Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. Sulaiman bin Harb mengatakan: Hadithnya tidak boleh ditulis. Di tempat lain Imam Ahmad menyebut: Dia mempunyai fahaman Syiah dan selalu menceritakan hadith tentang kelebihan Ali dan penduduk Basrah selalu bersikap melampau di dalam memuja Ali. Kata al-Dawri: Apabila disebutkan Muawiyah beliau akan memakinya tetapi apabila disebutkan tentang Ali, dia duduk sambil menangis [1].

Al-Ajli berkata: Kami berada di dalam majlis Yazid bin Zurai`, beliau berkata: Sesiapa menemui Ja`far bin Sulaiman al-Dhuba`i dan Abdul Warith al-Tanuri maka dia jangan mendekatiku. Al-Tanuri itu dinisbahkan kepada fahaman Muktazilah dan Ja`far dinisbahkan kepada Rafdh. [2]

Riwayat-riwayatnya boleh didapati di dalam Sahih Muslim dan kitab Sunan yang empat. Tetapi Bukhari hanya mengemukakanJa’far dalam kitabnya, al-Adab al-Mufrad.

Hadith beliau di dalam Sunan al-Tirmizi boleh didapati di dalam kitab al-Manaqib.

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ الضُّبَعِيُّ عَنْ يَزِيدَ الرِّشْكِ عَنْ مُطَرِّفِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَيْشًا وَاسْتَعْمَلَ عَلَيْهِمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ فَمَضَى فِي السَّرِيَّةِ فَأَصَابَ جَارِيَةً فَأَنْكَرُوا عَلَيْهِ وَتَعَاقَدَ أَرْبَعَةٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا إِذَا لَقِينَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرْنَاهُ بِمَا صَنَعَ عَلِيٌّ وَكَانَ الْمُسْلِمُونَ إِذَا رَجَعُوا مِنْ السَّفَرِ بَدَءُوا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَلَّمُوا عَلَيْهِ ثُمَّ انْصَرَفُوا إِلَى رِحَالِهِمْ فَلَمَّا قَدِمَتْ السَّرِيَّةُ سَلَّمُوا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ أَحَدُ الْأَرْبَعَةِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَمْ تَرَ إِلَى عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ صَنَعَ كَذَا وَكَذَا فَأَعْرَضَ عَنْهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ الثَّانِي فَقَالَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ فَأَعْرَضَ عَنْهُ ثُمَّ قَامَ الثَّالِثُ فَقَالَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ فَأَعْرَضَ عَنْهُ ثُمَّ قَامَ الرَّابِعُ فَقَالَ مِثْلَ مَا قَالُوا فَأَقْبَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْغَضَبُ يُعْرَفُ فِي وَجْهِهِ فَقَالَ مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ إِنَّ عَلِيًّا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَلِيُّ كُلِّ مُؤْمِنٍ بَعْدِي

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ جَعْفَرِ بْنِ سُلَيْمَانَ

Tirmizi berkata telah menceritakan kepada kami oleh Qutabah bin Sai`d, katanya Ja`far bin Sulaiman al-Dhuba`i telah menceritakan kepada kami daripada Yazid al-Risyk daripada Mutarrif bin Abdillah daripada `Imran bin Husain katanya Rasulullah saw telah mengutuskan satu pasukan tentera dan baginda melantik Ali bin Abi Talib sebagai ketua. Kemudian berlaku peperangan dan beliau mendapat seorang gadis lalu tentera-tentera membantahnya. Empat orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w. berjanji, kata mereka: Apabila kami menemui Rasulullah s.a.w. pasti akan kami ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Ali. Dan kebiasaan sahabat apabila pulang dari perjalanan mereka mula-mula sekali akan bertemu Rasulullah saw dengan memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. kemudian barulah mereka kembali ke rumah masing-masing. Apabila pasukan tentera tersebut tiba, mereka memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. kemudian bangunlah orang yang pertama daripada empat orang tadi sambil berkata: Wahai Rasulullah tidakkah anda lihat kepada Ali bin Abi Talib, dia telah melakukan sekian perbuatan? Rasulullah s.a.w. tidak menghiraukannya. Kemudian bangun pula yang kedua dan berkata seperti yang pertama katakan. Baginda juga tidak menghiraukannya.  Kemudian bangun pula yang ketiga dan berkata seperti yang sebelumnya katakan. Baginda juga tidak menghiraukannya.  Kemudian bangun pula yang keempat dan berkata seperti yang mereka katakan. Lalu baginda mengadap ke arahnya dan kemarahan jelas kelihatan di wajah baginda lalu bersabda: Apa yang kamu mahukan daripada Ali? Apa yang kamu mahukan daripada Ali? Apa yang kamu mahukan daripada Ali? Sesungguhnya Ali sebahagian daripadaku dan aku sebahagian daripadanya dan dia wali setiap orang yang beriman selepasku. Tirmizi mengatakan hadith ini hadith gharib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari hadith Ja`far bin Sulaiman [3].

Riwayat Ja`far ini tidak boleh diterima kerana beliau seorang Syiah yang melampau dan sikapnya yang prejudis terhadap Muawiyah dan terlalu memuja Ali membuktikannya sebagai seorang Syiah yang melampau. Riwayat ini adalah berkenaan kelebihan Ali yang diriwayatkan oleh perawi Syiah, oleh itu, ia tidak boleh diterima kerana menyokong fahaman perawi.

Dengan hadith ini, Syiah mendakwa Ali sebagai orang yang paling utama daripada sekalian sahabat Rasulullah s.a.w. kerana baginda menjadikan dirinya sebahagian daripada Ali dan baginda tidak pernah mengatakan sebegini kepada sesiapapun. Menjawab dakwaan ini, Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakpuri berkata: “Dakwaan mereka ini sungguh batil kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda begini kepada Julaibib dalam hadith Abi Barzah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Selain dari itu, baginda juga mengucapkan demikian kepada golongan al-Asy`ariyyin dalam hadith Abi Musa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. [4]

 

Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

 

_________________________________________

 

[1] al-`Asqalani, Tahzib al-Tahzib 1/382
[2] al-`Uqaili, al-Du`afa’ al-Kabir, 1/189
[3] al-Mubarakpuri, Tuhfah al-Ahwazi, 10/197
[4] Ibid, 10/198-199

 

Check Also

Perawi Yang Tidak Diketahui Tentang Keadilan Dan Ketepatannya (Majhul)

Muhammad Hanief Awang Yahaya Perawi majhul ialah perawi yang tidak diketahui kedudukannya dari segi jarh …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *