika Ali terlepas dari mendengar hadis daripada Rasulullah s.a.w., beliau meminta perawi yang menyampaikan hadis kepadanya supaya bersumpah. (Ma`rifah `Ulum al-Hadith hal 15)

Ini bukanlah bermaksud sahabat-sahabat menuduh orang lain berdusta bahkan ini adalah ketelitian mereka dan penyiasatan mereka terhadap para perawi. Mereka amat bimbang jika berlaku kesilapan ketika hadis-hadis dinukilkan. Ada juga di kalangan sahabat yang mencatat dan menulis hadis-hadis.

Sesetengah pihak mendakwa hadis tidak pernah ditulis pada awal sejarah Islam tetapi ditulis kemudiannya selepas beberapa abad. Dakwaan ini tidak benar kerana ada beberapa orang sahabat telah menulis dan mencatat hadis-hadis pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Abu Hurairah berkata:

ما من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم أحد أكثر حديثا عنه مني، إلا ما كان من عبد الله بن عمرو، فإنه كان يكتب ولا أكتب

Tidak ada sahabat Rasulullah s.a.w. yang lebih banyak meriwayatkan hadis dari saya kecuali Abdullah bin `Amr, kerana beliau mencatat (hadis-hadis) tetapi saya tidak.

عن عبد اللّه بن عمرو قال: كنت أكتب كل شىء أسمعه من رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم أريد حفظه، فنهتني قريش وقالوا: أتكتب كل شىء تسمعه ورسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم بَشَرٌ يتكلم في الغضب والرضا، فأمسكت عن الكتاب، فذكرت ذلك لرسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم، فأومأ باصبعه إلى فيه فقال: “اكتب فوالذي نفسي بيده ما يخرج منه إلا حقٌّ”.

Daripada Abdullah bin `Amr, katanya: Saya sering mencatat setiap yang saya dengar daripada Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba kaum Quraish melarangku dan berkata: Adakah kamu menulis setiap yang kamu dengari sedangkan Rasulullah s.a.w itu manusia, bercakap dalam keadaan marah dan senang? Lalu saya pun berhenti dari menulis. Saya menyebutkan hal ini kepada baginda lalu baginda mengisyaratkan dengan jarinya ke mulutnya dan bersabda: “Tuliskanlah! Demi diriku yang berada di TanganNya, tidak keluar darinya kecuali kebenaran”.

Berikut ini beberapa sahifah atau catatan yang diusahakan oleh para sahabat:

al-Sahifah al-Sadiqah:

Iaitu catatan hadis yang diusahakan oleh `Abdullah bin `Amr bin al-`As. Beliau pernah menceritakan tentang hal dirinya: Saya telah menghafaz daripada Rasulullah s.a.w. seribu mithal”. Beliau amat berbangga dengan catatannya itu. Al-Darimi menyebutkan dalam sunannya bahawa Abdullah bin `Amar berkata: Tidak ada yang menyenangkan diriku di dunia ini melainkan al-Sadiqah dan al-Wahat. Al-Wahat ialah tanah yang diwakafkan oleh bapanya di Taif dan beliau menjaganya. ( Sunan al-Darimi, jil.1 hal. 127) Sahifah ini kemudiannya diwariskan oleh cucu beliau iaitu `Amar bin Syu`aib. Imam Ahmad di dalam al-Musnad pada musnad `Abdullah bin `Amr telah mengeluarkan sebahagian besar hadis dari sahifah ini, melalui hadis `Amar bin Syu`aib daripada ayahnya daripada datuknya.

Sahifah `Ali bin Abi Talib:

Catatan yang ringkas merangkumi masalah aql iaitu kadar diyat dan hukum-hukum membebaskan tawanan. Al-Bukhari menyebutkan di dalam sahihnya daripada Abu Juhaifah berkata: Saya bertanya kepada Ali: Adakah di sisi kamu ada kitab? Beliau menjawab: Tidak ada melainkan kitab Allah atau pemahaman yang diberikan kepada lelaki muslim atau apa-apa yang ada dalam sahifah ini. Saya bertanya lagi: Apa yang ada dalam sahifah ini? Beliau menjawab: Aql, pembebasan tawanan dan tidak boleh orang Islam dibunuh kerana orang kafir. (Sahih al-Bukhari, no: 111, hal. 47)

Sahifah Sa`d bin `Ubadah:

al-Tirmizi menyebutkan di dalam sunannya daripada Ibn Sa`d bin `Ubadah bahawa kami telah mendapati di dalam kitab Sa`d bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memutuskan hukum berdasarkan sumpah dan saksi. (Sunan al-Tirmizi, no: 1358)

Sahabat-sahabat seperti `Umar dan anaknya `Abdullah menggesa orang-orang supaya mencatat ilmu dan tentunya ilmu yang paling mulia ilmu hadis. (Sunan al-Darimi, jil.1 hal. 127)

Bagi menjamin kualiti hafalan, para sahabat meminimunkan periwayatan hadis daripada Rasulullah. Jika diriwayat dengan terlalu banyak akan berlaku kesilapan dalam menerima atau menyampaikan hadis.

Para Sahabat Bertaburan Di Pelosok Negara Untuk Menyampaikan Hadis

Di kalangan sahabat ada yang menetap di Kufah seperti `Ali dan Ibn Mas`ud, di Madinah seperti `Umar, Ibn `Umar dan Zaid bin Thabit, di Basrah Abu Musa al-`Asy`ari, di Syam Mu`az bin Jabal dan Mu`awiyah bin Abu Sufyan, di Mekah Ibn `Abbas dan di Mesir `Abdullah bin `Amar bin al-`As. Dari bandar-bandar inilah tersebar hadis-hadis Rasulullah s.a.w. (Ibn al-Qayyim, I`lam al-Muwaqqi`in, jld. 1 hal. 61)

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *