Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HAFS BIN GHIYATH

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Beliau ialah Hafs bin Ghiyath bin Talq bin Mu’awiyah bin Malik bin al-Harith bin Tha’labah bin ‘Amir bin Rabi’ah. Kuniahnya Abu ‘Umar al-Kufi. Beliau merupakan qadi di Kufah di samping pernah menjadi qadi di Baghdad.

Antara guru-guru beliau ialah Hisham bin ‘Urwah, datuknya Talq bin Mu’awiyah, Isma’il bin Abi Khalid, Isma’il bin Sumay’, Ash’ayh bin Sawwar, Ash’ath bin ‘Abdul, Sufyan al-Thauri, Sulaiman al-A’mash, Daud bin Abi Hind, Yahya bin Sa’id al-Ansari dan ramai lagi.

Ulama yang mengambil riwayat daripada beliau termasuklah temannya, Yahya bin Sa’id al-Qattan, ‘Abdul Rahman ibn Mahdi, sepupunya Talq bin Ghannam, anaknya ‘Umar bin Hafs, Yahya bin Yahya, Ahmad, Ishaq, Yahya, ‘Ali, Abu Bakr ibn Abi Shaibah, ‘Uthman ibn Abi Shaibah, Ahmad al-Dawraqi, Sufyan ibn Waki’, Salm bin Junadah, Sahl bin Zanjalah, Sadaqah bin al-Fadl, Abu Sa’id al-Ashajj, ‘Ali bin Khashram, ‘Amr al-Naqid, Ibn Numayr, Harun bin Ishaq, Hannad, Abu Kurayb, Abu Hisham al-Rifa’i.

‘Abdul Khaliq bin Mansur berkata, Yahya pernah ditanya, siapakah yang lebih kuat mengingati hadis, Ibn Idris (Abdullah) atau Hafs? Beliau menjawab, Ibn Idris seorang hafiz hadis tetapi Hafs sahib hadith (tuan punya hadis) dan beliau mempunyai pengetahuan yang luas (tentangnya). Beliau ditanya lagi, bagaimana dengan Ibn Fudayl? Beliau menjawab ibn Idris lebih mengingati hadis.

Muhammad bin ‘Abdullah bin Numair berkata, Hafs lebih alim tentang hadis berbanding dengan Ibn Idris.[1]

Al-‘Ijli berkata: Hafs seorang yang thiqah, dipercayai dan seorang yang faqih. Kadang-kadang Waki’ ditanya tentang sesuatu lalu beliau menjawab, pergilah berjumpa dengan tuan qadi kita (Hafs), tanyalah dia kerana dia seorang yang shaikh, memelihara diri dan seorang muslim yang baik. [2]

‘Abdul Rahman bin Abi Hatim berkata, ayah saya ditanya tentang Hafs bin Ghiyath dan Abu Khalid al-Ahmar, beliau menjawab, Hafs lebih tekun, lebih mengingati hadis berbanding Abu Khalid al-Ahmar. [3]

‘Abbas al-Duri berkata daripada Yahya bin Ma’in katanya, Hafs bin Ghyath lebih teguh dari ‘Abdul Wahid bin Ziyad dan beliau lebih teguh dari ‘Abdullah Ibn Idris. [4]

Ya’qub bin Shaibah berkata, Hafs seorang yang teguh apabila beliau menyampaikan hadis dari kitabnya dan harus berhati-hati tentang sesetengah hafalannya. Diriwayatkan dari Yahya al-Qattan katanya, Hafs merupakan murid al-A’mash yang paling dipercayai. [5]

Muhammad bin ‘Abdul Rahim al-Bazzaz berkata daripada ‘Ali al-Madini katanya, Yahya ada berkata, Hafs seorang yang teguh. Saya mengatakan, beliau ada waham. Yahya menjawab, kitab catatannya sahih. Beliau berkata lagi, saya tidak pernah melihat di Kufah seperti tiga orang ini, Hizam, Hafs dan Ibn Abi Za`idah. Mereka bertiga merupakan ashab hadis (ahli hadis) [6]

Abu Zur’ah berkata: “Hafalannya menjadi merosot setelah dilantik menjadi qadi. Sesiapa yang mencatat hadis daripada beliau dari catatannya maka ia adalah sahih.[7]

Ada diriwayatkan daripada Ibn Ma’in, katanya: “Hafs tidak menceritakan hadis-hadisnya berdasarkan ingatan di Baghdad dan Kufah dan tidak pernah mengeluarkan satupun catatannya. Mereka menulis hadis darinya sebanyak tiga ribu atau empat ribu dari hafalannya.[8]

 

 


[1] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 9, hal. 24.
[2] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 9, hal. 23.
[3] Al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 7, hal. 61.
[4] Al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 7, hal. 62.
[5] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 9, hal. 24.
[6] Al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 7, hal. 61.
[7] Ibn Rajab, Sharh ‘Ilal al-Tirmizi, hal. 326.
[8] Ibn Rajab, Sharh ‘Ilal al-Tirmizi, hal. 326.

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *