Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IMAN AL-HUMAIDI

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Nama beliau ialah ‘Abdullah bin al-Zubair bin ‘Isa dan kuniahnya, Abu Bakr. Beliau merupakan ulama yang berasal dari Mekah dan berketurunan Quraisy. Oleh sebab itu, beliau dinisbahkan dengan al-Makki al-Qurasyi.

Kedudukan beliau dalam ilmu cukup istimewa kerana beliau adalah guru kepada imam al-Bukhari. Selain itu, beliau adalah teman rapat imam al-Syafi’e dan menemaninya dalam mempelajari hadis daripada Sufyan bin ‘Uyainah.

Dalam pada itu, beliau juga mempelajari fiqh dari al-Syafi’i dan merantau bersamanya ke Mesir dan pulang ke Mekah setelah al-Syafi’i meninggal dunia.

Guru-gurunya:

  1. Ibrahim bin Sa’d
  2. Abu Dhamrah Anas bin ‘Iyadh
  3. Bisyr bin Bakr al-Tinnisi
  4. Abu Usamah Hammad bin Usamah
  5. Sufyan bin ‘Uyainah
  6. ‘Abdullah bin al-Harith al-Jumahi al-Hatibi
  7. ‘Abdullah bin al-Harith al-Makhzumi
  8. ‘Abdullah bin Raja` al-Makki
  9. Abu Sofwan ‘Abdullah bin Sa’id al-Umawi
  10. ‘Abdullah bin Yarfa al-Madani, maula Bani Laith
  11. ‘Abdul Rahman bin Sa’d bin ‘Ammar al-Mu`azzin
  12. ‘Abdul ‘Aziz bin Abi Hazim
  13. ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdul Somad al-‘Ammi
  14. ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad al-Darawardi
  15. ‘Ali bin ‘Abdul Hamid bin Ziyad bin Soifi
  16. Faroj bin Sa’id al-Ma`ribi al-Yamani
  17. Fudhail bin ‘Iyadh
  18. Muhammad bin Idris al-Syafi’i
  19. Muhammad bin ‘Abdullah al-Tonafisi
  20. Marwan bin Mu’awiyah al-Fazari
  21. Waki’ bin al-Jarrah
  22. Al-Walid bin Muslim
  23. Ya’la bin ‘Ubaid al-Tonafisi. (al-Mizzi, Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal, jil. 14, hal. 512-513)

Al-Humaidi banyak meriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah sehingga dianggap perawi utama dan murid Sufyan bin ‘Uyainah yang paling diakui.

Al-Zahabi menukilkan bahawa al-Humaidi berkata: Saya mendampingi Ibn ‘Uyainah selama 19 tahun atau lebih kurang itu. Beliau merupakan ketua kepada murid-murid Sufyan bin ‘Uyainah. Beliau merupakan seorang yang thiqah dan imam. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 10, hal. 617)

Abu Hatim berkata: “Orang yang paling teguh dalam riwayat daripada Sufyan bin ‘Uyainah ialah al-Humaidi. (al-Jarh Wa al-Ta’dil, jil. 5, hal. 57)

Imam Ahmad berkata: Beliau di sisi kami adalah seorang imam.

Muhammad bin Sahl al-Quhustani berkata, al-Rabi’ bin Sulaiman menceritakan kepada kami katanya, saya mendengar al-Sayfi’i berkata: “Tidak pernah saya melihat orang yang lebih kuat ingatan daripada al-Humaidi. Beliau menghafaz sepuluh ribu hadis daripada Sufyan bin ‘Uyainah. (Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 10, hal. 618)

Murid-murid al-Humaidi:

  1. Muhammad bin Isma’il al-Bukhari
  2. Ibrahim bin Soleh al-Syirazi
  3. Abu al-Azhar Ahmad bin al-Azhar al-Nisaburi
  4. Isma’il bin ‘Abdullah al-Asbahani Samuwaih
  5. Bisyr bin Musa al-Asadi
  6. Salamah bin Syabib al-Nisaburi
  7. Abu Zur’ah ‘Ubaidullah bin ‘Abdul Karim al-Razi
  8. ‘Ubaidullah bin Fadhalah al-Nasa`i
  9. Muhammad bin Ahmad al-Qurasyi
  10. Abu Bakr Muhammad bin Idris bin ‘Umar al-Makki
  11. Warraq al-Humaidi
  12. Abu Hatim Muhammad bin Idris al-Razi
  13. Muhammad bin ‘Abdullah bin Sanjar al-Jurjani
  14. Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahim al-Barqi
  15. Muhammad bin ‘Ali bin Maimun al-Raqqi
  16. Muhammad bin Yahya al-Zuhali
  17. Muhammad bin Yunus al-Nasa`i
  18. Muhammad bin Yunus al-Kudaimi
  19. Harun bin ‘Abdullah al-Hammal
  20. Ya’qub bin Sufyan
  21. Ya’qub bin Syaibah
  22. Yusuf bin Musa al-Qattan

Al-Humaidi merupakan guru yang istimewa kepada al-Bukhari terutama dalam bidang hadis dan fiqh. Dalam Sahihnya, Imam al-Bukhari mendahulukan hadis daripada al-Humaidi, iaitu hadis tentang amalan dikira dengan niat. Ketika menghuraikan hadis ini, Hafiz Ibn Hajar menjelaskan mengapa al-Bukhari meletakkan hadis riwayat al-Humaidi di awal kitab. Kata beliau: “Seolah-olah al-Bukhari mengikuti perintah Rasulullah s.a.w.:

قدّموا قريشاَ

Utamakanlah Quraisy. (al-Tabarani)

Maka dengan sebab ini, al-Bukhari memulakan kitabnya dengan hadis diriwayatkan daripada al-Humaidi, seorang Quraisy yang paling faqih. (Fath al-Bari, jil. 1, hal. 10)

Selain itu, al-Humaidi seorang ahli Mekah seperti mana gurunya, iaitu Sufyan bin ‘Uyainah dan hadis ini diletakkan oleh al-Bukhari di bawah tajuk ‘Bagaimana Permulaan Wahyu kepada Rasulullah s.a.w.’ Oleh itu sesuai sekali hadis pertama dalam bab yang berkaitan dengan permulaan wahyu diambil daripada perawi yang berasal dari Mekah kerana di situ bermulanya penurunan wahyu.

Antara kitab yang dikarangnya ialah al-Musnad yang lebih dikenali dengan Musnad al-Humaidi. Kitab ini telah ditahqiq oleh Maulana Habibur Rahman al-A’zami dan diterbitkan di India dalam dua jilid.

Hadis-hadis yang diriwayatkan beliau boleh ditemui dalam Sahih al-Bukhari, Jami’ al-Tirmizi, Sunan Abi Daud dan Sunan al-Nasa`i.

Imam Muslim mengemukakan riwayatnya dalam muqaddimah Sahihnya sahaja. Manakala Ibn Majah meriwayatkan daripadanya dalam Kitab al-Tafsir.

Tarikh kelahiran beliau tidak dipastikan kerana tidak ada ulama rijal yang menyatakannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 217H. ini merupakan pendapat Ibn Sa’d dan al-Bukhari.

Perlu disebutkan di sini terdapat seorang lagi tokoh yang juga dikenali dengan al-Humaidi, iaitu pengarang al-Jam’ Baina al-Sahihain. Nama beliau ialah Muhammad bin Abi Nasr bin ‘Abdullah bin Humaid bin Yasil. Beliau meninggal dunia pada tahun 477H.

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *