Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HAKIM BIN JUBAIR

Kata al-Zahabi: Dia seorang Syiah yang tidak banyak meriwayatkan hadis. Imam Ahmad mengatakan dia seorang yang dha’if dan hadithnya mungkar. Kata al-Bukhari: Syu`bah mempertikaikannya. Daraqutni menghukumkannya sebagai “Matruk” iaitu seorang yang ditinggalkan hadithnya dan ceritanya tidak dihiraukan. Al-Nasai: Dia seorang yang tidak kuat. Al-Jauzajani pula mengatakan: Hakim bin Jubair seorang pendusta besar [1]. Abu Hatim mengatakan dia seorang yang dhaif dan hadithnya ditinggalkan selain dari seorang yang melampau dalam fahaman Syiahnya [2].

Di bawah biografi anaknya, ‘Abdullah bin Hakim, al-Zahabi menyatakan, dia seorang Rafidhah yang melampau sama seperti ayahnya.

Antara riwayat beliau di dalam Sunan Tirmizi ialah:

حَدَّثَنَا يُوسُفُ بْنُ مُوسَى الْقَطَّانُ الْبَغْدَادِيُّ حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ قَادِمٍ حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ صَالِحِ بْنِ حَيٍّ عَنْ حَكِيمِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ جُمَيْعِ بْنِ عُمَيْرٍ التَّيْمِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ آخَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَصْحَابِهِ فَجَاءَ عَلِيٌّ تَدْمَعُ عَيْنَاهُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ آخَيْتَ بَيْنَ أَصْحَابِكَ وَلَمْ تُؤَاخِ بَيْنِي وَبَيْنَ أَحَدٍ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ أَخِي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ

Tirmizi menceritakan bahawa Yusuf bin Musa al-Qattan al-Baghdadi menceritakan bahawa Ali bin Qadim menceritakan bahawa ‘Ali bin Salih bin Huyai daripada Hakim bin Jubair daripada Juma`i bin `Umair al-Tamimi daripada Ibn Umar katanya, apabila Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, baginda mempersaudarakan antara sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba ‘Ali datang dalam keadaan berlinangan airmata lalu berkata: Wahai Rasulullah, engkau telah mempersaudarakan antara sahabat-sahabatmu tetapi engkau tidak mempersaudarakan aku dengan sesiapa. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Engkau adalah saudaraku di dunia dan di akhirat.” Tirmizi mengatakan ini hadith hasan gharib [3].

Ibn Taimiyyah memutuskan bahawa hadith-hadith tentang persaudaraan Rasulullah s.a.w. dengan Ali adalah termasuk di dalam pendustaan [4].

Jika dilihat dari sudut logik, apa perlunya Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan dirinya dengan Ali sedang mereka berdua adalah golongan muhajirin malah mempunyai pertalian sepupu. Maksud sebenar peristiwa persaudaraan ialah untuk merapatkan hubungan antara golongan Muhajirin dan Ansar yang merupakan penduduk tempatan Madinah [5]. Kenyataan sebenar ialah Ali telah dipersaudarakan dengan Sahl bin Hunaif al-Ansari.[6]

Selain itu, sanad di atas terdapat seorang lagi perawi Syi’ah iaitu:

Jumai` bin `Umair

Kata Imam al-Bukhari: Walaupun beliau ada mendengar hadith daripada `Aishah dan Ibn Umar namun ulama hadith mempertikaikannya. Ibn Hibban berkata: Dia seorang Rafidhah, mereka hadith sesuka hati. Ibn Numair berkata: Dia termasuk dalam golongan yang paling berdusta. Kata Ibn `Adi: Cerita yang dikemukakan olehnya adalah mungkar. Kebanyakan riwayatnya tidak dikemukakan oleh orang lain. [7]

 


[1] Mizan al-I`tidal, 2/350

[2] Tahzib al-Tahzib, 1/586

[3] Tuhfah al-Ahwazi, 10/208

[4] al-Albani, Silsilah al-Ahadith Al-Daifah wa al-Mawdu`ah 1/527

[5] lihat Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/181

[6] ibid, 7/223

[7] Mizan al-I`tidal, 2/153, Tahzib al-Tahzib, 1/390

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *