Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / ISMAIL BIN MUSA AL-FAZARI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

ISMAIL BIN MUSA AL-FAZARI

Abu Hatim mengatakan: Dia seorang yang benar. Al-Nasai berkata: “Tidak mengapa dengan beliau. Ibn ‘Adi berkata: Ulama hadith mempertikaikannya kerana fahaman Syiahnya yang melampau. [1] Ismail al-Fazari berketurunan al-Suddi iaitu cucu kepada al-Suddi [2]. Ibn Hibban mengatakan beliau sering melakukan kesilapan. Abdan berkata: Abu Bakr Ibn Abi Syaibah atau Hammad bin Sariyy mempertikaikan kami kerana menemui Ismail. Beliau berkata dia seorang yang fasiq yang mencela para salaf [3]. Sebagaimana yang diketahui, sikap mencela dan mencaci para salaf merupakan ciri utama yang didapati pada golongan Syiah.

Antara riwayatnya di dalam Sunan al-Tirmizi ialah:

حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ بْنُ مُوسَى الْفَزَارِيُّ ابْنُ بِنْتِ السُّدِّيِّ حَدَّثَنَا شَرِيكٌ عَنْ أَبِي رَبِيعَةَ عَنْ ابْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ أَمَرَنِي بِحُبِّ أَرْبَعَةٍ وَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُحِبُّهُمْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ سَمِّهِمْ لَنَا قَالَ عَلِيٌّ مِنْهُمْ يَقُولُ ذَلِكَ ثَلَاثًا وَأَبُو ذَرٍّ وَالْمِقْدَادُ وَسَلْمَانُ أَمَرَنِي بِحُبِّهِمْ وَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُحِبُّهُمْ

قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ شَرِيكٍ

Tirmizi menceritakan bahawa Ismail bin Musa al-Fazari menceritakan bahawa Syarik daripada Abi Rabiah daripada Ibn Buraidah daripada bapanya katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku supaya mengasihi empat orang dan Dia berfirman kepadaku bahawa Dia mengasihi mereka.” Ada orang berkata: “Wahai Rasulullah beritahulah kepada kami siap mereka itu.” Baginda bersabda: “Ali salah seorang daripada mereka.” Baginda mengucapkan demikian sebanyak tiga kali. Abu Zar, al-Miqdad dan Salman. Allah memerintahkanku supaya mengasihi mereka dan memerintahkanku supaya mengasihi mereka [4].”

Imam Tirmizi berkata: “Hadith ini hasan gharib dan tidak diketahui sanadnya kecuali melalui Syarik.”

Riwayat yang yang dikemukakan oleh Ismail bin Musa al-Fazari ini menunjukkan kelebihan beberapa orang sahabat tertentu sahaja. Secara tidak langsung memperlihatkan fahamannya bahawa setelah Rasulullah s.a.w wafat tidak ada sahabat yang terus Islam kecuali mereka yang disebutkan dalam riwayat ini. Golongan Syiah mendakwa para sahabat telah murtad selepas kewafatan baginda kecuali beberapa orang yang hanya boleh dibilang dengan beberapa jari sahaja.

Riwayat beliau yang lain di dalam Sunan Tirmizi ialah hadith tentang Ali pintu ilmu.

حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ بْنُ مُوسَى حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُمَرَ بْنِ الرُّومِيِّ حَدَّثَنَا شَرِيكٌ عَنْ سَلَمَةَ بْنِ كُهَيْلٍ عَنْ سُوَيْدِ بْنِ غَفَلَةَ عَنْ الصُّنَابِحِيِّ عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا دَارُ الْحِكْمَةِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مُنْكَرٌ

Tirmizi menceritakan bahawa Ismail bin Musa al-Fazari menceritakan bahawa Muhammad bin Umar bahawa Syarik menceritakan daripada Salamah bin Kuhail daripada Suwaid bin Ghaflah daripada al-Sunabihi daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya adalah rumah hikmah kebijaksanaan dan Ali pintunya.” Tirmizi berkata hadith adalah gharib munkar.[5]

Dalam hadith disebutkan tentang kelebihan Ali dan ia diriwayatkan oleh perawi Syiah iaitu Ismail bin Musa al-Fazari. Dari segi sanad hadith ini tidak boleh diterima dan dari segi kandungan juga ia tertolak. Golongan Syiah cuba menonjolkan Ali dalam semua perkara semua kelebihan hanya dimiliki oleh beliau dan sahabat-sahabat lain tidak mempunyai apa-apa.

Apabila kita merujuk kepada hadith di dalam Sahih Bukhari akan jelas kepada kita siapakah pintu ilmu yang sebenar iaitu Umar r.a.

عَنْ ابْن عُمَرَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِقَدَحِ لَبَنٍ فَشَرِبْتُ حَتَّى إِنِّي لارَى الرِّيَّ يَخْرُجُ فِي أَظْفَارِي ثُمَّ أَعْطَيْتُ فَضْلِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ قَالُوا فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْعِلْمَ

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika saya sedang tidur tiba-tiba saya dibawakan sebekas susu dan saya pun meminumnya sehingga saya melihat kebasahan keluar dari kuku-kuku saya. Kemudian saya pun memberikan lebihan air susu tersebut kepada Umar. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimanakah anda mentafsirkannya.” Baginda menjawab: “Ilmu.”

Hadith ini dengan jelas mengisyaratkan kelebihan Umar dari segi ilmu dan diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan sahabat yang sering memberi pendapat dan pandangan apabila diminta oleh Rasulullah s.a.w.. Sejarah membuktikan bahawa beliau adalah sahabat yang sangat alim dan dikenali sebagai sheikh al-Sahabat iaitu mahaguru sahabat.

________________________________________

[1] Mizan al-I`tidal 1/415
[2] al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir 1/350
[3] Tahzib al-Tahzib 1/212
[4] Tuhfah al-Ahwazi 10/206
[5] Tuhfah al-Ahwazi 10/211

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *